Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan tafsiran ayat 2 bagi Surah al-Kafirun?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

لَا أَعْبُدُ مَا تَعْبُدُونَ

Maksudnya: “Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah.”

(Surah al-Kafirun: 2)

Al-Syaukani ketika menafsirkan ayat “لَا أَعْبُدُ مَا تَعْبُدُونَ” menyatakan, maknanya adalah: “Aku tidak akan melakukan ibadah penyembahan berhala yang kamu sembah, yang kamu minta daripadaku untuk melakukannya.” Selain itu, ada yang berpendapat bahawa maksudnya adalah dalam konteks akan datang (masa depan), kerana lam nafiyah “لَا النَّافِيَةَ” biasanya tidak digunakan melainkan ke atas fi‘il mudhari‘ yang menunjukkan makna akan datang, sebagaimana ma “مَا” juga tidak digunakan melainkan ke atas fi‘il mudhari‘ yang menunjukkan makna al-hal (masa kini). (Lihat Fath al-Qadir, 5/619).

Selain daripada itu, Syeikh al-Sa‘di turut menjelaskan bahawa ayat ini menunjukkan kepada pembebasan atau berlepas diri daripada apa yang mereka sembah selain daripada Allah SWT, baik secara zahir mahupun batin. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman fi Tafsir Kalam al-Mannan, 1/936).

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *