#554 Bacaan Amin selepas Bacaan al-Fatihah di Luar Solat

 

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Adakah disunatkan mengucapkan “Amin” selepas bacaan al-Fatihah di luar solat? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Umumnya, mengucapkan “Amin” selepas selesai bacaan surah al-Fatihah bagi setiap orang yang mendirikan solat, hukumnya adalah sunat, yakni selepas firman Allah SWT, “وَلَا الضَّالِّينَ” hendaklah diikuti dengan perkataan “Amin”. Begitu juga, disunatkan mengucapkan “Amin” dengan nyaring pada semua solat yang dinyaringkan bacaan dan dengan perlahan pada solat yang diperlahankan bacaan, manakala makmum pula menyaringkannya mengikut imam. ( Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/152)

Majoriti ulama berpendapat bahawa lafaz “Amin” itu bermaksud “اللَّهُمَّ اسْتَجِبْ لَنَا” yakni “Ya Allah, perkenankanlah buat kami.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/145 dan al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 240.)

Berbalik kepada soalan yang diajukan, Imam al-Nawawi ada menyebutkan di dalam kitabnya al-Tibyan fi Adab Hamalah al-Quran, hlm.93 bahawa disunatkan bagi sesiapa yang membaca surah al-Fatihah untuk mengucapkan “Amin” selepas selesai membacanya. Ibn Kathir menjelaskan lagi, disunatkan perkara tersebut bagi sesiapa yang membacanya di luar solat dan pada hak orang yang mendirikan solat itu adalah lebih-lebih lagi — yakni disunatkan. Tidak kira dia mendirikan solat secara bersendirian atau dia ialah imam (yang memimpin solat berjemaah) atau dia ialah makmum. Dalam erti kata lain, disunatkan untuk mengucapkan “Amin” selepas membaca surah al-Fatihah pada semua keadaan. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/144-145.)

Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا أَمَّنَ الإِمَامُ، فَأَمِّنُوا، فَإِنَّهُ مَنْ وَافَقَ تَأْمِينُهُ تَأْمِينَ الـمَلاَئِكَةِ غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ. وَقَالَ ابْنُ شِهَابٍ: وَكَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: آمِينَ.

Maksudnya:Apabila imam mengucapkan ‘amin’, maka ucapkanlah ‘amin’ kerana sesungguhnya sesiapa yang ucapan ‘amin’nya serentak (bertepatan) dengan (ucapan) ‘amin’ para malaikat, nescaya dosanya yang telah lalu diampunkan.” Kemudian Imam al-Bukhari menukilkan di penghujung hadith ini, perkataan Ibn Syihab yang menyebutkan: “Rasulullah SAW juga selalu mengucapkan ‘amin’.”

Riwayat al-Bukhari (780)

Begitu juga terdapat riwayat lain daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا قَالَ أَحَدُكُمْ: آمِينَ، وَقَالَتِ المَلاَئِكَةُ فِي السَّمَاءِ: آمِينَ، فَوَافَقَتْ إِحْدَاهُمَا الأُخْرَى غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: “Apabila salah seorang daripada kamu mengucapkan ‘amin’, dan para malaikat di langit pun mengucapkan ‘amin’, lalu (berlaku) serentak (ucapan) antara satu sama lain, nescaya dosanya yang telah lalu diampunkan.”

 Riwayat al-Bukhari (781); Muslim (410)

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa disunatkan untuk mengucapkan lafaz “Amin” selepas selesai membaca surah al-Fatihah sekalipun di luar solat. Hal ini kerana kita disunatkan untuk mengucapkan “Amin” selepas selesai membaca surah al-Fatihah dalam semua keadaan dan bagi mereka yang berada dalam keadaan solat adalah lebih-lebih lagi disunatkan.

Lebih-lebih surah al-Fatihah itu sendiri mengandungi doa-doa yang sangat baik. Justeru, mengucapkan “Amin” selepas selesai membacanya ibarat memohon perkenan daripada Allah SWT atas semua doa tersebut kepada diri kita, di samping mengharapkan fadhilatnya — yakni diampunkan dosa-dosa yang lalu — sebagaimana yang telah dinyatakan dalam hadith-hadith yang sahih.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 21 Februari 2022 bersamaan 19 Rejab 1443H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *