Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami, kisah keluarga Imam Ahmad yang terkait dengan perkahwinannya dan anaknya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

فَسْـَٔلُوٓا۟ أَهْلَ ٱلذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Maka, tanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui.”

(Surah al-Nahl: 43)

Lafaz Ahl al-Zikr yakni ‘orang yang mempunyai pengetahuan’ dalam ayat di atas  adalah bersifat umum, merangkumi al-Mafdhul dan al-Afdhal. Selain itu, di antara hujah mereka  yang lain ialah keputusan (kata putus) pada zaman sahabat iaitu dengan fatwa daripada setiap sahabat termasuklah daripada kalangan mereka yang mafdhul, dan perkara ini dianggap sebagai ijma‘ daripada mereka (para sahabat) akan keharusannya. (Lihat Tafsir al-Bayan, 3/87-88)

Menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa Imam Ahmad berkahwin dengan isterinya yang pertama pada tahun 203 Hijrah, ketika beliau berusia dalam lingkungan 38-40 tahun. Isterinya yang pertama bernama, ‘Abbasah binti al-Fadhl. Namun, ada yang berpendapat namanya ialah ‘Aisyah binti al-Fadhl. Menurut Imam Ahmad, beliau telah hidup bersama Ummu Soleh, isterinya yang pertama selama 30 tahun, dan selama tempoh tersebut mereka tidak pernah berselisih walaupun satu kalimat. Hasil perkahwinan tersebut, beliau dikurniakan hanya seorang anak yang bernama Abu al-Fadhl Soleh bin Ahmad.

Abu Bakar al-Marwazi menyebutkan, beliau mendengar Imam Ahmad mengatakan, aku tidak berkahwin melainkan setelah berusia lebih 40 tahun. ‘Abd al-Ghani al-Daqir mengulas kenyataan ini dengan menyatakan, pendapat ini boleh diterima kerana anaknya, Soleh dilahirkan pada tahun 203 Hijrah, jadi umur bapanya ketika beliau berkahwin adalah kira-kira 38 tahun. (Lihat Ahmad bin Hanbal Imam Ahl al-Sunnah oleh al-Daqir,  hlm. 22-23; Tarikh Baghdad, 14/438 & 16/626; Siyar A‘lam al-Nubala’, 11/185)

Imam Ahmad kemudiannya berkahwin dengan isterinya yang kedua bernama Raihanah. Kemungkinan, beliau berkahwin pada tahun 213 Hijrah. Ini kerana anak lelakinya yang bernama Abdullah, hasil dari perkahwinan tersebut pada tahun yang sama.

‘Abd al-Ghani al-Daqar menjelaskan, pendapat yang menyatakan bahawa Imam Ahmad tidak berkahwin yang kedua melainkan setelah kematian isterinya yang pertama dan beliau bersama dengan isterinya yang pertama selama 30 tahun adalah pendapat yang sukar diterima. Ini kerana jarak antara kelahiran kedua anak lelakinya, Soleh dan ‘Abdullah hanya kira-kira sepuluh tahun. Jika Soleh dilahirkan pada tahun 203 Hijrah dan umur bapanya pada masa itu adalah 39 tahun, sedangkan Abdullah pula dilahirkan pada tahun 213 Hijrah, maka ini menunjukkan bahawa Imam Ahmad menikahi ibu kepada Abdullah semasa ibu kepada Soleh masih lagi hidup dan menghimpunkan mereka bersama – sebagai madu. Justeru, pendapat selain daripada ini adalah tidak tepat, jika tarikh-tarikh kelahiran dan kematian adalah benar sebagaimana yang dinyatakan.

Ibn al-Jauzi dalam al-Manaqib sedar akan percanggahan ini dan menjadikan perbezaan jarak antara dua perkahwinan tersebut adalah 20 tahun (sebagai ganti kepada 30 tahun). Meskipun begitu, ia juga tetap tidak masuk akal (untuk diterima dan dianggap betul) kecuali jika perbezaan antara kedua-dua perkahwinan itu adalah sepuluh tahun. Adapun jika perbezaannya adalah 30 tahun seperti yang dinyatakan, maka ia tidak dapat diterima (masuk akal), melainkan perkahwinan kedua itu berlaku dalam tempoh isterinya yang pertama masih lagi hidup. (Lihat Ahmad bin Hanbal Imam Ahl al-Sunnah oleh al-Daqir, hlm. 23)

Selepas kewafatan Ummu ‘Abdillah, isterinya yang kedua, beliau membeli seorang hamba perempuan yang bernama, Husn. Husn telah melahirkan buatnya anak-anak yang bernama Ummu Ali Zainab, kemudian al-Hasan dan al-Husain (anak kembar tetapi kedua-duanya meninggal dunia tidak lama selepas dilahirkan), kemudian al-Hasan dan Muhammad (kedua-duanya hidup sehingga kira-kira 40 tahun), serta Sa‘id. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 11/185)

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Surah al-Furqan (74)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *