Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya nak bertanya tentang hukum bernazar. Contohnya ‘ Saya bernazar bersedekah RM50 untuk setiap kali maksiat tertentu itu saya lakukan sehinggalah saya berkahwin’. Apakah sah nazar tersebut dan perlu dilaksanakan? Dan sekiranya tidak mampu, bagaimanakah membatalkan nazar atau menggantikannya ? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Nazar merupakan janji manusia kepada Allah SWT bagi tujuan mendekatkan diri kepada penciptaNya. Apabila sempurna syarat dan rukunnya maka wajib melaksanakannya. Firman Allah SWT:

وَلْيُوفُوا نُذُورَهُمْ

Maksudnya: “Dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazarnya,”

(Surah al-Hajj:29)

Diriwayatkan daripada ‘Aisyah R.Anha bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

مَنْ نَذَرَ أَنْ يُطِيعَ اللَّهَ فَلْيُطِعْهُ، وَمَنْ نَذَرَ أَنْ يَعْصِيَهُ فَلاَ يَعْصِهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang bernazar untuk mentaati Allah maka hendaklah dia mentaatinya. Dan sesiapa yang bernazar untuk bermaksiat kepadanya maka janganlah dia bermaksiat kepadanya.”

Riwayat Al-Bukhari (6696)

Nazar hanya dibolehkan kepada perkara kebajikan dan sekiranya bernazar perkara haram dan makruh maka tidak sah nazarnya seperti bernazar untuk merogol dan selainnya (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/26).

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan nazar yang telah saudara nazarkan adalah sah dan wajib dilaksanakan (membayar RM50 setiap kali melakukan maksiat sehingga berkahwin). Namun, sekiranya saudara tidak mampu melakukan apa yang telah dinazar maka, dia dikenakan kaffarah nazar iaitu denda kerana melanggar nazar. Kafarah nazar adalah sepertimana kafarah Yamin ( denda langgar sumpah) iaitu memberi  makan 10 orang miskin atau memberi pakaian kepada fakir miskin mengikut uruf setempat, atau membebaskan seorang hamba. Sekiranya tidak mampu maka dikehendaki   berpuasa tiga hari. Ini sebagaimana firman Allah SWT:

فَكَفَّارَتُهُ إِطْعَامُ عَشَرَةِ مَسَاكِينَ مِنْ أَوْسَطِ مَا تُطْعِمُونَ أَهْلِيكُمْ أَوْ كِسْوَتُهُمْ أَوْ تَحْرِيرُ رَقَبَةٍ ۖ فَمَن لَّمْ يَجِدْ فَصِيَامُ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ ۚ ذَٰلِكَ كَفَّارَةُ أَيْمَانِكُمْ إِذَا حَلَفْتُمْ ۚ وَاحْفَظُوا أَيْمَانَكُمْ ۚ

Maksudnya: “Maka kafarahnya adalah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda yang tersebut), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah. Dan jagalah – peliharalah sumpah kamu.”

(Surah al-Ma’idah: 89)

Al-Sabuni berkata: Wajib dilaksanakan kafarah sumpah mengikut turutan kemampuan seperti berikut :

  • Membebaskan hamba yang beriman.
  • Memberi makanan yang mengenyangkan kepada 10 orang fakir miskin.
  • Lazimnya makanan asasi yang dimakan oleh keluarga. Boleh juga disediakan wang dengan nilai makanan tersebut.
  • Membekalkan pakaian yang lengkap kepada 10 fakir miskin.
  • Jika tidak dapat menyediakan perkara tadi maka hendaklah berpuasa selama tiga hari. (Lihat Safwah al-Tafasir, 1/263)

Justeru kami katakan, sekiranya saudara  tidak mampu melaksanakan nazar maka saudara dikenakan kafarah (denda) iaitu memberi makan  kepada 10 orang  miskin atau memberi pakaian kepada fakir miskin atau membebaskan seorang hamba. Namun, sekiranya tidak mampu juga saudara hendaklah berpuasa 3 hari.

Suka juga untuk kami nasihati supaya tidak bernazar dengan sesuatu perkara yang akan membebankan kita untuk melaksanakannya. Hal ini sepertimana yang telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda :

لا تَنْذرُوا، فإنَّ النَّذْرَ لا يُغْنِي مِنَ القَدَرِ شيئًا، وإنَّما يُسْتَخْرَجُ به مِنَ البَخِيلِ

Maksudnya: Janganlah kamu untuk bernazar (dengan sesuka hati), kerana sesungguhnya nazar tidak akan mengubah daripada takdir yang telah ditentukan Allah SWT sedikitpun. Hanyasanya ia dikeluarkan daripada orang yang bakhil.

Riwayat Muslim(1640)

Semoga Allah SWT memberi kefahaman yang baik kepada kita dalam beragama dan kami akhiri dengan doa :

اللَّهُمَّ فَقِّهْنَا فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْنَا التَّأْوِيلَ

Maksudnya: “Ya Allah! Berikanlah kepada kami kefahaman di dalam agama serta ajarkanlah kepada kami takwilan-takwilan.

 Wallahua’lam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *