#5700: Murid-Murid Kanan Imam Malik

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami murid-murid kanan Imam Malik?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Daripada Abi al-Darda’ RA berkata, aku mendengar Nabi SAW bersabda:

وَإِنَّ الْعُلَمَاءَ وَرَثَةُ الْأَنْبِيَاءِ، وَإِنَّ الْأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا، وَلَا دِرْهَمًا وَرَّثُوا الْعِلْمَ، فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya ulama’ adalah pewaris para nabi. Sesungguhnya para nabi tidak mewariskan dinar atau dirham. Akan tetapi mereka mewariskan ilmu, maka barangsiapa yang mengambil warisan tersebut, maka dia telah mengambil bahagian yang banyak”.

Riwayat Abu Daud (3641). Syeikh al-Arna’out menghukum hadith ini sebagai hasan dengan syawahidnya.

Sudah tentu, antara murid kanan Imam Malik yang utama, imam kita Imam al-Syafi’i. Tetapi di sini mereka yang kebanyakannya menyebarkan mazhab Imam Malik.

Imam Malik mempunyai ramai murid yang berkaliber, antaranya:

  • Abu Muhammad Abdullah bin Abdul Hakam bin Ain. Diriwayatkan daripada Malik dalam kitab al-Muwatta’. Dilahirkan di Mesir pada tahun 155 Hijrah dan meninggal dunia pada bulan Ramadhan 214 Hijrah. Beliau dianggap murid yang paling alim berkenaan dengan khilaf pendapat Imam Malik. Beliau dikebumikan bersebelahan kubur Imam al-Syafie.
  • Abu Muhammad Abdullah bin Wahab bin Muslim. Lahir pada tahun 125 Hijrah. Beliau bermulazamah dengan Imam Malik selama 20 tahun dan Imam Malik memanggilnya dengan gelaran faqih Mesir serta mufti. Beliau dikenali dengan gelaran Diwan al-Ilmi. Meninggal dunia pada tahun 197 Hijrah.
  • Abu Abdullah Abdul Rahman bin al-Qasim al-Misri. Beliau belajar dengan Imam Malik selama 20 tahun dan dianggap sebagai mujtahid mutlak. Yahya bin Yahya pernah berkata: “Beliau adalah yang paling alim di kalangan sahabat Malik.” Beliau meninggal dunia di Mesir pada tahun 191 Hijrah.
  • Abu Umar Asyhab bin Abdul Aziz bin Daud al-Misri. Ada pendapat mengatakan namanya ialah Miskin. Dilahirkan di Mesir pada tahun 150 Hijrah dan meninggal dunia pada tahun 204 Hijrah, selepas 18 hari kematian Imam al-Syafi’i. Beliau pernah berguru dengan Imam Malik dan al-Laith bin Sa’d. Dikatakan, beliau menjadi rujukan ulama fiqh di kota Mesir selepas Ibn al-Qasim. Imam al-Syafie pernah berkata: “Aku tidak pernah melihat yang lebih faqih daripada Asyhab.
  • Asbagh bin al-Farj al-Umawi. Beliau meninggal dunia pada tahun 225 Hijrah. Beliau dikatakan antara makhluk Allah yang paling alim dengan Mazhab Maliki dan segala permasalahannya.
  • Muhammad bin Abdullah bin Abdul Hakam. Meninggal dunia pada tahun 268 Hijrah. Beliau dianggap ulama Malik yang tersohor dan layak mengeluarkan fatwa di Mesir.
  • Muhammad bin Ibrahim al-Iskandari bin Ziyad. Makruf dengan nama Ibn al-Mawaz. Beliau meninggal dunia pada tahun 269 Hijrah. Beliau dikatakan cukup alim dalam Mazhab Maliki sama ada dari segi furu’ dan usul.
  • Abu al-Hasan Ali bin Ziyad al-Tunisi. Beliau meninggal dunia pada tahun 183 Hijrah. Beliau belajar dengan Imam Malik dan al-Laith bin Sa’d. Beliau dianggap sebagai faqih di Afrika.
  • Abu Abdillah Ziyad bin Abdul Rahman al-Qurtubi. Meninggal dunia pada tahun 193 Hijrah. Digelar dengan Syabtul. Mendengar al-Muwatta’ daripada Imam Malik dan beliaulah yang pertama mengembangkan Mazhab Maliki di Andalus.
  • Isa bin Dinar al-Qurtubi al-Andalusi. Beliau meninggal dunia pada tahun 212 Hijrah. Beliau adalah faqih
  • Asad bin al-Furat bin Sinan al-Tunisi. Berasal dari Khurasan, Naisaburi. Dilahirkan pada tahun 145 Hijrah dan meninggal dunia pada tahun 213 Hijrah. Beliau mati syahid di Sarqusah. Ketika itu, beliau baru dilantik menjadi panglima tentera yang datang membuka kota Saqalliyyah. Beliau seorang alim, faqih dan mujahid. Antara kitab beliau adalah al-Asadiah.
  • Yahya bin Yahya bin Kathir al-Laithi.[1] Beliau meninggal dunia pada tahun 234 Hijrah. Berasal dari Andalus dan Qurtuba. Beliau berperanan menyebarkan Mazhab Maliki di Andalus.
  • Abdul Malik bin Habib bin Sulaiman al-Sulami. Meninggal dunia pada tahun 240 Hijrah. Belajar dengan ulama Mesir dan Madinah sehingga menjadi orang yang paling faqih pada zamannya.
  • Abu Marwan Abdul Malik bin Abi Salamah al-Majisyun. Meninggal dunia pada tahun 212 Hijrah. Beliau adalah mufti Madinah pada zamannya. Dikatakan beliau telah menulis kitab al-Muwatta’ sebelum Imam Malik.
  • Ahmad bin al-Mu’azzal bin Ghailan al-Abdi. Beliau hidup sezaman dengan Ibn Majisyun dan di kalangan sahabatnya. Dikatakan bahawa beliau sefaqih ashab Malik di Iraq. Tidak diketahui tarikh sebenar beliau meninggal dunia.
  • Abu Ishaq Ismail bin Ishaq al-Qadhi. Beliau meninggal dunia pada tahun 282 Hijrah. Berasal dari Basrah dan menetap di kota Baghdad. Beliau menyebar Mazhab Maliki di Iraq.

Al-Qa’nabi[2] iaitu Abdullah bin Maslamah bin Qa’nab. Beliau ialah seorang imam, kuat hafalannya, contoh ikutan dan juga syeikh al-Islam. Kunniyyah beliau pula ialah Abu Abd al-Rahman al-Harithi dan beliau tinggal di Basrah sebelum berpindah ke Makkah. Beliau lahir kemudian sedikit daripada tahun 130 hijrah.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”

Surah al-Hasyr (10)

 

Nota Hujung:

[1] Yahya bin Yahya ialah seorang ulama yang berasal dari negeri Andalus. Beliau menempuh perjalanan yang cukup jauh dari negerinya untuk menimba ilmu daripada Imam Malik bin Anas. Setiap hari, beliau duduk di majlis ilmu Imam Malik dengan tekun untuk menimba ilmu hadis, fiqah dan akhlak daripada beliau. Suatu hari, apabila Imam Malik dan murid-muridnya sedang menimba ilmu, tiba-tiba seekor gajah melintas di hadapan majlis mereka. Haiwan ini sangat jarang-jarang terlihat di negeri Arab, apalagi di Madinah. Oleh itu, semua murid Imam Malik segera keluar untuk melihat haiwan ini. Namun Yahya bin Yahya tidak berganjak daripada tempat duduknya. Beliau tidak meninggalkan majlis Imam Malik, malah terus mendengar pengajaran gurunya. Imam Malik berkata, “Mengapa engkau tidak keluar untuk melihat gajah? Bukankah haiwan ini tidak terdapat di negerimu?” Yahya berkata, “Aku keluar dari Andalus untuk berjumpa dengan anda, juga untuk mempelajari ilmu serta adab anda. Aku tidak datang untuk melihat gajah.” Imam Malik sangat kagum dengan jawapan ini. Beliau lalu memberinya gelaran, “Tokoh cerdas dari Andalus”. (Lihat Lata’if al-Minan wa al-Akhlaq oleh Syeikh Abdul Wahhab al- Sya’rani)

[2] Beliau merupakan salah seorang tokoh yang banyak melazimi Imam Malik bin Anas R.anhu. Ini berdasarkan ucapan daripada al-Maimuni, aku telah mendengar al-Qa’nabi berkata: “Aku bersama Imam Malik  selama 30 tahun, tidak ada satu hadith di dalam al-Muwattha’ yang mana jika kamu ingin bertanya akannya melainkan aku telah mendengarnya secara berkali-kali.” (Lihat Siyar a’lam al-Nubala’, 10/259)

Antara kisah menarik daripada tokoh ini yang boleh kita ambil sebagai pengajaran buat kita adalah daripada kisah taubat al-Qa’nabi. Kisah ini dinukilkan oleh Imam Ibn Qudamah di dalam kitab al-Tawwabin (orang-orang yang bertaubat): “Dahulu ayahku seorang peminum nabiz (sejenis arak) dan berkawan dengan anak-anak muda. Pada suatu hari, beliau mengundang mereka (anak-anak muda untuk minum) dan saat itu beliau duduk di depan sebuah pintu menunggu kehadiran mereka kemudian Syu’bah melalui tempat tersebut dengan menunggang keldainya yang di belakangnya ramai orang yang berlari-lari mengikutinya.

Melihat peristiwa itu, al-Qa’nabi berkata: “Siapakah orang ini (yang menunggang keldai?.” Dikatakan kepadanya: “Syu’bah.” Beliau berkata lagi: “Siapa itu Syu’bah?.” Orang-orang itu berkata: “Dia seorang ahli (tokoh) hadith.” Lalu al-Qa’nabi berdiri menghampiri Syu’bah yang memakai pakaian berwarna merah pada waktu itu sambil berkata kepadanya: “Riwayatkan hadith kepadaku?.” Maka Syu’bah berkata: “Kamu bukanlah seorang ahli hadith yang membuatkan aku harus untuk menyampaikan hadith kepada kamu”. Mendengar jawapan itu, al-Qa’nabi menghunuskan pisaunya dengan berkata: “Riwayatkan hadith kepadaku atau aku akan mencederakanmu dengan pisau ini?.”Lalu Syu’bah berkata:

حَدَّثَنَا مَنْصُورٌ، عَنْ رِبْعِيِّ بْنِ حِرَاشٍ، حَدَّثَنَا أَبُو مَسْعُودٍ، قَالَ: قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “إِذَا لَمْ تَسْتَحْيِ فَاصْنَعْ مَا شِئْتَ.”

Maksudnya: “Telah menceritakan kepadaku Mansur, daripada Rib’iy, daripada Abu Mas’ud, beliau berkata: Telah bersabda Rasulullah SAW: “Apabila kamu tidak malu, maka buatlah apa sahaja yang kamu suka.” [Riwayat al-Bukhari (6120)]

Setelah mendengar hadith tersebut, a-Qa’nabi membuang pisaunya lalu pulang ke rumahnya dan pergi menuju ke tempat simpanan nabiznya (araknya) lalu memecahkannya atau menumpahkannya kesemuanya sambil beliau berkata kepada ibunya: “Jika sahabat-sahabatku datang nanti, persilakanlah mereka untuk masuk ke rumah dan sediakanlah makanan untuk mereka. Apabila mereka telah selesai makan, maka khabarkanlah kepada mereka tentang apa yang telah aku lakukan terhadap semua minumanku tadi sehingga mereka pulang.” Tidak lama daripada kejadian itu, beliau pergi ke Madinah untuk menimba ilmu di hadapan Malik bin Anas dan Imam Malik amat memberi kesan terhadap dirinya. Setelah itu, beliau kembali ke Basrah yang pada saat itu Syu’bah telah pun meninggal dunia. Untuk itu, al-Qa’nabi tidak mendengar hadith daripada Syu’bah melainkan hadith ini (yang beliau dengar ketika beliau masih seorang pemabuk dan yang membuatkan dirinya bertaubat daripada perbuatannya tersebut). (Lihat al-Tawwabin, hlm. 133)

Kami amat mengalu-alukan sumbangan anda untuk penyelenggaraan operasi Maktabah Al-Bakri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *