Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri.  Bolehkah dato ceritakan satu kisah tentang kelebihan bersedekah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi Sedekah

Sedekah pada bahasa bermaksud kebenaran atau pemberian ikhlas dari hati yang bersih. Manakala pada istilah pula, ulama’ menyebut sebagai pemberian semata-mata untuk mendekatkan kepada Allah dan mencari keredhaan Allah SWT. Hal ini selaras dengan firman Allah SWT:

إِن تُبْدُوا الصَّدَقَاتِ فَنِعِمَّا هِيَ ۖ وَإِن تُخْفُوهَا وَتُؤْتُوهَا الْفُقَرَاءَ فَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ ۚ وَيُكَفِّرُ عَنكُم مِّن سَيِّئَاتِكُمْ ۗ وَاللَّـهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ

Maksudnya: “Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan.”

(Surah al-Baqarah: 271)

Syeikh al-Maraghi berkata: “Jika kamu mengeluarkan derma secara terbuka, maka cara seperti itu adalah lebih baik kerana ia akan menjadi teladan yang baik kepada orang lain, sehingga ada antara mereka yang akan menirunya. Di samping itu, zakat menjadi salah satu sendi ajaran Islam yang andaikata jika dia lakukan dengan sembunyi-sembunyi, maka orang yang enggan mengeluarkannya akan berasa bimbang untuk melakukannya. Tetapi jika kamu memberi kepada orang fakir secara diam-diam, maka itulah yang terbaik kerana ia dapat menjauhkan diri dari sifat riyak, bahkan sejajar dengan keterangan dalam hadith-hadith dan contoh-contoh perbuatan sahabat.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/620).

Menjawab persoalan di atas, hakikatnya banyak kisah-kisah teladan berkenaan kelebihan sedekah. Maka, antara yang boleh kami kongsikan ialah:

Gigi Gerahamnya Sembuh Sepenuhnya dengan Sedekah

Seorang pendakwah wanita yang terkenal bercerita: “Aku berada di Tanah Haram Mekah sejak beberapa tahun yang lalu. Suatu ketika, gigi gerahamku sakit, di mana aku agak terlambat untuk mengubatinya. Ini kerana fadhilat dan kelebihan Tanah Haram serta masjidil haram adalah banyak banyak. Antaranya:

صَلَاةٌ فِي مَسْجِدِي هَذَا أَفْضَلُ مِنْ أَلْفِ صَلَاةٍ فِيمَا سِوَاهُ، إِلَّا الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ، وَصَلَاةٌ فِي الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ أَفْضَلُ مِنْ مِائَةِ أَلْفِ صَلَاةٍ فِيمَا سِوَاهُ

Maksudnya: “Solat di masjidku ini (masjid Nabawi) lebih baik daripada seribu solat di tempat yang lain melainkan masjid al-Haram. Dan solat di Masjid al-Haram lebih baik daripada 100 ribu solat di tempat lain.”

Riwayat Ahmad (15271). [Sanadnya adalah sahih mengikut syarat Imam al-Bukhari menurut Syeikh Syuaib al-Arnaouth ketika beliau mentakhrijkan hadith ini di dalam musnad Ahmad]

Aku bahagia dengan keberadaanku di al-Haram, dan aku ingin menyibukkan diri dengan al-Quran. Akan tetapi, sekiranya penyakit itu terus terjadi, maka aku berniat akan pergi berjumpa dengan doktor dan aku akan melapangkan masaku.

Setelah itu, terlintas dalam fikiranku sebuah fikiran untuk menyembuh penyakit ini dengan sedekah. Akhirnya, aku pun bersedekah kepada seorang kanak-kanak perempuan di Masjidil Haram. Demi Allah, hanya dalam tempoh masa yang singkat, penyakitku menjadi sembuh. Sejak itu, sehingga ke hari ini, aku tidak lagi memerlukan doktor untuk mengubati penyakitku ini, kerana penyakit itu tidak pernah menyerangku kembali. (Lihat Min ‘Ajaibi al-Sadaqah, oleh Khalid bin Sulaiman al- Rib’ie, hlm. 57)

Untuk maklumat lanjut berkenaan keajaiban sedekah, kami ada menerbitkan sebuah buku bertajuk, “Keajaiban Sedekah.”  Jika anda berminat untuk mengetahui tentang hebatnya sedekah, pandangan ulama tentangnya, kisah-kisah menarik berkenaan sedekah, anda boleh tekan di link bawah:

https://pck.onpay.my/order/form/Azamramadhan/188

Akhir kalam, Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT:

اللَّهُمَّ اجْعَلْ أَعْمَالَنَا كُلَّهَا خَالِصَةً لِوَجْهِكَ الْكَرِيمِ، وَتَقَبَّلْ مِنَّا إِنَّكَ أَنْتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

Maksudnya: “Ya Allah, Engkau jadikanlah kesemua amalan kami ini Ikhlas kerana  mengharapkan wajah-Mu yang Mulia, dan terimalah doa kami ini, sesungguhnya Engkau yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

Wallahu a‘lam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *