#604 Kibas Tilam Sebelum Tidur

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Adalah mengibas tilam atau tempat tidur sebelum berbaring termasuk dalam sunnah? Mohon pencerahan.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا

Maksudnya: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).”

(Surah al-Ahzab: 21)

Ayat di atas menunjukkan bahawa telah ada buat kamu — wahai orang yang beriman — pada perkataan-perkataan Nabi SAW, perbuatan-perbuatannya, dan keadaan-keadaannya contoh teladan yang baik, agar kamu semua dapat mengikutinya. Maka, berpeganglah dengan sunnahnya kerana sesungguhnya ia dipegang dan diikuti oleh orang-orang yang mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat. Juga, perbanyakkanlah mengingati Allah dan memohon keampunan daripada-Nya, serta bersyukur kepada-Nya dalam setiap keadaan. (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 420)

Untuk menjawab persoalan yang diajukan, kami bawakan satu riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا أَوَى أَحَدُكُمْ إِلَى فِرَاشِهِ، فَلْيَأْخُذْ دَاخِلَةَ إِزَارِهِ، فَلْيَنْفُضْ بِهَا فِرَاشَهُ، وَلْيُسَمِّ اللهَ، فَإِنَّهُ لَا يَعْلَمُ مَا خَلَفَهُ بَعْدَهُ عَلَى فِرَاشِهِ، فَإِذَا أَرَادَ أَنْ يَضْطَجِعَ، فَلْيَضْطَجِعْ عَلَى شِقِّهِ الْأَيْمَنِ، وَلْيَقُلْ : سُبْحَانَكَ اللهُمَّ رَبِّي بِكَ وَضَعْتُ جَنْبِي، وَبِكَ أَرْفَعُهُ، إِنْ أَمْسَكْتَ نَفْسِي، فَاغْفِرْ لَهَا، وَإِنْ أَرْسَلْتَهَا فَاحْفَظْهَا بِمَا تَحْفَظُ بِهِ عِبَادَكَ الصَّالِحِينَ

Maksudnya: “Sekiranya salah seorang daripada kamu pergi ke tempat tidurnya, hendaklah dia mengambil (memegang) bahagian dalam kainnya, kemudian mengibas tempat tidurnya dengan kain tersebut serta sebutlah nama Allah (yakni membaca Bismillah), kerana sesungguhnya tidak ada seorang pun yang tahu apa yang terjadi setelah dia meninggalkan tempat tidurnya. Sekiranya dia mahu berbaring, berbaringlah di sebelah rusuk kanannya dan berdoa; Maha suci Engkau, Ya Allah Wahai Tuhanku, dengan namaMu aku berbaring, dan dengan namaMu aku angkat pinggangku. Jika Engkau menahan nyawaku, maka berilah keampunan kepadanya dan jika Engkau melepaskannya, maka peliharalah sebagaimana hamba-hamba-Mu yang soleh.

Riwayat Muslim (2714)

Terdapat dalam riwayat lain yang datang dengan lafaz:

إِذَا قَامَ أَحَدُكُمْ عَنْ فِرَاشِهِ ثُمَّ رَجَعَ إِلَيْهِ فَلْيَنْفُضْهُ بِصَنِفَةِ إِزَارِهِ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ

Maksudnya: “Apabila salah seorang daripada kamu bangun dari tempat tidurnya, kemudian dia kembali kepadanya, maka hendaklah dia mengibaskannya dengan hujung kainnya sebanyak tiga kali.”

Riwayat al-Tirmizi (3401)

Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith-hadith ini, menyebutkan bahawa maknanya adalah disunatkan untuk mengibas-ngibas tempat tidurnya sebelum dia berbaring di atasnya supaya tidak ada padanya apa-apa yang boleh membahayakan dirinya — yakni memberi mudarat — seperti ular, kala jengking atau seumpamanya. Begitu juga, hendaklah dia mengibasnya dalam keadaan tangannya dilindungi — yakni tertutup — dengan hujung kainnya, supaya tidak terjadi pada tangannya apa-apa perkara yang dibencinya, sekiranya di sana benar-benar ada — apa-apa yang boleh membahayakannya tadi. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 17/37-38)

Selain itu, perintah ini juga adalah supaya manusia sentiasa menjaga kebersihan dan jauh daripada segala perkara yang boleh menyakitkan atau memberi mudarat. Al-Mubarakfuri menukilkan daripada al-Tibi yang menyatakan bahawa Nabi SAW berpesan supaya mengibas terlebih dahulu tempat tidur kerana dia tidak tahu apa yang ada di atas tempat tidurnya saat dia keluar — atau tiada — seperti tanah atau kotoran atau hama. Malah, pesanan atau peringatan ini merupakan tanda kasihnya Baginda SAW kepada umatnya sehinggakan saat hendak tidur pun, Baginda masih lagi mengingatkan agar mengibas tempat tidur supaya tiada serangga kecil atau hama yang akan mengganggu dan menyakitinya. Demikianlah juga, kita dibolehkan untuk menggunakan kain atau apa sahaja yang sesuai bagi mengibas tempat tidur dan tilam. Al-Qari’ menyatakan sebab diperintahkan mengibas tempat tidur dengan kain kerana kebanyakkan masyarakat Arab ketika itu tidak ada pada mereka pakaian lain melainkan apa yang sedang dipakai seperti Izar (kain bawah) dan rida’ (kain atas). (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 9/244; al-Ifsah ‘an Ma‘ani al-Sahhah, 6/281; Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 9/244)

Manakala bacaan yang perlu dibaca saat mula hendak mengibas adalah dengan menyebut nama Allah iaitu Bismillah. Al-Mubarakfuri menukilkan pendapat al-Munawi yang menyebutkan, sebab perlunya kepada membaca basmalah kerana nama Allah SWT itu ibarat segel (kunci) bagi anak Adam. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 3/184)

Selain daripada itu, membaca basmalah juga bererti kita mengharapkan perlindungan serta pertolongan daripada Allah SWT dalam apa jua perkara yang kita lakukan.

Setelah selesai mengibas sebanyak tiga kali atau sehingga diyakini sudah tiada apa-apa kotoran atau serangga yang memudaratkan, barulah kita berbaring di atas tilam tersebut. Kemudian, barulah membaca doa sebelum tidur. Ibn Battal menyebutkan ketika mengulas bacaan doa sebelum tidur bahawa pada doa ini terdapat penyerahan dan pengakuannya kepada Allah SWT bahawa Dia jualah yang berkuasa menghidupkan dan mematikan. (Lihat Syarh Sahih al-Bukhari, 10/88)

Kesimpulannya

Berdasarkan perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa mengibas tempat tidur, tilam dan seumpamanya dengan menggunakan kain atau apa-apa sahaja yang sesuai adalah termasuk dalam sunnah dan adab-adab sebelum tidur yang diajarkan oleh Nabi SAW kepada umatnya. Hikmahnya adalah supaya membersihkan tempat tidur berkenaan daripada sebarang kotoran, tanah atau habuk yang berkemungkinan berada di atasnya, lalu memudaratkan orang yang berbaring di situ.

Selain itu, ia juga adalah bertujuan untuk menghalau haiwan dan serangga berbisa seperti kala jengking, labah-labah, hama dan seumpamanya, yang mungkin bersembunyi di atas tilam — yang tidak disedari dan dilihat oleh mata — lalu membahayakan orang yang akan tidur di atasnya. Pada masa yang sama, bacalah ‘Bismillah’ ketika mengibasnya agar kita dijauhi daripada sebarang perkara yang tidak diingini. Lebih-lebih lagi bacaan basmalah itu juga selari dengan suruhan Rasulullah SAW sebagaimana sabdanya:

كلُّ كلامٍ، أو أمرٍ ذي بالٍ لا يُفتَحُ بذِكْرِ اللَّهِ عزَّ وجلَّ فَهوَ أبترُ

Maksudnya: “Setiap ucapan atau perkara yang tidak dimulai dengan menyebut nama Allah (zikrullah), maka amalan tersebut akan terputus.”

Riwayat Ahmad (8712)

Setiap orang Islam harus ingat mereka ialah hamba kepada Allah SWT dalam setiap keadaan. Allah SWT sentiasa mengawasi mereka dan hanya kepada-Nya sahajalah mereka memohon pertolongan. Inilah antara bukti kesempurnaan syariat agama ini, yang merangkumi adab-adab yang sepatutnya setiap orang Islam mempelajarinya dan beramal dengannya, merangkumi setiap aktiviti dalam kehidupan mereka, bermula terbitnya matahari — yakni siang — sehingga terbenamnya semula — yakni malam.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama dan kekuatan dalam mengamalkan sunnah-sunnah serta adab-adab yang diajarkan oleh Rasulullah SAW. Ameen.

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 28 Februari 2022 bersamaan 26 Rejab 1443H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *