Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya mahu bertanya jika saya buat jamak taqdim, saya solat zohor dulu, selepas saya solat zohor saya pergi belakang untuk solat asar, adakah solat jamak taqdim saya masih sah atau sudah terputus?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Solat jamak dan qasar adalah merupakan rukhsah yang diberikan oleh Allah SWT. Ia merupakan kemudahan yang dianugerahkan kepada umat Islam agar mereka boleh menunaikan ibadat solat di mana sahaja mereka berada. Perkara ini dinyatakan oleh Allah SWT di dalam firmannya:

وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِي الْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ

Maksudnya: “Dan jika kamu bermusafir di muka bumi ini, maka tidak berdosa ke atas kamu untuk memendekkan solat (solat empat rakaat dijadikan kepada dua rakaat).

(Surah al-Nisa’:101)

Imam al-Nawawi berkata: “Ayat ini mengaitkan hukum qasar dengan al-dorb `ala al-ardh (permusafiran). Justeru, jika seseorang ialah penduduk suatu kota maka dia boleh qasar apabila dia berpisah daripada bangunan yang dinisbah kepada kota tersebut.” (Lihat al-Majmu` Syarh al-Muhazzab, 4/346)

Kesimpulan

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan antara syarat sah jamak solat adalah berturut-turut iaitu dilakukan dua solat secara berturut-turut dan tidak diselangi dengan apa-apa perbuatan. Ini berdasarkan apa yang telah dinyatakan oleh al-Baghawi bahawa : al-Muwalah (Berturut-turut) adalah merupakan syarat sah solat jamak. Tidak boleh melakukan solat sunat antara dua solat tersebut dan juga tidak boleh duduk lama antaranya. Sekiranya dia memanjangkan tempoh antara kedua-dua solat jamak tersebut maka terbatallah jamak dan hendaklah dia melakukan solat kedua pada waktunya (Lihat al-Tahzib Fi Fiqh Imam al-Syafi’e, 2/316)

Namun dalam situasi di atas kami katakan sekiranya tempoh terpisah antara dua solat jamak itu hanya sebentar maka ia tidak ada masalah. Ini berdasarkan apa yang telah dinyatakan oleh al-Nawawi: Tidak ada masalah sekiranya waktu yang terpisah antara solat jamak itu hanya sekejap. (Lihat Minhaj al-Talibin ,hlm.46)

Justeru, kami katakan tiada masalah untuk menukar tempat solat ketika diantara solat jamak jika dalam tempoh yang tidak terlalu lama. Bahkan, bertukar tempat sujud juga adalah disunatkan. Firman Allah SWT:

يَوْمَئِذٍ تُحَدِّثُ أَخْبَارَهَا

Maksudnya: “Pada hari itu bumipun menceritakan khabar beritanya.”

(Surah al-Zalzalah: 4)

Menurut Imam al-Ramli, beliau berkata: “Dan adalah disunatkan untuk beralih tempat bagi menunaikan solat sunat atau fardu daripada tempat yang telah ditunaikan solat fardu atau solat sunat ke tempat yang lain agar diperbanyakkan tempat-tempat sujud. Ini kerana banyaknya tempat sujud akan menjadi saksi (di akhirat kelak). Dan agar untuk menghidupkan tanah (tempat sujud) dengan ibadah. Maka sekiranya tidak berpindah ke tempat yang lain maka boleh dilakukan dengan bercakap atau berbicara sesama manusia.” (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 1/552)

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *