#579 Makan Daging Penyu

-29%
Ebook

Siri Solat Sunat

Solat Sunat Dhuha

Rated 0 out of 5
RM5.00
-44%
Ebook

Siri Solat Sunat

Solat Sunat Tahajjud

Rated 0 out of 5
RM5.00

Siri Solat Sunat

Solat Sunat Tarawih

Rated 0 out of 5
RM5.00
Rated 0 out of 5
RM5.00

Inspirasi Hidup

Demi Masa: Peliharalah

Rated 0 out of 5
RM5.00
-60%
Rated 0 out of 5
RM20.00

Kajian Al-Fitan Wa Al-Malahim

Tanda-tanda Kecil Kiamat (Siri 1)

Rated 0 out of 5
RM6.00

Kajian Al-Fitan Wa Al-Malahim

Tanda-tanda Kecil Kiamat (Siri 2)

Rated 0 out of 5
RM6.00
Rated 0 out of 5
RM5.00

Inspirasi Hidup

Ulama Memelihara Masa

Rated 0 out of 5
RM5.00

Kajian Al-Fitan Wa Al-Malahim

[Ebook] Terbitnya Matahari dari Arah Barat

Rated 0 out of 5
RM6.00RM8.00

Kajian Al-Fitan Wa Al-Malahim

Tiupan Sangkakala Pada Hari Kiamat

Rated 0 out of 5
RM6.00

Kajian Al-Fitan Wa Al-Malahim

Penghancuran Ka’abah

Rated 0 out of 5
RM6.00
-37%
Rated 0 out of 5
RM10.00RM90.00

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Adakah orang Islam dibenarkan makan daging penyu? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُحَرِّمُوا طَيِّبَاتِ مَا أَحَلَّ اللَّـهُ لَكُمْ وَلَا تَعْتَدُوا ۚ إِنَّ اللَّـهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu haramkan benda-benda yang baik-baik yang telah dihalalkan oleh Allah bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas (pada apa yang telah ditetapkan halalnya itu); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.”[1]

Ayat dia atas mengandungi peringatan buat orang beriman agar tidak mengharamkan apa-apa yang baik, yang telah Allah SWT halalkan untuk mereka yang terdiri daripada makanan, minuman dan menikahi perempuan sehingga mempersempitkan apa yang telah Allah SWT luaskan untuk mereka. Selain itu, ayat ini juga mengingatkan mereka agar jangan melampaui batas-batas yang telah Allah SWT haramkan kerana sesungguhnya Allah SWT tidak menyukai orang yang melampaui batas.[2]     

Definisi penyu dan habitatnya

Penyu ialah reptilia bercangkerang yang hidup terutamanya dalam air. Kebanyakan spesies penyu boleh menarik masuk kepala, kaki dan ekor ke dalam cangkerangnya yang berfungsi sebagai perisai. Tetapi beberapa jenis penyu tidak boleh berbuat demikian. Beberapa haiwan bertulang belakang juga mempunyai perlindungan semula jadi sedemikian. Seperti semua reptilia, penyu adalah berdarah sejuk — iaitu suhu badannya kira-kira sama dengan suhu air atau udara di sekelilingnya. Penyu tidak boleh panas atau aktif dalam cuaca sejuk, oleh itu ia tidak boleh hidup di kawasan yang sejuk sepanjang tahun. Tidak seperti kura-kura yang hanya hidup di darat, penyu menghabiskan hampir seluruh hidupnya sama ada dalam air tawar atau dalam air laut. Banyak penyu menghabiskan seluruh hidupnya di dalam beberapa kilometer dari tempat ia menetas. Tetapi, yang lain berhijrah beribu-ribu kilometer dari tempat lahirnya.

Penyu berbeza-beza saiznya. Spesiesnya yang terbesar, penyu belimbing laut, membesar dari satu hingga 2.5 meter panjangnya. Tetapi penyu rawa biasa di Amerika Utara, panjangnya hanya kira-kira 10 sentimeter. Penyu awal hidup lebih daripada 185 juta tahun dahulu. Archelon, penyu laut kira-kira 25 juta tahun dahulu, membesar sepanjang melebihi 3.5 meter. Haiwan ini telah pupus, seperti juga spesies-spesies lain. Kini, banyak spesies penyu menghadapi kepupusan kerana manusia menangkapnya dan untuk dimakan serta untuk cangkerang dan telurnya. Manusia juga memusnahkan habitatnya untuk pembangunan bandar dan ladang.

Penyu mempunyai cangkerang yang lebih leper, lebih bergores arus kura-kura. Sesetengah spesies penyu, termasuk penyu lumpur, mempunyai plastron yang bersendi. Plastron boleh ditutup rapat pada karapas selepas kepala, kaki dan ekor penyu masuk ke dalam cangkerang. Cangkerang kebanyakan jenis penyu berwarna hitam kosong, perang, atau hijau tua. Tetapi, penyu mempunyai tanda-tanda berwarna hijau terang, jingga, merah atau kuning. Kepala kebanyakan spesies penyu dilitupi sisik keras. Penyu tidak mempunyai gigi, tetapi mempunyai muncung yang tepinya keras, tajam yang digunakan untuk memotong makanan. Banyak penyu mempunyai rahang yang kuat, yang digunakan untuk mengoyak makanan dan menangkap mangsa.

Kebanyakan penyu memakan haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Makanan penyu berbeza-beza bergantung pada spesies. Beberapa jenis penyu, termasuk penyu hijau, memakan hampir keseluruhannya tumbuh-tumbuhan. Penyu air tawar tertentu, seperti penyu peta dan penyu cangkerang lembut hanya memakan haiwan. Spesies yang hidup di kawasan yang musim sejuknya teruk mesti berhibernasi. Kebanyakan penyu air tawar berhibernasi dengan mengorek lubang di dasar kolam, sungai, atau kawasan berair yang panas, berlumpur. Sesetengah spesies penyu boleh hidup dalam keadaan yang panas, kering dengan mengehadkan aktivitinya yang dikenali sebagai estivasi. Estivasi juga sama seperti hibernasi.[3]

Penyu adalah daripada superkeluarga Chelonioidea, sejenis reptilia daripada order Testudines. Terdapat tujuh spesies penyu, iaitu Penyu hijau, Penyu tempayan, Penyu karah, Penyu pipih, Penyu belimbing, Penyu lipas dan Penyu Kempi. Penyu digolongkan di dalam haiwan vertebrata (bertulang belakang), kelas reptilia sama dengan ular, cicak, kura-kura, labi-labi dan tuntung. Penyu juga mempunyai kulit yang bersisik (di bahagian tidak bercangkerang), bernafas melalui paru-paru, mempunyai suhu badan yang mengikut suhu persekitaran, bertelur dan merupakan haiwan marin.

Kesemua spesies penyu diancam bahaya kepupusan disebabkan mengalami banyak ancaman semulajadi dan ancaman manusia sepanjang hayat mereka. Setiap tahun, populasi penyu yang mendarat untuk bertelur semakin berkurangan. IUCN meletakkan haiwan ini sebagai spesies terancam. Antara ancaman yang dihadapi oleh penyu adalah pemburuan daging dan telurnya secara haram, terutamanya di China, Filipina, India, Indonesia dan beberapa negara di Amerika. Dianggarkan 35,000 penyu dibunuh setahun di Mexico dan Nicaragua sehingga ada ahli pemulihara di Mexico dan Amerika Syarikat melancarkan kempen “Don’t Eat Sea Turtle” untuk mengurangkan perdagangan produk haiwan ini.[4]

Makan daging penyu

Penyu termasuk dalam haiwan yang diharamkan untuk dimakan dalam kalangan ulama mazhab Syafi‘i.[5] Hal ini adalah sebagaimana yang disebutkan oleh al-Khatib al-Syirbini  dan al-Ramli bahawa penyu diharamkan untuk dimakan kerana ia dianggap jijik dan kotor.[6] Begitu juga Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari turut menyebutkan bahawa penyu haram dimakan kerana dagingnya dianggap jijik dan kotor.[7] Demikianlah juga ‘Abd al-Rahman al-Jaziri menyebutkan bahawa diharamkan memakan kura-kura darat atau laut yang dikenali juga sebagai penyu kerana ia mampu hidup di daratan dan lautan.[8] Malah, Imam al-Nawawi turut menyatakan bahawa pendapat yang tepat dalam mazhab Syafi‘i, penyu adalah diharamkan untuk dimakan. Namun, beliau kemudiannya menyimpulkan sebagaimana katanya:

الصَّحِيحُ الْمُعْتَمَدُ أَنَّ جَمِيعَ مَا فِي الْبَحْرِ تَحِلُّ مَيْتَتُهُ إلَّا الضِّفْدَعَ وَيُحْمَلُ مَا ذَكَرَهُ الْأَصْحَابُ أَوْ بَعْضُهُمْ مِنْ السُّلَحْفَاةِ وَالْحَيَّةِ وَالنَّسْنَاسِ عَلَى مَا يَكُونُ فِي مَاءٍ غَيْرِ الْبَحْرِ

Maksudnya:Pendapat yang sahih lagi muktamad bahawa semua haiwan di laut adalah halal bangkainya kecuali katak, dan difahami haiwan yang disebutkan oleh para ashab — yakni ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i — atau sebahagian daripada mereka sebagai haram iaitu penyu, ular, dan nasnas adalah merujuk kepada habitat haiwan tersebut yang berada di dalam air selain daripada air laut.”[9]

Selain itu, terdapat dalam kalangan ulama yang menghalalkan dagingnya. Firman Allah SWT:

كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا

Maksudnya:Makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik.[10]

Begitu juga firman-Nya:

وَقَدْ فَصَّلَ لَكُم مَّا حَرَّمَ عَلَيْكُمْ

Maksudnya: “Padahal Allah telah menerangkan satu persatu kepada kamu apa yang diharamkan-Nya atas kamu.”[11]

Oleh itu, tidak dinyatakan kepada kita bahawa penyu termasuk dalam jenis haiwan yang diharamkan. Maka ia adalah halal untuk dimakan. Selain itu, terdapat juga dalam kalangan ulama yang menghalalkan dagingnya kerana ia termasuk dalam haiwan air. Hal ini adalah berdasarkan firman Allah SWT:

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ مَتَاعًا لَّكُمْ وَلِلسَّيَّارَةِ

Maksudnya:Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut, sebagai bekalan bagi kamu (untuk dinikmati kelazatannya) dan juga bagi orang-orang yang dalam pelayaran.”[12]

Mengenai hal ini, Ibn Qudamah jelas menyebutkan dalam kitabnya, binatang buruan laut ialah haiwan yang hidup di dalam air, bertelur dan menetas di dalamnya seperti ikan, penyu, ketam dan seumpamanya. Dinukilkan daripada ‘Ata’ mengenai haiwan yang hidup di daratan seperti penyu dan ketam, maka ia menyerupai burung air — yakni dari segi hukum. Namun, Ibn Qudamah menolak pendapat tersebut dengan menyatakan bahawa penyu dan ketam itu bertelur di dalam air dan menetas di dalamnya, maka ia menyerupai ikan. Adapun burung air pula seperti itik dan seumpamanya merupakan binatang buruan darat berdasarkan pendapat kebanyakan ulama.[13]

Tambahan lagi, Mustafa al-Suyuti al-Hanbali juga ada menyebutkan bahawa tidak dihalalkan haiwan yang dapat hidup di dalam air dan juga di daratan seperti anjing laut, burung air, penyu dan ketam kecuali dengan sembelihan. Imam Ahmad berkata:

كَلْبُ الْمَاءِ نَذْبَحُهُ، وَلَا نَرَى بَأْسًا بِالسُّلَحْفَاةِ إذَا ذُبِحَ إلْحَاقًا لِذَلِكَ بِحَيَوَانِ الْبَرِّ؛ كَكَوْنِهِ يَعِيشُ فِيهِ احْتِيَاطًا

Maksudnya:Anjing laut kami menyembelihnya (sebelum dimakan). Kami juga berpendapat bahawa tidak mengapa memakan penyu jika disembelih (terlebih dahulu) dengan menisbahkan perkara tersebut kepada haiwan darat kerana ia juga dapat hidup di daratan sebagai langkah berhati-hati.”[14]

Begitu juga al-Buhuti menyebutkan bahawa haiwan air yang dapat juga hidup di daratan seperti anjing laut, burung air, penyu, ketam dan seumpamanya, maka haiwan-haiwan itu tidak halal untuk dimakan melainkan setelah disembelih terlebih dahulu. Selain itu, al-Damiri menukilkan daripada al-Rafi‘i bahawa pendapat yang kuat (rajih) adalah haram untuk dimakan kerana penyu termasuk dalam haiwan yang dianggap jijik dan kotor, serta memakan ular. Selain daripada itu, dinukilkan daripada Ibn Hazm bahawa beliau berpendapat penyu halal dimakan tidak kira penyu darat mahupun penyu laut.[15]

Kes-kes yang melibatkan daging penyu yang membawa maut

Dalam Astro Awani, bertarikh 30 November 2021 menyatakan bahawa sekurang-kurangnya tujuh terkorban, termasuk seorang kanak-kanak berusia tiga tahun, selepas menikmati hidangan daging penyu. Kejadian ini berlaku di Pulau Pemba, Tanzania. Hal ini kerana hidangan itu sering dinikmati penduduk di kepulauan negara itu namun ia telah diharamkan selepas didapati mengandungi bahan toksik. Selain itu, Insiden sama pernah dilaporkan di Indonesia, Micronesia dan kepulauan Lautan Hindi.[16]

Menurut Dr. Muhammad Hafiz Borkhanuddin, yang merupakan Pensyarah Biologi Marin Fakulti Sains dan Sekitaran Marin Universiti Malaysia Terengganu (UMT), daging penyu boleh menjadi punca terjadinya penyakit kronik yang menyebabkan kematian. Hal ini kerana penyu mempunyai kandungan logam berat tinggi yang melebihi standard keselamatan makanan antarabangsa. Ia boleh mengakibatkan kesan toksik termasuk penyakit ginjal, barah hati dan kesan perkembangan pada janin dan kanak-kanak. Selain itu, daging penyu juga mempunyai bakteria, parasit, biotoksin dan tempat pengumpulan bakteria yang terhasil daripada pencemaran alam sekitar.

Menurut beliau lagi, daripada perspektif parasitologi, terdapat banyak laporan yang merekodkan kehadiran telur dan cacing parasit pada penyu seperti cacing trematoda. Parasit-trematoda dewasa dijumpai terutamanya di jantung, manakala telur trematoda boleh dijumpai di pelbagai organ termasuk otak, jantung, hati, paru-paru, limpa, ginjal, kulit, perut dan usus. Sebagai contoh, kajian yang dijalankan ke atas penduduk Orang Asli di Australia menjumpai telur cacing ini di dalam najis kanak-kanak masyarakat tersebut. Ini sekali gus menunjukkan risiko jangkitan akibat memakan daging penyu memang berlaku, seterusnya memberi indikasi bahawa cacing dewasa mampu membiak di dalam badan kanak-kanak terbabit.

Secara umumnya, kesan kesihatan yang dilaporkan akibat memakan daging penyu atau telurnya yang dijangkiti patogen zoonotik termasuklah cirit-birit, muntah dan dehidrasi melampau yang boleh menyebabkan kematian. Oleh itu, aktiviti pengambilan daging dan telur penyu hendaklah dihentikan bagi mengurangkan kesan kesihatan kepada manusia, di samping keperluan untuk meningkatkan pengetahuan masyarakat umum mengenai perkara ini.[17]

Selain itu juga, penyu termasuk dalam haiwan yang dilindungi. Hukuman yang lebih ketat boleh dikenakan kepada mereka yang didapati bersalah; mengganggu atau membunuh penyu iaitu denda antara RM50,000 hingga RM200,000 serta penjara selama setahun. Menurut Dr. Azman, yang merupakan Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Terengganu, jumlah itu jauh lebih tinggi berbanding denda sebanyak RM3,000 yang dikenakan sebelum ini.[18]

Kesimpulannya

Justeru, berdasarkan kepada perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa daging penyu haram dimakan sebagaimana pendapat yang muktamad dalam mazhab Syafi‘i. Lebih-lebih kajian dan kes telah membuktikan bahawa daging penyu tidak selamat untuk dimakan kerana mengandungi kandungan logam berat tinggi yang melebihi standard keselamatan makanan antarabangsa, yang boleh mengakibatkan kesan toksik termasuk penyakit ginjal, barah hati dan kesan perkembangan pada janin dan kanak-kanak. Selain itu, daging penyu juga mempunyai bakteria, parasit, biotoksin dan tempat pengumpulan bakteria yang terhasil daripada pencemaran alam sekitar. Bukan itu sahaja, terdapat banyak laporan yang merekodkan kehadiran telur dan cacing parasit pada penyu seperti cacing trematoda. Firman Allah SWT:

وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ

Maksudnya:Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke lembah kebinasaan.”[19]

Ayat di atas bermaksud janganlah kamu menyerahkan diri kepada hal-hal yang menyebabkan kebinasaan, akan tetapi lakukanlah untuk diri kamu sebab-sebab yang boleh membawa kepada keselamatan.[20]

Di samping itu, penyu termasuk dalam haiwan yang dlindungi dan mereka yang didapati bersalah; mengganggu atau membunuh penyu boleh dikenakan hukuman denda antara RM50,000 hingga RM200,000 serta penjara selama setahun. Apatah lagi, spesies penyu merupakan hidupan yang semakin pupus. Justeru, menjadi tanggungjawab kita bersama dalam memastikan kelangsungannya buat generasi akan datang supaya dapat melihat dan mengenalinya. Perkara ini bertepatan dengan kaedah Sadd al-Zarai‘ iaitu menutup jalan yang boleh membawa kepada kemudaratan yang lebih besar yakni kepupusan penyu. Oleh itu, menjadi tanggungjawab rakyat untuk taat dan menyokong ulil amri (pemerintah) dalam hal-hal yang makruf — yakni baik.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 25 Februari 2022 bersamaan 23 Rejab 1443H

[1] Surah al-Maidah: 87

[2] Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 122

[3] Lihat Ensiklopedia Dunia, (Terj. DBP), 16/819-821.

[4] Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Penyu. Diakses pada 10 Februari 2022.

[5] Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/130.

[6] Lihat Mughni al-Muhtaj, 6/146; Nihayah al-Muhtaj, 8/152.

[7] Lihat Fath al-Wahhab, 2/235.

[8] Lihat al-Fiqh ‘ala al-Mazahib al-Arba‘ah, 2/7.

[9] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/32-33.

[10] Surah al-Baqarah: 168

[11] Surah al-An‘am: 119

[12] Surah al-Ma’idah: 96

[13] Lihat al-Mughni, 3/316.

[14] Lihat Matalib Uli al-Nuha fi Syarh Ghayah al-Muntaha, 6/329.

[15] Lihat Kassyaf al-Qina‘, 6/204.

[16] Lihat https://www.astroawani.com/berita-dunia/tujuh-maut-selepas-makan-hidangan-daging-penyu-333630. Diakses pada 24 Februari 2022.

[17] Lihat https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/09/617825/makan-daging-penyu-boleh-bawa-maut. Diakses pada 24 Februari 2022.

[18] Lihat https://www.sinarharian.com.my/article/173119/BERITA/Terengganu-haramkan-jual-telur-penyu-tuntung. Diakses pada 10 Februari 2022.

[19] Surah al-Baqarah: 195

[20] Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir, hlm. 38.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *