Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah tafsir bagi perkataan fata (فَتَا) pada maksud ayat 60 dari surah al-Kahfi?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Allah SWT berfirman:

وَإِذْ قَالَ مُوسَىٰ لِفَتَىٰهُ لَآ أَبْرَحُ حَتَّىٰٓ أَبْلُغَ مَجْمَعَ ٱلْبَحْرَيْنِ أَوْ أَمْضِىَ حُقُبًۭا ٦٠ فَلَمَّا بَلَغَا مَجْمَعَ بَيْنِهِمَا نَسِيَا حُوتَهُمَا فَٱتَّخَذَ سَبِيلَهُۥ فِى ٱلْبَحْرِ سَرَبًۭا ٦١ فَلَمَّا جَاوَزَا قَالَ لِفَتَىٰهُ ءَاتِنَا غَدَآءَنَا لَقَدْ لَقِينَا مِن سَفَرِنَا هَـٰذَا نَصَبًۭا ٦٢ قَالَ أَرَءَيْتَ إِذْ أَوَيْنَآ إِلَى ٱلصَّخْرَةِ فَإِنِّى نَسِيتُ ٱلْحُوتَ وَمَآ أَنسَىٰنِيهُ إِلَّا ٱلشَّيْطَـٰنُ أَنْ أَذْكُرَهُۥ ۚ وَٱتَّخَذَ سَبِيلَهُۥ فِى ٱلْبَحْرِ عَجَبًۭا ٦٣ قَالَ ذَٰلِكَ مَا كُنَّا نَبْغِ ۚ فَٱرْتَدَّا عَلَىٰٓ ءَاثَارِهِمَا قَصَصًۭا

Maksudnya: Ingatlah, Nabi Musa pernah berkata kepada pembantunya, “Aku tidak akan berhenti sehingga aku sampai ke tempat pertemuan dua lautan atau aku akan terus berjalan biarpun bertahun lamanya.” Ketika mereka tiba di tempat pertemuan dua lautan, mereka terlupa ikan yang mereka bawa sebagai bekalan. Lalu ikan itu menggelongsor ke laut tanpa disedari. Apabila mereka melepasi kawasan pertemuan dua lautan itu, Nabi Musa berkata kepada pembantunya, “Ambilkan makanan tengah hari kita. Kita telah penat dalam perjalanan ini.” Pembantu Nabi Musa menjawab, “Ingatkah tuan ketika kita berehat di sebuah batu besar. Sesungguhnya aku terlupa ikan itu dan tiada yang melupakanku untuk memberitahunya melainkan syaitan. Lalu ikan itu menggelongsor ke laut dengan cara yang aneh sekali.” Nabi Musa berkata, “Itulah tempat yang kita cari.” Lalu mereka berpatah balik menjejak kesan laluan mereka.

(Surah al-Kahfi : 60-64)

Para ulama telah menyebut pelbagai pendapat berkenaan dengan fata (فَتَا). Kami nukilkan di sini sebahagian daripadanya:

Pertama: Fakhruddin al-Razi (Mafatih al-Ghaib)

Berkata  Fakhruddin al-Razi dalam tafsirnya Mafatih al-Ghaib: “Para  ulama berbeza pandangan berkenaan perkataan fata (teman) Nabi Musa. Majoritinya menyatakan bahawa beliau adalah Yusha’ bin Nun.

  • Al-Qaffal meriwayatkan daripada Sufyan bin ‘Uyainah daripada Amru bin Dinar daripada Said bin Jubair daripada Ibn Abbas daripada Abi Hurairah daripada Ubay bin Kaab daripada Nabi SAW bersabda: ‘Temannya adalah Yusha’ bin Nun.’
  • Teman Nabi Musa adalah saudara Yusha’ dan juga yang menemani Nabi Musa dalam perjalanan itu.
  • Diriwayatkan daripada ‘Amr bin ‘Ubaid daripada al-Hasan berkenaan “وَإِذْ قَالَ مُوسَىٰ لِفَتَاهُ لَا أَبْرَحُ”maksudnya adalah ‘hambanya (hamba Nabi Musa)’. (Lihat Tafsir Mafatih al-Ghaib, 11/144)

Kedua: Al-Alusi

Menurut al-Alusi: “(fata adalah) Yusha’ bin Nun bin Ifrathim bin Yusuf alaihissalam. Dia berkhidmat dan belajar daripada Nabi Musa. Oleh itu, dinisbahkan kepada Baginda. Orang Arab menamakan khadam sebagai fata (teman) kerana kebanyakan khadam adalah pada umur pada pemuda.” (Lihat Tafsir Ruh al-Ma’ani, 15/390)

 

Ketiga: Al-Mawardi

Menurut al-Mawardi: “…dia adalah Yusha’ bin Nun. Beliau adalah anak kepada saudara perempuan Nabi Musa dan digelarkan sebagai fata (teman) adalah kerana beliau sentiasa bersama Nabi Musa; ada yang menyatakan kerana ilmu dan ada yang menyatakan kerana khidmat. Beliau menggantikan Nabi Musa bagi kaumnya selepas Baginda.” (Lihat al-Nukat wa al-‘Uyun, 3/59)

 

Keempat: Syeikh Abdul Qadir al-Jilani

Menurut al-Jilani: “Dia adalah Yusha’ bin Nun dan dia adalah khadam Nabi Musa.” (Lihat Tafsir al-Jilani, 3/212)

Kelima: Syeikh Abdul Rahman al-Sa‘di

Menurut al-Sa‘di: “Dia adalah khadamnya (Nabi Musa) yang sentiasa melaziminya disisinya dalam dalam perjalanannya. Dia adalah Yusha’ bin Nun.” (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 481)

Keenam: Syeikh Ali al-Sobuni

Menurut al-Sobuni, fata adalah Yusha’ bin Nun. (Lihat Safwah al-Tafasir, 2/180)

 

Ketujuh: Syeikh Mutawalli al-Sya‘rawi

Menurut al-Sya‘rawi, (فَتَى) yang dimaksudkan ialah khadamnya yang bernama Yusha‘ bin Nun, dan beliau adalah keturunan Nabi Yusuf yang mengikuti dan berkhidmat untuk mempelajari ilmu daripada Nabi Musa. (Lihat Tafsir al-Sya‘rawi, 14/8947)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *