Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah doa yang boleh saya amalkan agar diselamatkan dari kemungkaran?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Diselamatkan dari Kemungkaran

اللَّهُمَّ جَنِّبْنِي مُنْكَرَاتِ الْأَخْلَاقِ ، وَالْأَهْوَاءِ ، وَالْأَسْوَاءِ وَالْأَدْوَاءِ

Maksudnya: “Ya Allah, jauhkanlah aku daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Riwayat al-Tirmizi (3591), Ibn Hibban (960), al-Tabarani (19/19) dan al-Bazzar (9/155)

Di dalam riwayat al-Hakim terdapat perbezaan sedikit iaitu pada kalimah الأسواءِ ‘ di mana dalam riwayat al-Hakim disebut dengan lafaz ‘perbuatan yang buruk’ dan bukannya ‘keadaan yang buruk’. (Lihat al-Mustadrak, 1/714) Adapun dari sudut status hadith ini, ia disahihkan oleh Imam Ibn Hibban dan juga Imam al-Hakim. Imam al-Hakim menyatakan hadith ini sanadnya sahih mengikut syarat Imam Muslim.

Hadith ini mendorong kita agar menjauhkan diri daripada akhlak yang keji serta menyeru kita agar berakhlak dengan akhlak yang terpuji di samping beramal dengan amalan soleh. Antara yang dimaksudkan dengan kemungkaran akhlak adalah seperti ‘ujub, takabbur, sombong, bangga diri, hasad dengki, mengangkat diri dan zalim.

Adapun kemungkaran amalan pula adalah seperti zina, meminum arak dan perkara-perkara haram yang lain. Manakala kemungkaran hawa nafsu pula bermaksud pegangan (i’tiqad) yang salah, tujuan yang batil (salah), pemikiran yang merosakkan serta adab yang mengaibkan. (Lihat Nuzhah al-Muttaqin, 2/242)

Maksud “penyakit yang berbahaya di dalam doa tersebut adalah seperti penyakit kusta, sopak, batuk kering, penyakit rongga paru-paru atau seumpamanya yang mana kesemuanya adalah penyakit yang berbahaya. (Lihat Faidh al-Qadir, 2/110) Untuk itu, lafaz hadith atau doa ini adalah bersifat umum. Maka ia boleh dimaksudkan dengan apa jua penyakit yang berbahaya.

Nabi SAW selalu berdoa agar dipelihara oleh Allah SWT daripada penyakit-penyakit yang berbahaya ini serta memohon agar dijauhi daripada seburuk-buruk penyakit. (Lihat Subul al-Salam, 2/673. Lihat juga Irsyad al-Hadith Siri ke-466 untuk bacaan lanjut)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوْذُ بِكَ مِنْ جَهْدِ البَلَاءِ، وَدَرَكِ الشَّقَاءِ، وَسُوءِ القَضَاءِ ، وَشَمَاتَةِ الأَعْدَاءِ

Maksudnya: “Wahai Allah! Kami berlindung kepada-Mu daripada ujian yang berat, hinanya kecelakaan, buruknya takdir dan celaan para musuh (atas bala, ujian dan kecelakaan yang menimpa).”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *