Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimana cara untuk kita menghapuskan dosa kita?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Sudah tentu, bertaubat kepada Allah dan jangan putus asa daripada rahmat Allah. Firman Allah SWT:

قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَىٰ أَنفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِن رَّحْمَةِ اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا ۚ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Surah al-Zumar (53)

Mengenai ayat ini, al-Tabari berkata: “Yakni, janganlah berputus asa daripada rahmat Allah. Inilah seperti yang disebut oleh Ibn ‘Abbas R.Anhuma.” (Lihat Jami’ al-Bayan, 22/398)

Al-Syaukani pula mengatakan bahawa ayat ini menjadi ayat yang paling memberikan harapan dalam al-Quran kerana mengandungi khabar gembira paling besar. Keistimewaan ayat ini, pertamanya, kerana penyandaran hamba kepada Allah SWT sebagai bentuk penghormatan dan khabar gembira. Kemudian diterangkan bahawa sifat mereka adalah gemar melakukan dosa dan maksiat secara berlebihan, namun diikuti dengan larangan berputus asa daripada mendapatkan rahmat bagi mereka. Maka, dapat difahami bahawa larangan beputus asa ini lebih utama (min bab aula) untuk diterapkan kepada pelaku dosa yang tidak secara berlebihan, malah boleh jadi inilah maksud utama daripada ayat ini. (Lihat Fath al-Qadir, 6/295)

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan ada sepuluh sebab berlakunya penghapusan dosa dengan izin Allah:

  • Taubat

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الْإِسْلَامُ يَجُبُّ مَا قَبْلَهُ وَالتَّوْبَةُ تَجُبُّ مَا قَبْلَهَا

Maksudnya: “Islam itu menghapuskan apa yang sebelumnya dan taubat itu menghapuskan dosa-dosa yang lampau.”

Riwayat Bukhari (6921) dan Muslim (120)

  • Istighfar

]aripada al-Aghar al-Muzani, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّهُ لَيُغَانُ عَلَى قَلْبِى وَإِنِّى لأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ فِى الْيَوْمِ مِائَةَ مَرَّةٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya dilitupi pada hatiku (dengan kelalaian daripada berzikir) dan aku memohon ampun kepada Allah SWT, sehari seratus kali.”

Riwayat Muslim (7033) dan Abu Daud (1517)

Imam al-Nawawi menyebut dengan menukilkan pendapat ahli bahasa: Perkataan ‘ليغان‘ bermaksud apa-apa yang melitupi hati. Al-Qadhi ‘Iyadh pula berkata, dikatakan maksudnya ialah waktu-waktu lemah dan lalai daripada zikir yang sepatutnya berterusan. Apabila hal ini berlaku, dia mengira sebagai dosa, justeru dia beristighfar. Ada pendapat berkata, dikatakan kerana Rasulullah SAW amat prihatin dan runsing terhadap umatnya. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 17/23)

Dikehendaki dengan ‘الغين‘ iaitu masa-masa yang luput daripada zikir, yang biasanya seseorang itu sentiasa dalam zikir. Apabila terluput dengan sesuatu sebab, maka dia mengira sebagai dosa, lantas dia istighfar daripadanya. Begitu juga, pendapat Ibn al-Jauzi, ‘الغين‘ dengan maksud kegelinciran tabiat manusia yang tidak ada seorang pun yang terselamat.

Para Nabi, sekalipun ma’sum daripada dosa besar, tetapi mereka tidak ma’sum daripada dosa-dosa kecil. Ini berdasarkan pecahan daripada khilaf yang terpilih. Tetapi yang paling rajih, para Nabi juga ma’sum daripada dosa-dosa kecil. Ibn Battal berkata: Para Nabi sekuat-kuat manusia dari sudut ibadat kerana kurniaan Allah kepada mereka daripada makrifah. Justeru mereka sentiasa mensyukurinya dan mengiktiraf kepada Tuhan atas kelemahan.

Selain itu, dijelaskan juga bahawa bahawa istighfar itu daripada taqsir atau kekurangan dalam menunaikan hak yang wajib bagi Allah dan diandaikan juga kerana sibuk dengan urusan yang harus seperti makan, minum, bersama isteri, tidur, rehat, atau berbicara dengan manusia serta melihat kemaslahatan mereka dan menentang musuh-musuh mereka. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 9/103)

  • Melakukan kebaikan selepas berlakunya kesilapan

Firman Allah SWT:

وَأَقِمِ الصَّلَاةَ طَرَفَيِ النَّهَارِ وَزُلَفًا مِّنَ اللَّيْلِ ۚ إِنَّ الْحَسَنَاتِ يُذْهِبْنَ السَّيِّئَاتِ

Maksudnya: Dan dirikanlah sembahyang itu pada kedua tepi siang (pagi dan petang) dan pada bahagian permulaan daripada malam. Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat.

(Surah Hud: 114)

Syeikh Abd al-Rahman al-Sa’di dalam tafsirnya menyebut: “Lima waktu solat ini dan solat-solat sunat yang dilakukan bersama dengan solat fardhu adalah sebahagian daripada amal kebajikan (الحسنات) yang terbesar, iaitu kebaikan-kebaikan ini adalah amalan yang mendekatkan diri kepada Allah dan amalan yang memberikan pahala, dan amalan ini juga dapat menghapuskan dosa-dosa kecil. Hal ini telah dijelaskan dalam hadith-hadith sahih yang diriwayatkan oleh Nabi Muhammad SAW.” (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 391)

  • Doa orang yang beriman
  • Amalan kebaikan yang dilakukan bagi si mati seperti sedekah
  • Syafaat Nabi Muhammad SAW dan yang lainnya
  • Apabila berlakunya fitnah dan ujian dalam kubur
  • Huru-hara hari Kiamat dan kedahsyatannya
  • Rahmat Allah dan keampunannya
  • Inilah antara sebab yang menyebabkan dosa dihapuskan.

Kami teringat hadis Nabi SAW: Daripada Mu’az bin Jabal R.A, Rasulullah SAW bersabda:

اتَّقِ اللَّهَ حَيْثُمَا كُنْتَ، وَأَتْبِعِ السَّيِّئَةَ الْحَسَنَةَ تَمْحُهَا، وَخَالِقِ النَّاسَ بِخُلُقٍ حَسَنٍ ‏

Maksudnya: “Bertakwalah kepada Allah di mana saja kamu berada. Dan ikutilah kejahatan dengan mengerjakan kebaikan, nescaya (kebaikan) menghapuskannya (kejahatan tadi). Dan berperangai kepada manusia dengan perangai yang baik.”

Riwayat Ahmad (5/153) dalam al-Musnad, al-Tirmizi (4/355) dalam al-Sunan, dan beliau berkata: Hadis ini Hadis hasan sahih. Al-Hakim dalam al-Mustadrak (1/54) dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (6/245). Hadis ini sahih dengan jalan-jalan dan syawahidnya.

Marilah sama-sama kita melazimi taubat dan istighgar serta amalan soleh. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْنَا مِنَ التَّوَّابِينَ وَاجْعَلْنَا مِنَ الْمُتَطَهِّرِينَ.

Maksudnya: “Ya Allah, jadikan kami daripada kalangan orang yang bertaubat, dan jadikan kami daripada kalangan orang yang bersuci.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *