Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bolehkah Dato jelaskan tentang orang yang tidak akan gugur haknya dalam mewarisi dan yang tidak dapat mewarisi?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Allah SWT berfirman:

لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ مِمَّا قَلَّ مِنْهُ أَوْ كَثُرَۚ نَصِيبًا مَّفْرُوضًا

Maksudnya: Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu; iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah).

(Surah al-Nisa’: 7)

Para ulama ketika menerangkan sebab penurunan ayat ini menyatakan bahawa ketika zaman sebelum datangnya Islam (zaman jahiliyyah), wanita dan kanak-kanak tidak berhak mendapat sedikit pun daripada harta pusaka yang ditinggalkan ahli keluarga mereka. Ini adalah kerana pada ketika itu, hanya lelaki yang boleh mempertahankan kabilah dan keluarga sahaja mewarisi harta pusaka. Hal ini dapat dilihat dalam satu kisah yang direkodkan bahawa ada seorang lelaki dari kaum Ansar meninggal dunia sebelum diturunkan ayat ini, dalam masa yang sama dia meninggalkan empat orang anak perempuan. Namun, kesemua harta yang ditinggalkan diambil oleh sepupunya. Oleh  kerana itu, Allah SWT menurunkan ayat ini yang menyatakan bahawa wanita juga berhak mendapat sebahagian daripada harta pusaka dan sekali gus memuliakan wanita. (Lihat Tafsir Muqatil Bin Sulaiman, 127/5; Tafsir al-Tabari, 597/7; Tafsir al-Maturidi, 28/3; al-Mufassal fi Tarikh al-Arab Qabla al-Islam, 237/10)

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan orang yang pasti mewarisi dan tidak dapat mewarisi:

Orang-orang yang tidak gugur dalam mendapatkan warisan dalam keadaan apapun ada lima, iaitu:

  1. Suami
  2. Isteri
  3. Ibu
  4. Ayah
  5. Anak kandung sama ada lelaki ataupun perempuan

Orang-orang yang tidak mewarisi harta ada tujuh, iaitu:

  1. Hamba
  2. Mudabbar
  3. Ummu walad
  4. Mukatab
  5. Pembunuh si mati
  6. Orang murtad
  7. Orang yang keluarganya berbeza agama

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنَ البَرَصِ، وَالْجُنُونِ، وَالْجُذَامِ، وَمِنْ سَيِّئِ الْأَسْقَامِ

Maksudnya: “Ya Allah, kami berlindung dengan-Mu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan penyakit-penyakit yang buruk.”

Semoga pencerahan ringkas ini dapat membantu kita untuk belajar memelihara wuduk kita pada sepanjang masa. Kami akhiri dengan doa:

اللهُمَّ فَقِّهْنَا فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْنَا التَّأْوِيلَ

Maksudnya: “Ya Allah! Berikanlah kepada kami kefahaman di dalam agama serta ajarkanlah kepada kami takwilan-takwilan.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *