Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah langkah pertama menuntut ilmu?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ

Maksudnya: “Allah meninggikan darjat orang yang beriman di antara kamu, dan orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dalam kalangan kamu) — beberapa darjat.

(Surah al-Mujadalah: 11)

Ibn Mas’ud RA menyebut bahawa Allah SWT telah memuji ulama’ di dalam ayat ini iaitu Allah SWT mengangkat orang-orang beriman yang diberi ilmu di atas orang-orang beriman yang tidak diberikan ilmu dengan beberapa darjat. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 17/299)

Berkenaan persoalan di atas, langkah menuntut ilmu yang pertama adalah memilih guru yang betul, yang sememangnya diyakini dan dikenali sebagai orang yang berilmu. Ini juga disebutkan oleh Allah SWT dalam firman-Nya:

 فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Oleh itu bertanyalah kamu kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui.”

(Surah al-Nahl: 43)

Abu Hayyan menukilkan daripada al-Zajjaj, katanya, (أَهْلُ الذِّكْرِ) adalah umum pada setiap orang yang disandarkan dengannya ilmu.” (Lihat al-Bahr al-Muhit, 6/533) Di dalam kedua-dua ayat ini, Allah SWT menegaskan bahawa menimba ilmu dan bertanyakan tentang ilmu itu mestilah dari mereka yang berkeahlian.

Dalam ayat seterusnya, diceritakan kepada kita tentang adab Nabi Musa A.S yang meminta untuk menekuni ilmu dari Nabi Khadir, seorang ahli ilmu yang telah Allah khususkan buatnya ilmu yang tidak diketahui oleh Nabi Musa A.S, sepertimana diberikan kepada Baginda ilmu yang tidak diketahui oleh Khadir. Firman Allah SWT:

قَالَ لَهُ مُوسَىٰ هَلْ أَتَّبِعُكَ عَلَىٰ أَن تُعَلِّمَنِ مِمَّا عُلِّمْتَ رُشْدًا

Maksudnya: “Nabi Musa berkata kepadanya: ‘Bolehkah aku mengikutmu supaya kamu mengajarku daripada ilmu dan petunjuk yang telah diajarkan kepadamu’.”

(Surah al-Kahfi: 66)

Dengan penuh sifat lemah lembut, Nabi Musa A.S meminta izin kepada Nabi Khadir A.S untuk belajar dengannya: “Bolehkah aku mengikutmu?”, dan permintaan Nabi Musa bukanlah dalam bentuk paksaan atau menekan. Beginilah bentuk permintaan yang seharusnya datang dari seorang pelajar kepada guru. Maksud (أَتَّبِعُكَ) pula adalah menemani Nabi Khadir A.S, supaya diajarkan kepada Nabi Musa A.S apa-apa yang telah diilhamkan oleh Allah SWT kepada Khadir dari ilmu pengetahuan serta amal soleh, lalu dijadikan petunjuk oleh Nabi Musa dalam urusannya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/163)

Syeikh al-Sya‘rawi ketika mengulas ayat ini, beliau berkata, Nabi Musa A.S seakan ingin mengajarkan kepada kita adab untuk bertalaqqi ilmu dan adab seorang pelajar dengan gurunya. Meskipun Allah SWT yang memerintahkan Baginda untuk mengikut Khadir, Baginda tidak sesekali berkata kepadanya: “Sesungguhnya Allah yang memerintahkanku untuk mengikutmu.” Sebaliknya, Baginda berlemah lembut dan meminta izin darinya dengan gaya bahasa begini: “Bolehkah aku mengikutmu?” (Lihat Tafsir al-Sya‘rawi, 14/8955)

Antara ibrah lain yang diperoleh dari ayat ini, dalam menuntut itu, seseorang memerlukan kepada teman. Syeikh Muhammad bin Muhammad al-Mukhtar al-Syinqiti di dalam  Ma‘alim Tarbawiyyah (hlm. 49) berkata, salafussoleh dahulu juga mempunyai teman dalam menuntut ilmu agar dapat saling membantu ke arah kebaikan. Kerana itu, apabila Allah SWT mengutuskan Nabi Musa A.S sebagai Rasul, baginda meminta kepada Allah SWT:

وَاجْعَل لِّي وَزِيرًا مِّنْ أَهْلِي (٢٩)‏ هَارُونَ أَخِي (٣٠)‏ اشْدُدْ بِهِ أَزْرِي (٣١)‏ وَأَشْرِكْهُ فِي أَمْرِي (٣٢)‏ كَيْ نُسَبِّحَكَ كَثِيرًا (٣٣)‏ وَنَذْكُرَكَ كَثِيرًا (٣٤)‏ إِنَّكَ كُنتَ بِنَا بَصِيرًا

Maksudnya: “(Nabi Musa berkata:) ‘Dan jadikanlah bagiku, seorang penyokong dari keluargaku. Iaitu Harun saudaraku. Kuatkanlah dengan sokongannya, pendirianku, dan jadikanlah dia turut campur bertanggungjawab dalam urusanku, supaya kami sentiasa beribadat dan memuji-Mu, dan (supaya) kami sentiasa menyebut dan mengingati-Mu. Sesungguhnya Engkau adalah sedia melihat dan mengetahui hal ehwal kami’.”

(Surah Taha: 29-35)

Kemudian, Nabi Khadir A.S membalas permintaan Nabi Musa A.S itu, seperti dalam firman Allah SWT:

قَالَ إِنَّكَ لَن تَسْتَطِيعَ مَعِيَ صَبْرًا ‎(٦٧)‏ وَكَيْفَ تَصْبِرُ عَلَىٰ مَا لَمْ تُحِطْ بِهِ خُبْرًا (٦٨)

Maksudnya: “Khadir berkata: ‘Sesungguhnya kamu tidak akan mampu bersabar bersamaku. Bagaimana kamu boleh bersabar terhadap perkara yang kamu tidak  mengetahuinya dengan mendalam?’.”

(Surah al-Kahfi: 67-68)

Yakni, katanya kepada Nabi Musa A.S, bahawa Baginda tidak akan mampu untuk menemaninya selepas melihat perbuatan-perbuatan yang menyelisihi syari‘at Musa A.S. Hal yang demikian kerana Nabi Khadir A.S dikurniakan ilmu oleh Allah SWT, apa yang tidak diberikan kepada Nabi Musa A.S, dan begitulah sebaliknya. Setiap dari mereka ditugaskan untuk beberapa urusan yang tersendiri. Oleh itu, Nabi Khadir A.S

Ibn al-Jauzi berkata, (الخُبْرُ) itu adalah keilmuan tentang sesuatu perkara. Dan yang dimaksudkan dengan kata-kata Nabi Khadir A.S ini, bagaimana mungkin Nabi Musa A.S boleh bersabar atas satu perkara yang pada zahirnya mungkar, sedangkan Baginda tidak mengetahui hikmah dan kebenaran disebaliknya? (Lihat Jami‘ al-Bayan, 18/71; Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/163; Zad al-Masir, 3/98; al-Muharrar al-Wajiz, 3/530)

Syeikh al-Sya‘rawi berkata, sebelum Khadir mula menyebutkan syarat untuk menemaninya, dia menerangkan kepada Nabi Musa A.S sifat ilmu dan mazhabnya. Mazhab Nabi Musa A.S berbeza dengan mazhab Khadir, dan ilmu Baginda juga dari sumber yang berbeza dengan ilmu Khadir, nescaya Baginda Musa A.S akan melihat pada Nabi Khidir A.S ini banyak perbuatan yang tidak mampu untuknya bersabar. (Lihat Tafsir al-Sya‘rawi, 14/8957)

Dalam pada itu, Nabi Musa tetap bersemangat ingin menuntut ilmu tanpa cepat mengalah dengan kenyataan Nabi Khadir A.S itu. Allah SWT berfirman:

قَالَ سَتَجِدُنِي إِن شَاءَ اللَّهُ صَابِرًا وَلَا أَعْصِي لَكَ أَمْرًا

Maksudnya: “Nabi Musa berkata: ‘Insya-Allah kamu akan dapati aku seorang yang sabar dan tidak akan membantah sebarang perintahmu’.”

(Surah al-Kahfi: 69)

Nabi Musa A.S menjawab, dengan izin Allah SWT, Nabi Khadir A.S akan dapati Baginda ini mampu bersabar terhadap apa yang menyelisihi dengan kebenaran di sisinya, dan Baginda akan menepati apa yang disyaratkan, meskipun perbuatan yang dilakukan itu tidak terjangkau dek sangkaannya. (Lihat Jami‘ al-Bayan, 18/71; Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/164)

Ibn ‘Asyur mengatakan, lafaz Nabi Musa A.S ini adalah yang paling jelas dalam menjelaskan kesabaran terhadap sesuatu, seperti berkata: “Aku akan bersabar.” Ini kerana ia menunjukkan kepada teman dan orang yang diikutinya itu bahawa kesabaran itu secara zahirnya memang akan berlaku. Dan pada zahirnya, kesabaran di sini adalah kesabaran pada situasi cemas, kebosanan dan keletihan ketika mengikutnya, dan juga bersabar apabila melihat sesuatu yang tidak terbayang oleh fikirannya, dan bersabar menunggu penerangan sebab-sebab dan tujuan. Apabila kesabaran yang diinginkan di sini adalah kesabaran yang bersifat menyeluruh, termasuk mentaati syarat yang ditetapkan, Baginda menambahkan kenyataan yang menunjukkan taat setia, sebagai pengisytiharan untuk menuntut ilmu dalam apa jua keadaan. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 15/373)

Kebanyakan alim ulama sememangnya meletakkan syarat ke atas penuntut ilmu agar bersabar dan setia mendalami ilmu dengannya sehingga selesai pengajian. Bahkan, ini bukanlah perkara yang asing dalam syarat-syarat yang banyak kita tandatangani dalam kontrak-kontrak di luar, dengan ikrar taat setia sehingga sebuah kontrak itu tamat. Hal ini penting agar perkara yang dijanjikan antara dua pihak itu dapat berjalan dengan lancar, begitu juga ilmu yang dipelajari itu dapat difahami dan dicerna dengan baik.

Sayyid Qutb berkata, Khadir menambahkan penegasan dan penjelasannya dan menyebut kepada Nabi Musa A.S syarat bersahabat dengannya sebelum memulakan perjalanan itu, iaitu Baginda mesti bersabar dan jangan terus meminta penjelasan mengenai apa-apa tindak tanduknya sehingga dia sendiri mengungkap rahsia-rahsianya. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 4/2279)

Nabi Musa A.S meredhai syarat ini, seakan Baginda berkata: “Aku menerima syaratmu wahai guru, bertenanglah. Aku tidak akan berdebat denganmu atau menentangmu pada apa-apa perkara pun.” Lihatlah bagaimana Nabi Musa A.S menempatkan Nabi Khadir A.S sebagai guru, dan dirinya sebagai murid. (Lihat Tafsir al-Sya‘rawi, 14/8959)

Lalu Khadir menjawab semula, seperti yang disebutkan dalam firman Allah SWT:

قَالَ فَإِنِ اتَّبَعْتَنِي فَلَا تَسْأَلْنِي عَن شَيْءٍ حَتَّىٰ أُحْدِثَ لَكَ مِنْهُ ذِكْرًا

Maksudnya: “Khadir berkata: ‘Jika kamu mengikutiku maka jangan bertanya tentang sesuatu pun sehinggalah aku menjelaskannya kepadamu’.”

(Surah al-Kahfi: 70)

Al-Maraghi berkata, Nabi Khadir A.S menyebutkan kepada Nabi Musa A.S, “Jika kamu berjalan bersamaku jangan kamu mulakan kepadaku sebarang pertanyaan dan bantahan sehingga aku menyebutnya dan menerangkan kepada kamu yang sebenarnya. Ini kerana aku tidak melakukan sesuatu melainkan yang benar dan harus pada perkara tersebut sekalipun pada zahirnya berlawanan.” Maka, Nabi Musa menerima syarat tersebut kerana memelihara adab seorang penuntut bersama gurunya. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 15/178)

“Sehingga aku yang menerangkan kepadamu.” Inilah kenyataan Khadhir untuk memberi adab dan petunjuk selama mana sepanjang persahabatan. Kalaulah penuntut dapat bersabar dan mengikut kehendak Khadhir nescaya dia dapat melihat banyak perkara yang ajaib. Akan tetapi kerana banyak berbantah yang membawa kepada perpisahan.  (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 11/18)

Di dalam perincian kisah yang panjang ini, kita telah melalui beberapa noktah penting tentang etika serta adab sebagai seorang penuntut ilmu. Kami cuba menyimpulkannya seperti berikut:

  • Sebelum mula menuntut ilmu, seseorang itu perlu memilih guru yang betul, dengan memastikan kriteria ahli ilmu itu ada pada guru tersebut.
  • Selepas menemui guru tersebut, murid seharusnya meminta keizinan untuk berguru dengannya terlebih dahulu sebagai bentuk adab, dengan gaya bahasa yang penuh adab dan sopan santun.
  • Kaedah menuntut ilmu yang terbaik, yang sekian lama diajarkan oleh ulama’ terdahulu, adalah dengan mendampingi guru tersebut bagi memastikan ilmu yang diperoleh itu difahami dengan baik.
  • Guru yang terbaik, adalah mereka yang jelas pegangan dan mazhabnya, agar murid tidak keliru dan dapat mengambil manfaat dalam bidang yang guru tersebut mahir semaksima mungkin.
  • Memupuk sifat sabar dalam diri sepanjang tempoh menuntut ilmu.
  • Menunjukkan kesetiaan pada guru untuk terus menuntut ilmu sehingga selesai.
  • Sekiranya guru meletakkan syarat untuk menuntut ilmu dengannya, maka hendaklah dipatuhi syarat tersebut.

Pada hakikatnya, masih banyak adab-adab penuntut ilmu yang digariskan oleh ulama. Tetapi, apa yang kami gariskan ini berdasarkan kepada kisah perjalanan menuntut ilmu di antara Nabi Musa A.S dan Nabi Khadir A.S yang telah diceritakan oleh Allah SWT di dalam Surah al-Kahfi.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *