Soalan

Apakah fadhilat menghafaz al-Quran?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Syeikh Muhammad Ali al-Sobuni dalam mendefinisikan al-Quran: Al-Quran adalah Kalam Allah yang mukjizat yang diturunkan kepada penutup segala Nabi dan Rasul melalui Malaikat Jibril AS yang ditulis pada mashaf-mashaf yang dipindahkan kepada kita secara mutawatir dengan membacanya adalah ibadah bermula dengan surah al-Fatihah dan diakhiri dengan surah al-Nas. [1]

Sejak al-Quran diturunkan, ianya telah dipelihara dengan begitu rapi. Ramai penghafaz al-Quran setiap zaman bermula zaman Rasulullah SAW lagi hinggalah ke hari ini. Al-Quran juga dipelihara dalam bentuk tulisan yang mana pada peringkat awalnya ramai penulis al-Quran menghasilkan mushaf. Dan selepas perkembangan teknologi, al-Quran dihasilkan dalam bentuk percetakan.

Semua penjagaan al-Quran dalam bentuk mushaf dan hafazan menjadi bukti yang kukuh bahawa al-Quran terpelihara dari segala kesalahan dan kekurangan. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT:

إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُون

Maksudnya: “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-zikr (Al-Quran), dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya”.[2]

Terdapat sebuah hadith qudsi yang diriwayatkan daripada ‘Iyadh bin Himar RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda, Allah SWT berfirman:

إنَّمَا بَعَثْتُكَ لأَبْتَلِيَكَ وأَبْتَلِيَ بِكَ، وأَنْزَلْتُ عَلَيْكَ كِتاباً لا يَغْسِلُهُ المَاءُ

Maksudnya: Sesungguhnya aku mengutusmu untuk mengujiMu dan denganMu Aku menguji, Aku menurunkan kitab padamu yang tidak basah oleh air.[3]

Imam al-Nawawi menyebutkan: Maksudnya di sini bahawa al-Quran ini dijaga di dalam dada dan akan terus kekal merentas zaman.[4]

Antara nikmat yang besar ialah nikmat iman dan Islam. Begitu juga istiqamah dalam ketaatan. Sementelahan lagi, diberi akal yang baik dan ingatan yang kuat sehingga mampu menghafaz al-Quran atau sejumlah ayat daripadanya.

Dinyatakan di sini fadilat menghafaz al-Quran:

  • Pertama: Daripada Abdullah Bin Umar R.Anhuma Rasulullah SAW bersabda:

يُقالُ لِصَاحِبِ القُرْءَانِ اِقرَأْ وَارتَقِ وَرَتِّل كَمَا كُنتَ تُرَتِّلُ فِي الدُّنْيَا فَإِنَّ مَنْزِلَتَكَ عِنْدَ اَخِرِ اَيَةٍ تَقْرَأءُبِهَا

Maksudnya: Dikatakan bagi pembaca atau penghafaz al-Quran bacalah dan bacalah dengan tartil sebagaimana kamu membaca dengan tartil di dunia. Ini kerana, kedudukan kamu pada ayat terakhir yang kamu baca di dunia.[5]

  • Kedua: Daripada Aisyah R.Anha, Rasulullah SAW bersabda:

مَثَلُ الَّذِي يَقْرَأُ القُرْآنَ، وَهُوَ حَافِظٌ لَهُ مَعَ السَّفَرَةِ الكِرَامِ البَرَرَةِ، وَمَثَلُ الَّذِي يَقْرَأُ، وَهُوَ يَتَعَاهَدُهُ، وَهُوَ عَلَيْهِ شَدِيدٌ فَلَهُ أَجْرَانِ

Maksudnya: Umpama yang membaca al-Quran dan menghafaznya bersama kumpulan malaikat mulia sedangkan umpama membaca al-Quran dalam keadaan sukar. Baginya akan mendapat dua pahala.[6]

  • Ketiga: Daripada Abu Mas’ud al-Badri, Uqbah Ibn Amru RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

يَؤُمُّ القَومَ أَقرَؤُهُم لِكِتَابِ اللهِ

Maksudnya: Yang layak menjadi imam dikalangan mereka adalah yang paling banyak hafazan dan bacaan kitab Allah.[7]

 

  • Keempat: Daripada Umar Ibn Al-Khattab RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

اِنَّ اللهَ يَرفَعُ بِهَذَا الكِتَابِ أَقْوَاماً ويَضَعُ بِهِ آخَرِينَ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah mengangkat dengan kitab ini (al-Quran) kaum-kaum dan menjatuhkan dengan kitab ini (al-Quran) golongan yang lain.[8]

  • Kelima: Daripada Abu Umamah al-Bahili RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

اِقرَؤُواْ القُرءَانَ فَإِنَّهُ يَأتِي يَوْمَ القِيَامَةِ شَفِيعاً لأَصحَابِهِ

Maksudnya: Bacalah al-Quran kerana dia datang pada hari kiamat dalam bentuk memberi syafaat kepada tuan-tuannya.[9]

  • Keenam: Daripada Anas Bin Malik RA katanya, Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ للهِ اَهْلِينَ مِنَ النَّاسِ. قَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ مَنْ هُمْ؟ قَالَ: هُمْ أَهْلُ القُرءَانِ, أَهْلُ اللهِ وَخَاصَّتُهُ

Maksudnya: Sesungguhnya bagi Allah terdapat ahli-Nya dikalangan manusia. Mereka bertanya, hai Rasulullah siapakah mereka? Jawab Baginda SAW, mereka ialah ahli al-Quran, ahlullah dan yang diistimewanya.[10]

Perkataan ahlullah digunakan kepada penghafaz al-Quran sebagai gambaran kemuliaan dan keistimewaan mereka. Benarlah kata Imam Ibn al-Jazari  di dalam Syarh Taibah al-Nasyr[11]:

وَأَنَّهُم فِي النَّاسِ أَهلُ اللهِ       وَأَنَّ رَبَّنَا بِهِم يُبَاهِي

وَقَالَ عَنْهُم فِي القُرءَانِ وَكَفَى  بِأَنَّهُ أَورَثَهُ مَنِ اصْطَفَى

Bahawa sesungguhnya mereka di kalangan manusia sebagai ahlullah

Sesungguhnya tuhan kami dengan mereka pasti berbangga

Dia berfirman tentang mereka dalam al-Quran dan memadai

Bahawa sesungguhnya Dia mewariskannya siapa yang terpilih.

 

Berdasarkan kepada nas di atas, jelas menunjukkan kelebihan membaca dan menghafaz al-Quran sehingga dikurniakan pelbagai keistimewaan yang tidak diberikan kepada yang lain. Ini bukan sahaja kurniaan di akhirat bahkan di dunia lagi. Ibn Hajar al-Haitami pernah berkata khabar yang khusus berkenaan yang menghafaz al-Quran bukan semata-mata membacanya kerana membaca tidak akan berbeza dengan yang lain.

Kami ingin mengemukakan fakta atau realiti kepada yang menghafaz al-Quran faedah dan keistimewaan bukan semata-mata di akhirat tetapi di dunia lagi. Antaranya:

  • Murah rezeki. Sebagai contoh diperlukan untuk menjadi imam, pembaca doa dan juga penyelesai masalah dalam masyarakat. Secara logiknya, siapa yang menjaga Allah dan memelihara-Nya termasuk memelihara kalam-Nya, sudah pasti Allah memeliharanya sepertimana yang disebut di dalam al-Quran dan hadis.
  • Cemerlang dalam peperiksaan. Pelajar yang menghafaz al-Quran biasanya mendapat kecemerlangan dalam kehidupan dan juga peperiksaan yang dihadapi. Hal ini bukanlah perkara yang pelik bilamana pelajar-pelajar yang berada di maahad tahfiz apabila memasuki peperiksaan seperti SPM mahupun STPM akan meraih kejayaan memberangsangkan. Boleh jadi, kerana sistem latihan dan sistem hafazan yang telah disebatikan dan yang lebih besar daripada itu keberkatan al-Quran itu sendiri.
  • Fasihnya lidah. Ini merupakan kesan yang nyata bagi penghafaz al-Quran lebih-lebih lagi sebutan bahasa Arab sebagai lughah (bahasa) al-Quran. Begitu juga hal ini telah diketahui oleh Dr. Yahya al-Bardawi berkenaan dengan kelebihan mereka yang mempelajari al-Quran dan menghafaznya.

Kami menutup perbincangan ini dengan mengemukakan sebuah hadis Nabi SAW  yang diriwayatkan daripada Uthman bin Affan RA, Sabda Rasulullah SAW:

خَيْرُكُمْ مَنْ تَعَلَّمَ القُرْآنَ وَعَلَّمَهُ

 Maksudnya: Sebaik-baik daripada kamu adalah yang belajar al-Quran dan mengajarnya.[12]

Ibn Hajar al-Asqalani menyatakan dalam syarahnya: Orang yang belajar al-Quran mendapat kebaikan walaupun tidak mengajarkannya. Namun, orang yang belajar al-Quran dan kemudian mengajarkannya kepada orang lain mendapat kebaikan lebih banyak kerana mendapat manfaat sebagai (guru) yang diikuti. [13]

Bertarikh 8 November 2021 M bersamaan  3 Rabi’ al-Akhir 1443 H

 

[1] Lihat al-Tibyan fi ‘Ulum al-Quran, hlm. 8

[2] Surah al-Hijr: 9

[3] Riwayat Muslim (2865)

[4] Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 17/204

[5] Riwayat  Al-Tirmizi (2915) dan Ahmad (10087)

[6] Riwayat al-Bukhari (4937)

[7] Riwayat Muslim )673(,  Abu Dawud )582(, Al-Tirmizi (235), Ibn Majah (807), Ibn Hibban (8/397)

[8] Riwayat Muslim (817), Ibn Majah (180), al-Darquthni (261)

[9] Riwayat Muslim (804)

[10] Riwayat al-Nasaie di dalam Sunan al-Kubra (8031), Ibn Majah (215) dan Ahmad (13542)

[11] Lihat Syarh Taibah al-Nasyr hlm. 7

[12] Riwayat al-Bukhari (5027), dan Abu Dawud (1452)

[13] Lihat Fath al-Bari, 9/76

-11%
Rated 0 out of 5
RM16.00
-44%

11.11 Sales 2021

11.11 Sales

Rated 0 out of 5
RM50.00RM90.00
-33%
RM10.00RM20.00

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *