Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh Dato jelaskan secara ringkas tentang nikmat yang telah dikurniakan Allah SWT kepada kita agar lebih bersyukur?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَدْخِلْنِي بِرَحْمَتِكَ فِي عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku – dengan limpah rahmat-Mu – dalam kumpulan hamba-hamba-Mu yang soleh.”

Surah al-Naml (19)

Al-Syaukani berkata: Disebut dalam al-Kassyaf: “Hakikat ‘أَوْزِعْنِي’ adalah, jadikanlah aku dapat mengatur kesyukuran atas nikmat-Mu kepadaku, mempertahankan dan mengikatnya agar tidak lagi lepas dariku, sehingga menjadikan aku selalu bersyukur kepada-Mu.”

Al-Wahidi berkata: ‘أَوْزِعْنِي’ maksudnya iaitu ilhamkanlah aku agar mensyukuri nikmat-Mu yang Engkau anugerahkan kepadaku.” Al-Qurtubi berkata: Asal perkataan tersebut daripada ‘وَزَعَ’ (mencegah), jadi seakan-akan dia berkata: ‘Cegahlah aku daripada perkara-perkara yang menimbulkan kemurkaan-Mu.’  (Lihat Fath al-Qadir, 8/286)

Sayyid Qutb dalam mentafsirkan ayat ini berkata: Doa Nabi Sulaiman AS ini dimulakan dengan “رَبِّّ” (“Wahai Tuhanku!). Di sini beliau menggunakan kata-kata seruan dari dekat dan secara langsung. Kemudian beliau memohon dengan “أَوْزِعْنِي” (Ilhamkanlah aku) atau tumpahkan diriku yakni kumpulkan seluruh diriku dan anggotaku, perasaanku, lidahku, hatiku, fikiranku, perkataanku, susunan perkataanku, amalanku dan tujuanku. Begitu juga seluruh daya tenagaku supaya seluruhnya ditumpukan “agar tetap bersyukur dengan nikmat yang telah Engkau limpahkan kepadaku dan kepada kedua-dua ibubapaku.”

Ungkapan ini membayangkan nikmat Allah yang telah mengharukan hati Nabi Sulaiman AS pada saat itu dan menggambarkan bentuk perasaan keterharuan, kekuatan tawajjuh dan rasa hatinya yang bergelora ketika beliau menyedari nikmat Allah dan limpah kurniaan kepadanya dan kepada kedua ibubapanya. Beliau mengalami nikmat dan rahmat Allah itu dengan penuh perasaan lalu memohon seperti doa di atas. (Lihat Tafsir Fi Zilal al-Quran, 12/155)

Menjawab persoalan di atas, Syeikh Zarruq Rahimahullah berkata: “Sesungguhnya diberi peringatan kepada hamba apabila jauh daripada kefahaman, sepertimana yang disebutkan di dalam hikmah ini.”

مَنْ لَمْ يَعْرِفْ قَدْرَ النِّعَمِ بِوِجْدَانِهَا عَرَفَهَا بِوُجُودِ فِقْدَانِهَا

Maksudnya: “Sesiapa yang tidak mengenal kadar nilai sesuatu nikmat ketika kewujudannya, pasti akan mengetahui betapa tinggi nilaian nikmat setelah ketiadaannya.”

Mafhum Hikmah

  • Benarlah kata Sariy al-Saqati Rahimahullah: “Sesiapa yang tidak menghargai sesuatu nikmat, maka akan dicabut nikmat itu dalam keadaan dia tidak mengetahuinya. Tidaklah seseorang mengetahui kadar nikmat penglihatan kecuali selepas menjadi buta.”
  • Sebahagian yang lain pula mengatakan:

الْوَلَدُ الْعَاقُ الْمُصِرُّ عَلَى تَأْنِيْبِهِ إِنَّمَا يعرف قدر الأَبِ يَوْمَ وَفَاةِ أَبِيْهِ

Maksudnya: “Seorang anak yang derhaka berterusan penderhakaan kepada ayahnya, sesungguhnya dia akan mengenal kadar (jasa bakti) ayahnya pada hari kewafatannya.”

  • Sariy al-Saqati Rahimahullah berkata:

مَن لَمْ يَعْرِفْ قدرَ النِعم سلبها من حيث لا يعلم.

Maksudnya: “Siapa yang tidak mengenal nilaian nikmat-nikmat yang diperolehi, nescaya ditarik nikmat tersebut dalam keadaan dia tidak mengetahuinya.”

  • Fudhail bin ‘Iyadh Rahimahullah berkata:

عَلَيْكُمْ بِمداوَمَةِ الشكرِ عَلَى النِّعَمِ، فَقُلَّ نِعْمَةِ زَالَتْ عَنْ قَوْمٍ فَعَادَتْ إِلَيْهِمْ

Maksudnya: “Hendaklah kamu sentiasa bersyukur dengan setiap nikmat, kerana apabila sebahagian nikmat yang luput daripada sesuatu kaum, mereka akan kembali seperti sebelumnya.”

  • Sebahagian ahli al-Balaghah berkata:

إِذَا كَانَتْ النِعْمَةُ وَسِيْمَةً، فَاجْعَلِ الشُّكْرَ لَهَا تَمِيْمَةً.

Maksudnya: “Jikalau nikmat itu diibaratkan seperti ketampanan (penanda), maka perlu diibaratkan rasa syukur seperti keanggunan (pelengkap).”

Justeru, jika kita ingin sebutkan satu persatu tentang nikmat Allah, nescaya tidak terhitung banyaknya. Bermula kita bangun daripada tidur sehingga tertidurnya kita semula, betapa banyak nikmat yang dikurniakan kepada kita seperti anggota badan, pernafasan, pergerakan tubuh badan, hidup bekeluarga, makan minum dan sebagainya. Oleh itu, hargailah nikmat yang telah dikurniakanNya dengan rasa syukur dan menjaganya sebaik mungkin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ زَوَالِ نِعْمَتِكَ، وَتَحَوُّلِ عَافِيَتِكَ، وَفُجَاءَةِ نِقْمَتِكَ، وَجَمِيعِ سَخَطِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada hilangnya kenikmatan yang telah Engkau berikan, daripada berubahnya kesihatan yang telah Engkau anugerahkan, daripada seksa-Mu (bencana) yang datang secara tiba-tiba, dan daripada segala bentuk kemurkaan-Mu.”

Wallahua’lam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *