Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh ceritakan keluarga Imam Malik dan benarkah anak perempuannya sangat cerdik?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Daripada Abi al-Darda’ RA berkata, aku mendengar Nabi SAW bersabda:

وَإِنَّ الْعُلَمَاءَ وَرَثَةُ الْأَنْبِيَاءِ، وَإِنَّ الْأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا، وَلَا دِرْهَمًا وَرَّثُوا الْعِلْمَ، فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya ulama’ adalah pewaris para nabi. Sesungguhnya para nabi tidak mewariskan dinar atau dirham. Akan tetapi mereka mewariskan ilmu, maka barangsiapa yang mengambil warisan tersebut, maka dia telah mengambil bahagian yang banyak”.

Riwayat Abu Daud (3641). Syeikh al-Arna’out menghukum hadith ini sebagai hasan dengan syawahidnya.

Imam Malik berkahwin dengan jalan perhambaan (al-Tasarri). Maksudnya, beliau berkahwin dengan seorang hamba (amah). Beliau tidak berkahwin dengan perempuan merdeka (hurrah) dan beliau sangat menyayangi isterinya.

Beliau mendapat empat orang anak hasil perkahwinan tersebut. Puteranya bernama Muhammad, Hammad dan Yahya, sementara puterinya pula bernama Fatimah. Gelaran bagi Fatimah ialah Ummul Mukminin.

Fatimah menghafal kitab al-Muwatta’. Antara perkara yang aneh ialah bahawa puteri Imam Malik itu telah mendapat ilmu yang tinggi berbanding anak-anak lelakinya. Dikisahkan oleh al-Zubairi, apabila bapanya mengadakan kelas pelajaran di rumah, beliau duduk di belakang pintu mendengar mereka membaca kitab al-Muwatta’ dan apabila pembaca melakukan kesilapan, terus diketuk pintu. Bapa beliau meminta pembaca itu mengulangi bacaan serta membetulkan kesalahan. Manakala anak lelaki Imam Malik pula datang dalam keadaan di sebelah tangannya memegang seekor burung pipit, dan di sebelah tangan pula memegang kasut, dalam keadaan seluar yang dipakainya longgar. Lalu Imam Malik memandang ke arah sahabatnya dan berkata:

إِنَّمَا الْأَدَبُ أَدَبُ اللهِ، هَذَا ابْنِي وَهَذِهِ ابْنَتِي؟

Maksudnya: “Sesungguhnya  adab itu daripada Allah. Ini anak lelakiku dan ini pula anak perempuanku?” (Lihat al-Dibaj al-Muzahhab, 1/86-87)

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Surah al-Furqan (74)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *