Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apa maksud puasa itu untuk Allah, dan Allah sendiri yang akan memberi ganjaran pahalanya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Daripada Abu Hurairah R.A, daripada Nabi SAW, Baginda SAW bersabda:

يَقُولُ اللهُ عَزَّ وَجَلَّ: الصَّوْمُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ، يَدَعُ شَهْوَتَهُ وَأَكْلَهُ وَشُرْبَهُ مِنْ أَجْلِي، وَالصَّوْمُ جُنَّةٌ، وَلِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ: فَرْحَةٌ حِينَ يُفْطِرُ، وَفَرْحَةٌ حِينَ يَلْقَى رَبَّهُ، وَلَخُلُوفُ فَمِ الصَّائِمِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللهِ مِنْ رِيحِ المِسْكِ.

Maksudnya: “Allah SWT berfirman: ‘Puasa adalah untuk-Ku dan Aku yang mengganjarinya. Dia meninggalkan syahwatnya, makannya dan minumnya kerana Aku. Puasa adalah perisai, dan bagi orang yang berpuasa ada dua kegembiraan, iaitu gembira ketika berbuka puasa dan gembira ketika berjumpa dengan Tuhannya. Sesungguhnya, bau mulut orang yang berpuasa adalah lebih wangi di sisi Allah daripada bau kasturi.”

Riwayat al-Bukhari (7492) dan Muslim (1151)

Berkenaan lafaz ‘فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ’ (Puasa itu untuk-Ku dan Aku-lah yang akan membalasnya), Al-Hafiz Ibn Hajar menukilkan bahawa al-Baidhawi berkata: Terdapat dua perkara yang menjadi sebab mengapa ibadah puasa diistimewakan dengan kelebihan seperti ini.

Pertama: Kerana ibadah-ibadah selainnya dapat dilihat oleh manusia, berbeza dengan puasa kerana ia merupakan rahsia antara hamba dan Allah SWT. Dia melakukannya dengan ikhlas dan mengerjakannya kerana mengharapkan redha-Nya. Hal ini ditunjukkan menerusi firman Allah SWT dalam sabda Baginda SAW, ‘الصَّوْمُ لِي’ (Sesungguhnya puasa itu adalah untuk-Ku).

Kedua: Kerana seluruh perbuatan baik dilakukan dengan cara mengeluarkan harta atau menggunakan anggota fizikal. Manakala puasa mencakupi perbuatan mengekang hawa nafsu dan menjadikan fizikal menjadi lemah. Dalam ibadah puasa, terdapat unsur kesabaran menahan rasa lapar, haus dan meninggalkan syahwat. Hal ini ditunjukkan menerusi firman Allah SWT dalam sabda Baginda SAW: “Dia meninggalkan syahwat kerana-Ku.” (Lihat Fath al-Bari, 4/108)

Dalam lafaz yang lain, daripada Abu Hurairah R.A, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda (dengan hadith Qudsi):

كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ لَهُ إِلَّا الصَّوْمَ، وَأَنَا أَجْزِي بِهِ، وَلَخُلُوفُ فَمِ الصَّائِمِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللَّهِ مِنْ رِيحِ المِسْكِ.

Maksudnya: “Semua amalan anak Adam adalah untuknya, kecuali puasa, dan Aku yang akan membalasnya. Sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada aroma kasturi.”

Riwayat al-Bukhari (5927) dan Muslim (1151)

Ini kerana mereka yang mempunyai keimanan yang kental sahaja mampu melakukan amalan puasa, sebaliknya mereka yang goyah dan mudah mengikut hawa nafsu amat sukar baginya untuk melakukan ibadat puasa.

Imam al-Munawi berkata: “Orang yang berpuasa, Aku (Allah) memberinya balasan pahala yang banyak. Aku yang menguruskan balasan pahala itu tanpa diwakilkan kepada malaikat yang paling dekat atau makhluk-makhluk lain kerana puasa itu rahsia antara-Ku dengan hamba-Ku. Ini kerana apabila ditahan dirinya daripada nafsu syahwat maka ia diberi pahala dengan pengawasan Allah SWT.” (Lihat Faidh al-Qadir, 4/250)

Berkenaan dengan bau mulut yang disebut dalam hadis lebih wangi daripada kasturi di sisi Allah SWT memberi maksud pujian-Nya kepada orang yang berpuasa dan mendapat keredhaan-Nya. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/431).

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *