Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah syarat sah umrah bagi wanita dan syarat wajib?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Syarat-syarat sah umrah dan syarat-syarat wajib adalah sama, iaitu antaranya:

  • Orang Islam: Tidak wajib atas orang kafir dan murtad.
  • Baligh: Tidak wajib atas kanak-kanak tetapi sah hajinya dan tidak gugur wajibnya bila baligh.
  • Berakal: Tidak wajib atas orang gila dan jika dilakukan juga, tidak sah hajinya.
  • Merdeka (bukan hamba): Hamba abdi tidak diwajibkan, tetapi sah hajinya dan diberi pahala.
  • Berkuasa dan berkemampuan (istita‘ah)

Bagi wanita, hendaklah suci daripada haid dan nifas kerana jika dia didatangi haid dan nifas, dia tidak mampu dan tidak dibenarkan untuk mengerjakan ibadah tawaf. Begitu juga, sewajarnya beliau hendaklah mendapat keizinan suaminya agar ibadat tersebut diterima oleh Allah SWT atau bagi perempuan, pergi bersama dengan mahramnya sebagaimana sebuah hadis yang masyhur:

لَا تُسَافِرُ الْمَرْأَةُ إِلاَّ مَعَ ذِي مَحْرَمٍ

Maksudnya: “Seorang wanita tidak boleh bermusafir tanpa ada mahram.”

Riwayat al-Bukhari (1729) dan Muslim (2391)

Begitu juga dengan riwayat yang lain bahawa Nabi SAW bersabda :

لا يَحِلُّ لامْرَأَةٍ تُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ تُسَافِرُ مَسِيرَةَ يَوْمٍ إِلا مَعَ ذِي مَحْرَمٍ

Maksudnya: “Tidak boleh bagi seorang perempuan yang beriman dengan Allah dan hari akhirat untuk bermusafir sejauh sehari perjalanan kecuali bersamanya ada mahram.”

Riwayat Muslim (1339)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *