#5855: Tatu UV (UV Tattoos)

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Baru-baru ini saya ada melihat satu pautan berkenaan satu jenis tatu yang dipanggil sebagai UV tattoos. Tatu jenis ini dicipta menggunakan pewarna yang bercahaya di bawah sumber cahaya ultraviolet (UV). Tatu-tatu ini boleh menjadi hampir tidak kelihatan di bawah cahaya biasa. Justeru, mohon pencerahan ustaz berkaitan isu ini. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Takrif tatu

Kami mulakan dengan mengemukakan di sini terlebih dahulu takrif tatu secara umumnya. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, tatu ialah tanda pada badan yang dibuat dengan melarik dan mencucuk dan memasukkan warna, cacah.[1]

Manakala Portal Rasmi MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia menyatakan, tatu adalah lukisan atau tanda kekal di atas kulit yang dibuat dengan menggunakan dakwat pigmen atau pewarna yang dimasukkan ke kulit melalui tusukan jarum ke lapisan dermis (lapisan kedua kulit). Dakwat dimasukkan ke dalam lapisan dermis kerana sel kulit di bahagian ini adalah stabil, oleh itu tatu akan menjadi kekal. Selain itu, tatu boleh dilakukan secara manual (menggunakan tangan) atau dengan menggunakan peralatan elektrik yang menggunakan sistem tiub dan jarum. Biasanya dengan menggunakan peralatan elektrik ini, jarum akan mencucuk kulit lebih kurang 3 mm dalam dan dakwat yang disimpan dalam tiub tersebut akan dimasukkan ke dalam lubang tusukan jarum tersebut. Biasanya, proses pembuatan tatu ini tidak menggunakan bius, oleh itu orang yang sedang ditatu mungkin akan berasa sakit semasa prosedur itu dijalankan. Begitu juga berkemungkinan akan berlaku pendarahan kecil di kawasan tusukan jarum tersebut.

Selain daripada itu, membuat tatu juga mempunyai risiko kesihatan. Di antaranya:

  • Jangkitan kuman: Memandangkan proses membuat tatu melibatkan kelukaan pada kulit, maka ia boleh menyebabkan jangkitan setempat pada luka tersebut. Gejala yang biasa berlaku adalah bengkak, sakit dan bernanah di kawasan tersebut.
  • Reaksi alahan: Alahan biasa berlaku di kawasan tatu terutamanya jika tatu tersebut menggunakan pewarna merah. Gejala yang mungkin berlaku adalah ruam gatal dan bengkak merah.

Walau bagaimanapun gejala yang lebih teruk mungkin berlaku seperti sukar bernafas, pengsan, bengkak mata dan sebagainya.

  • Pembentukan “granuloma” iaitu terdapat pembengkakan kronik berlaku pada kawasan yang telah mengalami jangkitan kuman.
  • Pembentukan keloid iaitu keadaan di mana parut tebal timbul di kawasan tusukan jarum tatu.
  • Jangkitan kuman bawaan darah:

Sekiranya peralatan yang digunakan untuk membuat tatu itu dicemari oleh darah yang telah dijangkiti virus Hepatitis C, Hepatitis B dan HIV, maka anda juga berisiko untuk mendapat jangkitan tersebut. Anda juga berisiko untuk mendapat jangkitan tetanus (kancing gigi) dari peralatan yang tercemar.[2]

Takrif Tatu UV

Seterusnya, kita lihat pula takrifan dan sedikit pengenalan berkenaan tatu UV ini. Tatu UV juga dikenali sebagai tatu cahaya hitam (black-light tattoos). Tatu ini dibuat dengan dakwat khas yang menjadi kelihatan di bawah cahaya hitam, walaupun tatu itu sendiri tidak kelihatan dalam cahaya biasa. Dalam dekad yang lalu, tatu ini telah menjadi popular di kalangan pengunjung parti kerana ia mudah dilihat di pesta di mana lampu hitam boleh digunakan.

Tatu UV lebih sukar dan memerlukan kemahiran untuk mencacahnya. Memandangkan dakwat UV tidak menyala dalam cahaya biasa dan tidak mudah sebati, perhatian perlu diberikan semasa pemakaian. Penggunaan berterusan cahaya hitam untuk menggambarkan tatu diperlukan. Prosedur ini sebaliknya dilakukan dengan cara yang sama seperti tatu lain. Tatu UV mungkin mengambil masa lebih lama daripada tatu lain kerana dakwat UV biasanya lebih nipis dan lebih mencabar untuk digunakan. Juga, lampu hitam diperlukan di tangan untuk memastikan penggunaan yang betul.

Walaupun iklan mungkin mencadangkan bahawa dakwat UV diluluskan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan [Food and Drug Administration (FDA)], ia tidak diluluskan untuk kegunaan manusia. Dakwat UV pada masa ini hanya diluluskan untuk digunakan dalam industri pertanian dan perikanan. Tiada kajian keselamatan yang boleh dipercayai yang meneroka kesan penggunaan dakwat UV manusia.

Namun, kebimbangan keselamatan mengenai tatu UV masih kekal. Secara statistik, terdapat lebih banyak reaksi dengan tatu UV berbanding dengan tatu biasa. Bahan kimia yang membentuk dakwat UV tidak dianggap 100% selamat kerana bilangan kerengsaan kulit yang dilaporkan. Banyak ruam kulit, lepuh dan jangkitan telah dilaporkan dengan dakwat UV. Di samping itu, terdapat kebimbangan bahawa dakwat ini boleh menyumbang kepada kanser.

Risiko kesihatan yang berkaitan dengan dakwat UV telah dikaitkan dengan kehadiran fosforus (phosphorous). Bahan kimia ini diketahui menyebabkan melepuh yang teruk, sakit, rasa terbakar dan juga ruam kulit. Banyak laporan masalah kulit telah dilaporkan kepada agensi persekutuan. Walaupun dengan penyingkiran fosforus, agen lain yang terdapat dalam dakwat UV masih juga boleh menyebabkan kesan buruk.[3]

Hukum tatu UV

Berdasarkan penjelasan di atas, jelaslah bahawa tatu UV sama sahaja prosedurnya dengan tatu yang lain, melainkan dakwat yang digunakan sahaja berbeza. Bahkan, dakwat yang digunakan itu lebih nipis dan mencabar serta membawa kepada risiko kesihatan.

Mencacah tatu pada badan termasuk dalam perkara yang diharamkan oleh syarak. Pengharamannya jelas menerusi hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A, beliau berkata:

لَعَنَ اللَّهُ الوَاشِمَاتِ والمــُوتَشِمَاتِ، والمــُـــتَنَمِّصَاتِ، والمــُـتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ، المــُـغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ

Maksudnya:Allah melaknat wanita-wanita yang membuat tatu, yang meminta dilukiskan tatu, yang mencabut bulu-bulu wajah dan yang merenggangkan gigi untuk kecantikan, yang mengubah ciptaan Allah.

Riwayat al-Bukhari (4886)

Hadith ini menunjukkan akan pengharaman semua perkara tersebut dan lafaz ‘laknat’ yang terdapat di dalamnya merupakan dalil bahawa ia termasuk dalam dosa-dosa besar. Selain itu, sebab kepada laknat itu turut dinyatakan dalam hadith melalui lafaz “المــُـغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ” iaitu sifat yang dikehendaki oleh orang yang membuat tatu, mencabut bulu wajah dan merenggangkan gigi. (Lihat Fath al-Bari, 10/373).

Al-Wasyimah ialah perbuatan  menusuk jarum ke dalam bahagian tubuh sendiri atau orang lain, sehingga darah mengalir, kemudian mengisi bahagian tersebut dengan al-kohol dan pewarna, sehingga ia menjadi hijau. Manakala al-Mutasyimah ialah orang yang meminta untuk dibuatkan tatu padanya.

Hadith ini menunjukkan bahawa perbuatan mengukir tatu adalam haram. Orang yang melakukannya atau meminta untuk dilakukan perkara tersebut adalah dilaknat. Laknat ini tidak berlaku kecuali melainkan pada perkara yang melibatkan dosa besar.

Al-Alusi menyatakan dalam kitabnya Bulugh al-Arb bahawa sesungguhnya tindakan membuat tatu adalah pandangan yang salah dan amalan yang sangat tercela; oleh itu, syariah Islam mengharamkannya dan menjadikannya sebagai perkara yang dilarang, kerana ia melibatkan perubahan ciptaan Allah. (Lihat Taudih al-Ahkam Min Bulugh al-Maram,5/374)

Dr. Yusuf al-Qaradhawi menyatakan, tatu akan mencacatkan muka dan kedua tangannya (yakni tubuh badannya) dengan warna-warna seperti biru dan lukisan-lukisan yang hodoh. Sebahagian masyarakat Arab terutamanya wanita meminta dibuatkan tatu pada sebahagian besar badan mereka. Begitu juga sebahagian penganut agama tertentu meminta dibuatkan tatu pada badan mereka yang melambangkan sembahan dan syiar agama mereka sebagaimana penganut agama nasrani membuat tatu lambang salib pada tangan dan dada mereka.

Tambahan lagi, membuat tatu adalah proses yang menyakitkan apabila dicucuk jarum pada bahagian tubuh yang mahu ditatu. Semua perkara tersebut mengundang laknat kepada sesiapa yang membuat tatu dan sesiapa yang meminta supaya dibuatkan tatu pada badannya. (Lihat al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hlm. 86).

Malah, pengarang al-Fiqh al-Manhaji menukilkan daripada pendapat para fuqaha yang menyebutkan bahawa tempat yang ditatu adalah najis, disebabkan darah beku yang tersekat di situ. Ia wajib dihilangkan sekiranya boleh dengan rawatan. Sebaliknya, jika tidak boleh kecuali dengan pembedahan, dia tidak wajib menghilangkannya sekiranya dibimbangi berlaku kemudharatan atau kecacatan yang teruk pada anggota zahir, seperti muka, dua tapak tangan dan lain-lain. Dalam hal ini, memadailah bertaubat daripada segala dosa dan perbuatannnya itu. Namun, jika tiada kebimbangan tersebut, dia wajib menghilangkannya dan berdosa melengah-lengahkannya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/102).

Begitu juga Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Bil 1/2017-1438H yang bersidang pada 15 Februari 2017 bersamaan 18 Jamadil Awwal 1438H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali Ke-86 berkenaan Hukum Bertatu Mengikut Pandangan Islam dengan pindaan sighah seperti berikut:

  1. Muzakarah telah memutuskan bahawa di dalam Islam hukum bertatu iaitu pembuat tatu dan orang yang meminta dibuat tatu adalah haram.
  2. Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa orang yang telah bertatu wajib bertaubat dan menyesal serta menghilangkannya dengan menggunakan kaedah teknologi yang sedia ada kerana tempat yang ditatu itu adalah najis jika tidak mendatangkan sebarang kemudaratan.
  3. Walau bagaimanapun, sekiranya ia mendatangkan kemudaratan pada diri dan nyawa, maka ia boleh dibiarkan dan dimaafkan. Bagi orang yang bertatu dan tidak sempat menghilangkannya setelah meninggal dunia, maka tatu tersebut tidak wajib dihilangkan kerana ianya akan menyeksa mayat tersebut.
  4. Muzakarah juga berpandangan bahawa pihak berkuasa yang meluluskan lesen membuka premis membuat tatu perlu mengenakan syarat iaitu pemilik dan pekerjanya mestilah bukan beragama Islam di samping orang Islam dilarang sama sekali mencacah tatu di premis tersebut.

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa membuat atau mencacah tatu UV adalah haram dan dilarang dalam agama seperti mana tatu-tatu yang lain, sekalipun ia tidak dapat kelihatan menerusi cahaya biasa, dan hanya dapat dilihat di bawah cahaya lampu tertentu. Ini kerana pengharaman dan larangan membuat tatu telah sabit berdasarkan kepada hadith yang sahih.

Selain itu, perbuatan mencacah tatu itu sebenarnya pada hakikatnya adalah perbuatan mencacatan kulit dan kawasan yang dicacah. Bukan itu sahaja, perbuatan mencacah untuk membuat tatu mendedahkan kulit kepada risiko jangkitan dan memudaratkan pelakunya. Ditambah lagi, dakwat yang digunakan untuk mencacah tatu UV ini tiada jaminan dari segi keselamatannya untuk penggunaan bagi kulit manusia, bahkan dikatakan terdapat kebimbangan bahawa dakwat ini boleh menyumbang kepada kanser.

Firman Allah SWT:

وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ

Maksudnya:Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke lembah kebinasaan.”

(Surah al-Baqarah: 195)

Ayat di atas bermaksud janganlah kamu menyerahkan diri kepada hal-hal yang menyebabkan kebinasaan, akan tetapi lakukanlah untuk diri kamu sebab-sebab yang boleh membawa kepada keselamatan. (Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir, hlm. 38)

Begitu juga terdapat kaedah menyebutkan bahawa:

وَالْأَصْلُ فِي الْمَضَارِّ الْحُرْمَةُ

Maksudnya:Hukum asal pada setiap sesuatu yang memudaratkan adalah haram.” (Lihat Mafatih al-Ghaib, 15/381)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Nota kaki:

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=tatu. Diakses pada 6 April 2023.

[2] Lihat http://www.myhealth.gov.my/tatu/. Diakses pada 6 April 2023.

[3] Lihat https://www.tattoohealth.org/content/tattoo-ink/uv-tattoos-ultraviolet-tattoo-ink-health-risks. Diakses pada 22 Mei 2024.

Kami amat mengalu-alukan sumbangan anda untuk penyelenggaraan operasi Maktabah Al-Bakri.

1 thoughts on “#5855: Tatu UV (UV Tattoos)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *