Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh jelaskan hadith yang menyebut bahawa puasa itu tiada tandingan baginya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Daripada Abi Umamah RA katanya: “Aku pernah bertanya: “Wahai Rasulullah, tunjukkan kepadaku satu amalan, dengannya Allah memberi manfaat kepadaku. Baginda bersabda:

عَلَيْكَ بِالصَّوْمِ فَإِنَّهُ لاَ عِدْلَ لَهُ

Maksudnya: “Hendaklah kamu banyakkan berpuasa, kerana tiada yang sebanding dengannya.”

Riwayat al-Nasa’ie (2223), Ahmad (22276) dan al-Hakim dalam al-Mustadrak (1466). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan hadith ini sebagai sahih dalam takhrij al-Musnad. Begitu juga yang dinyatakan dalam Sahih al-Jami’ (4044).

Al-San’ani berkata: Lafaz ‘العِدْل ’ itu adalah ‘المثل’ sepertimana dijelaskan di dalam riwayat lain. Selain itu, ia juga menunjukkan bukti tentang keutamaan dan kelebihan puasa di atas segala amalan yang bermanfaat. (Lihat al-Tahbir li Idhah Ma’ani al-Taisir, 6/183)

Dalam lafaz lain, Abu Umamah al-Bahili R.A berkata:

أَتَيْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقُلْتُ مُرْنِي بِأَمْرٍ آخُذُهُ عَنْكَ، قَالَ: عَلَيْكَ بِالصَّوْمِ فَإِنَّهُ لَا مِثْلَ لَهُ

Maksudnya: “Aku datang menemui Rasulullah SAW, lalu aku mengatakan: “Wahai Rasulullah, tunjukkan kepadaku perkara yang aku ambil (pegang teguh) darimu.” Lalu Baginda SAW bersabda: “Berpuasalah kerana (puasa) tidak ada bandingannya.”

Riwayat al-Nasa’ie (2220). Dinyatakan sebagai sahih dalam Sahih al-Nasa’ie (2219)

Dalam lafaz lain, Abu Umamah R.A berkata kepada Rasulullah SAW:

 فَمُرْنِي بِعَمَلٍ أَدْخُلُ بِهِ الْجَنَّةَ، فَقَالَ: عَلَيْكَ بِالصَّوْمِ، فَإِنَّهُ لَا مِثْلَ لَهُ. قَالَ: فَكَانَ أَبُو أُمَامَةَ لَا يُرَى فِي بَيْتِهِ الدُّخَانُ نَهَارًا إِلَّا إِذَا نَزَلَ بِهِمْ ضَيْفٌ، فَإِذَا رَأَوَا الدُّخَانَ نَهَارًا، عَرَفُوا أَنَّهُ قَدِ اعْتَرَاهُمْ ضَيْفٌ

Maksudnya: “Wahai Rasulullah, tunjukkanlah kepadaku amalan yang dengannya aku dapat masuk syurga.” Maka Baginda bersabda: “Berpuasalah engkau, kerana puasa itu (ibadah) yang tidak ada bandingannya.” Dia (Raja’ bin Haiwah iaitu perawi hadith) menyebut: “Bahawasanya Abu al-Darda’ (selepas itu) tidak lagi kelihatan pada siang harinya ada asap di (dapur) rumahnya, kecuali jika ada kedatangan tetamu. Apabila mereka melihat ada asap pada siang hari, maka mereka mengetahui bahawa ia petanda di rumahnya sedang ada kunjungan tetamu.

Riwayat Ibn Hibban (2425), al-Tabarani (4763). Dinyatakan sebagai sahih dalam Sahih al-Targhib wa al-Tarhib (1/580)

Al-Munawi berkata: Sabda Baginda ‘عَلَيْكَ بِالصَّوْمِ’ yakni lazimilah, ‘فَإِنَّهُ لَا مِثْلَ لَهُ’. Dalam riwayat Abu Nu’aim, digantikan dengan ‘لاَ عِدْلَ لَهُ’, kerana puasa itu menguatkan jantung hati dan meningkatkan kecerdasan, serta menambahkan kebijaksanaan dan kemuliaan akhlak. Apabila seseorang berpuasa, dia akan terbiasa dengan sedikit makan dan minum. Maka nafsunya akan terkawal, dosa-dosa akan tercabut dari akarnya, dan akan masuk ke dalam kebaikan dalam segenap aspek, serta kebaikan akan mengelilinginya dari setiap sudut. (Lihat Faidh al-Qadir, 4/330)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *