Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bolehkah solat gerhana diqadha’kan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Daripada Abdullah bin Abbas R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ الشَّمْسَ وَالقَمَرَ آيَتَانِ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ، لاَ يَخْسِفَانِ لِمَوْتِ أَحَدٍ وَلاَ لِحَيَاتِهِ، فَإِذَا رَأَيْتُمْ ذَلِكَ، فَادْعُوا اللَّهَ، وَكَبِّرُوا وَصَلُّوا وَتَصَدَّقُوا

Maksudnya: “Sesungguhnya matahari dan bulan itu ialah dua tanda daripada tanda-tanda kekuasaan Allah, tidaklah keduanya bergerhana kerana matinya seseorang dan tidak pula kerana hidupnya, jika kalian melihat gerhana, maka berdoalah kepada Allah, bertakbir, laksanakanlah solat dan bersedekahlah.”

Riwayat al-Bukhari (3202)

Dalam menjawab persoalan di atas, waktu pelaksanaan solat dua gerhana ini dimulai pada saat gerhana matahari atau gerhana bulan sedang berlangsung dan waktunya berakhir apabila berakhirnya gerhana.

Dalam isu qadha’ solat gerhana, para ulama’ mazhab Syafi’ie berpendapat bahawa Dianjurkan mengqadha solat sunnah. Namun tidak semua jenis solat sunnah pasti dapat diqadha. Salah satu solat sunnah yang tidak dapat diqadha adalah solat sunnah yang dianjurkan tatkala terdapat suatu sebab tertentu (ذات السبب) seperti solat gerhana dan solat tahiyatul masjid. Hal ini seperti yang dijelaskan oleh Syeikh ‘Abd al-Rahman bin Muhammad Ba’lawi, dalam kitab Bughyah al-Mustarsyidin, katanya: “Disunnahkan mengqadha solat sunnah yang memiliki waktu yang telah ditentukan, seperti solat hari raya, solat witir, dan solat rawatib secara mutlak. Bahkan jika seseorang membiasakan melaksanakan solat sunnah mutlak, lalu dia meninggalkan solat tersebut pada waktu biasanya, meskipun disebabkan keuzuran, maka tetap disunnahkan baginya untuk mengqadha solat sunnah mutlak tersebut supaya dirinya tidak membiasakan diri untuk meninggalkkannya. Dan tidak dibolehkan untuk mengqadha solat yang memiliki sebab khusus, seperti solat gerhana dan solat tahiyatul masjid” (Lihat Bughyah al-Mustarsyidin, hlm. 120)

Hal ini kerana solat gerhana termasuk dalam kategori solat yang tidak diperbolehkan untuk mengqadha’nya tatkala waktu pelaksanaannya sudah tamat. Bahkan jika solat gerhana tetap dilakukan di luar waktunya, maka solat tersebut tidak sah. Syeikh Ibrahim al-Bajuri di dalam Hasyiahnya menyatakan: “Jika solat ini telah habis (waktu pelaksanaannya) maka tidak boleh untuk diqadha’kan. Iaitu tidak disyariatkan untuk mengqadha’nya. Sesuatu perbuatan itu jika tidak disyariatkan tetapi ia tetap dilakukan, maka perbuatan itu tidak sah.” (Lihat Hasyiyah al-Bajuri Syarh Ibn Qasim ‘Ala Matan Abi Syuja’, 1/438)

Salah satu sebab solat gerhana ini tidak dapat diqadha adalah kerana mengqadha solat hanya diperuntukkan pada solat-solat yang memiliki waktu secara pasti atau waktu pelaksanaannya telah ditentukan oleh syara’, sedangkan solat gerhana bukan termasuk kategori solat tersebut. Solat gerhana merupakan kategori solat yang dilakukan dengan suatu sebab tertentu seperti gerhana matahari atau bulan, sehingga waktunya tidak ditentukan secara pasti oleh syara’.

Ibn Hajar al-Haitami di dalam Tuhfah al-Muhtaj menyatakan: “Qadha adalah melaksanakan sesuatu di luar waktu yang telah ditentukan secara syara’, sedangkan solat ini (solat gerhana) tidak ada waktu yang ditentukan sama sekali” (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 10/234).

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *