Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya bolehkah saya menangguh untuk menunaikan zakat pendapatan jika mendapat tawaran menunaikan haji? Hal ini kerana duit belanja cukup cukup sahaja kerana saya bekerja sendiri? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, zakat pendapatan bermaksud zakat yang dikenakan ke atas perolehan melalui gaji dan pendapatan bebas. Menurut Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam kitab Fiqh al-Zakah, pekerjaan manusia adakalanya bebas tanpa terikat dengan kerajaan. Di kalangan mereka ada yang jadi doktor, jurutera, peguam, tukang jahit, tukang kayu dan sebagainya. Adakalanya ia terikat dengan jabatan kerajaan, swasta dan sebagainya di mana mereka bekerja dan diberi gaji bulanan secara tetap. Pendapatan yang diperolehi itu dipanggil al-mal al-mustafad. Ia wajib dizakatkan. (Lihat Fiqh al-Zakah: Dirasah Muqaranah li Ahkamiha wa Falsafatiha fi Dhau’i al-Quran wa al-Sunnah, 1/519)

Kewajipan zakat ke atas pendapatan yang diperoleh dapat dilihat dan difahami melalui maksud daripada firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَنفِقُوا مِن طَيِّبَاتِ مَا كَسَبْتُمْ وَمِمَّا أَخْرَجْنَا لَكُم مِّنَ الْأَرْضِ ۖ وَلَا تَيَمَّمُوا الْخَبِيثَ مِنْهُ تُنفِقُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian daripada apa yang kami keluarkan dari bumi untuk kamu, dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat).”

(Surah al-Baqarah: 267)

Fatwa Wilayah Persekutuan tentang zakat penggajian menyebut: Zakat wajib dikeluarkan ke atas pendapatan daripada penggajian Islam termasuklah apa-apa upah, gaji, elaun, imbuhan dan bonus. Oleh itu adalah wajib bagi seseorang Islam mengeluarkan zakat daripada pendapatan yang layak dikenakan zakat daripada penggajian tersebut. (Bertarikh 9 April 1999)

Keputusan Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 22 Jun 1997 berkenaan Zakat Gaji dan Pendapatan Professional, menyebut: “Muzakarah telah memutuskan bahawa zakat ke atas pendapatan penggajian adalah wajib bagi orang yang layak mengeluarkan zakat.”

Dalam erti kata lain, zakat pendapatan adalah mal mustafad (harta yang diperolehi). Zakat dikeluarkan daripada baki setelah ditolak perbelanjaan mesti. Jika baki melebihi nisab, maka dikeluarkan zakat pendapatan sebanyak 2.5%.

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan pada asalnya sekiranya harta seseorang itu telah sampai nisab dan haul (cukup setahun) maka diwajibkan baginya mengeluarkan zakat dengan segera dan tidak boleh ditangguhkan. Ini kerana kawajipan zakat telah ditentukan kadar dan waktunya. Yang demikian juga merupakan pandangan majoriti fuqaha Maliki, Syafi’i, Hanbali dan sebahagian daripada Hanafi.

Al-Mawardi menyebutkan bahawa: mengeluarkan zakat selepas kemampuan secara segera adalah wajib. Oleh itu, apabila seseorang itu mampu mengeluarkannya tetapi tidak melakukannya sehingga dia meninggal dunia, maka dia bertanggungjawab ke atas zakat tersebut. (Lihat al-Hawi al-Kabir, 3/103)

Mereka berdalilkan firman Allah SWT:

وَأَنفِقُوا مِن مَّا رَزَقْنَاكُم مِّن قَبْلِ أَن يَأْتِيَ أَحَدَكُمُ الْمَوْتُ

Maksudnya: Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya.

(Surah al-Munafiqun: 10)

Ayat tersebut menunjukkan kewajipan untuk menyegerakan pembayaran zakat, dan tidak boleh menangguhkannya sama sekali. Begitu juga dengan semua ibadah lain apabila waktunya telah ditetapkan. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 18/130)

Namun dalam isu ini kami berpandangan dibolehkan untuk melaksanakan haji terlebih dahulu disebabkan melihat kepada realiti semasa di Malaysia iaitu kesukaran untuk mendapat tawaran panggilan haji yang memerlukan giliran masa yang lama dan amat terhad. Selain itu, pelaksanaan haji sekali seumur hidup merupakan salah satu daripada Rukun Islam yang perlu ditunaikan bagi yang mampu dari segi kewangan dan fizikal. Oleh itu, keutamaan boleh diberikan kepada haji apabila peluang itu ada, sementara zakat boleh dikeluarkan sebaik sahaja berkemampuan.

Diriwayatkan daripada Abdullah Bin Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ أَرَادَ الْحَجَّ فَلْيَتَعَجَّلْ، فَإِنَّهُ قَدْ يَمْرَضُ الْمَرِيضُ وَتَضِلُّ الضَّالَّةُ وَتَعْرِضُ الْحَاجَةُ

Maksudnya: “Barang siapa yang ingin menunaikan haji, maka hendaklah dia bersegera, karena bisa jadi ia sakit, atau keledainya hilang, atau ada suatu keperluan yang menghalanginya.”

Riwayat Ahmad(1834) dan  Ibn Majah (2883)

Dalam riwayat yang lain, daripada Abdullah bin Abbas R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda:

تَعَجَّلُوْا إِلَى الْحَجِّ فَإِنَّ أَحَدَكُمْ لاَ يَدْرِي مَا يَعْرِضُ لَهُ

Maksudnya: “Bersegeralah melaksanakan haji, kerana sesungguhnya salah seorang di antara kamu tidak mengetahui apa yang akan merintanginya.”

Riwayat Ahmad (2869), al-Baihaqi (8956) dan al-Tahawi dalam Syarh Musykil al-Athar (6031). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menilai hadith ini sebagai hasan dalam takhrij al-Musnad.

Meskipun kewajipan haji boleh ditangguhkan, adalah sunnah untuk menyegerakannya kerana takut akan datangnya halangan dan rintangan yang menghalang. Abu Hanifah berpendapat bahawa haji wajib disegerakan berdasarkan zahir hadith ini, kerana jika seseorang mati sebelum menunaikannya, dia mati dalam keadaan berdosa. (Lihat al-Tanwir Syarh al- Jami’ al-Saghir, 5/53 )

Justeru, kami katakan jika seseorang memiliki harta yang melebihi nisab dan sudah sampai masanya untuk mengeluarkan zakat, adalah lebih utama untuk membayar zakat sebelum menunaikan haji. Tetapi jika harta tersebut diperlukan untuk perbelanjaan haji, kami berpendapat bahawa boleh ditangguhkan pembayaran zakat sehingga harta mencukupi untuk membayar zakat. Hal ini adalah dengan mengambil kira situasi semasa di Malaysia.

Begitu juga isu kuota yang cukup mencabar mutakhir ini bagi memperolehinya. Saya juga berpendapat, bayarlah sedikit dahulu zakat mengikut kadar yang ada dan saat yang sama untuk melaksanakan ibadah haji. Semoga Allah memberi kelapangan kepada anda dengan rezeki yang halal lagi diberkati.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نسْأَلُكَ الْهُدَى ، وَالتُّقَى ، وَالْعَفَافَ ، وَالْغِنَى

Maksudnya: “Wahai Allah! Sesungguhnya kami memohon kepada-Mu petunjuk, ketakwaan, sifat iffah dan kekayaan.”

Wallahu’lam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *