Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah lantai bilik air yang berlumut, kekuningan, dan terdapat kotoran seperti rambut, debu dan pasir boleh menghalang air dari menyucikan najis? Jika lantai tersebut terkena najis, adakah cukup dengan menjirus air tanpa perlu menyental kotoran di lantai itu?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan hadith Nabi SAW:

الطُّهُورُ شَطْرُ الإِيمَانِ

Maksudnya : “Bersuci itu adalah antara ciri-ciri keimanan.”

Riwayat Muslim (223)

Islam sangat mengambil berat dalam hal bersuci dan kebersihan. Begitu juga, manusia cenderung kepada kebersihan dan secara tabi’i manusia tidak suka serta menjauhkan diri daripada kekotoran. Oleh sebab Islam adalah agama fitrah, maka secara tabi’i ia memerintahkan manusia supaya bersuci dan menjaga kebersihan.

Pembahagian najis

Najis terbahagi kepada tiga bahagian, iaitu Najis Mukhaffafah (ringan), Najis Mutawassitah (sederhana) dan Najis Mughallazah (berat).

  • Najis Mughallazah ialah anjing dan babi serta apa daripadanya.
  • Najis Mukhaffafah merupakan air kencing bayi lelaki yang hanya minum susu ibunya sahaja dan berumur tidak lebih daripada dua tahun.
  • Najis Mutawassitah pula adalah selain daripada kedua-dua jenis najis di atas. Najis Mutawassitah adalah seperti air kencing, najis haiwan dan darah. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/40-41)

Suka kami nyatakan, persoalan sebegini telah banyak kami jawab dalam artikel sebelum ini. Antaranya:

#1823: Kencing di Tempat Mandi — Bilik Air[1]

#2792: Syak Terhadap Najis Yang Tidak Kelihatan Atau Tidak Berbau[2]

#1498: Bersihkan Najis Guna Vakum atau Mop[3]

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan pertama sekali apabila terdapat ain najis misalnya tahi atau kencing seumpamanya, ia perlu dibuang atau dihilangkan terlebih dahulu. Kemudian, cucilah lantai tandas tersebut dengan air mutlak sehingga hilangnya 3 sifat tersebut iaitu bau, rasa dan warna. Lebih-lebih lagi, pada hari ini banyak produk sabun yang bagus dalam menghilangkan lantai yang berlumut, kuning, berkarat dan seumpamanya. Maka, sebaiknya kita pastikan tempat kediaman kita sentiasa dalam keadaan bersih dan selesa dan ini secara tidak langsung dapat mengelakkan daripada dihantui perasaan was-was dan seumpamanya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْنِي مِنْ التَّوَّابِينَ ، وَاجْعَلْنِي مِنْ الْمُتَطَهِّرِينَ

Maksudnya: “Ya Allah, jadikanlah aku termasuk dari kalangan orang-orang yang bertaubat, dan jadikanlah aku termasuk dari kalangan orang-orang yang menyucikan diri.”

Riwayat al-Tirmizi (55)

Nota Hujung:

[1] https://maktabahalbakri.com/1823-kencing-di-tempat-mandi-bilik-air/

[2] https://maktabahalbakri.com/2792-syak-terhadap-najis-yang-tidak-kelihatan-atau-tidak-berbau/

[3] https://maktabahalbakri.com/1498-bersihkan-najis-guna-vakum-atau-mop/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *