Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah orang yang telah meninggal dunia yang tidak sempat menggantikan puasanya dikira berdosa? Bagaimana pula dengan puasanya, adakah perlu diganti?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

أَيَّامًا مَعْدُودَاتٍ ۚ فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۚ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ ۖ فَمَنْ تَطَوَّعَ خَيْرًا فَهُوَ خَيْرٌ لَهُ ۚ وَأَنْ تَصُومُوا خَيْرٌ لَكُمْ ۖ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “(Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.”

(Surah al-Baqarah: 184)

Al-Alusi ketika menafsirkan ayat ini beliau menyebut : Barangsiapa yang mampu untuk berpuasa tetapi dia berbuka maka wajib ke atasnya memberi makan kepada fakir miskin dengan kadar makanan asasi pada setiap hari iaitu setengah sa’(gantang) gandum atau satu gantang daripada makanan-makanan yang lain mengikut kiraan ahlul I’raq atau satu gantang mengikut kiraan ahlul Hijaz. (Lihar Ruh al-Ma’ni,14/212)

 

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan orang yang meninggalkan puasa bulan Ramadhan, kemudian dia mati sebelum mengqadanya, terdapat dua keadaan dengan hukum yang berlainan.

Pertama:

Diamati sebelum sempat mengqadaknya, contohnya seorang wanita haid atau nifas meninggal dunia pada bulan Ramadan. Dalam situasi ini, wanita tersebut tidak sempat untuk mengqadaknya. Maka pendapat kebanyakan ulama, tidak dikenakan apa-apa qadak bagi pihaknya. Tidak perlu walinya berpuasa untuknya, dan tidak perlu dibayar fidyah untuknya. Kecuali satu pendapat yang sangat syaz atau ganjil yang mewajibkan dibayar fidyah untuknya.

Kedua:

Seorang yang meninggalkan puasa, lalu meninggal dunia selepas dia mampu untuk menggantinya tetapi dia melengahkannya sehingga dia mati. Maka, dalam kes seperti ini, puasanya hendaklah diganti dengan fidyah dan diuruskan oleh walinya. Kami katakan, terdapat hadith daripada Aisyah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ مَاتَ وَعَلَيْهِ صِيَامٌ صَامَ عَنْهُ وَلِيُّهُ

Maksudnya: “Barangsiapa yang mati sedangkan ke atasnya ada puasa (yang perlu diqadakan) maka walinya berpuasa bagi pihaknya.”

Riwayat al-Bukhari (1952) dan Muslim (1147)

 Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ زَوَالِ نِعْمَتِكَ، وَتَحَوُّلِ عَافِيَتِكَ، وَفُجَاءَةِ نِقْمَتِكَ، وَجَمِيعِ سَخَطِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada hilangnya kenikmatan yang telah Engkau berikan, daripada berubahnya kesihatan yang telah Engkau anugerahkan, daripada seksa-Mu (bencana) yang datang secara tiba-tiba, dan daripada segala bentuk kemurkaan-Mu.”

Leave a Reply