#605 Menjilat Saki Baki Makanan pada Sudu

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Adakah disunatkan atau digalakkan untuk menjilat saki baki makanan yang melekat pada sudu dan garpu sebagaimana disunatkan untuk menjilatnya pada jari-jemari tangan? Terima Kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا

Maksudnya: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).”

(Surah al-Ahzab: 21)

Ayat di atas menunjukkan bahawa sesungguhnya telah ada bagi kamu (wahai orang-orang yang beriman) pada perkataan-perkataan Nabi SAW, perbuatan-perbuatannya, dan keadaan-keadaannya contoh teladan yang baik, agar kamu semua dapat mengikutinya. Maka, berpeganglah dengan sunnahnya kerana sesungguhnya ia dipegang dan diikuti oleh orang-orang yang mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat. Begitu juga, perbanyakkanlah mengingati Allah dan memohon keampunan daripada-Nya, serta bersyukur kepada-Nya dalam setiap keadaan. (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 420)

Rasulullah SAW telah mengajarkan kepada umatnya mengenai adab-adab yang menjadi panduan buat mereka dalam aktiviti kehidupan seharian. Di antaranya adalah menjilat jari-jemari tangan yang digunakan untuk makan setelah selesai makan dan sebelum membasuhnya. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إذا أكَلَ أحَدُكُمْ فَلْيَلْعَقْ أصابِعَهُ، فإنَّه لا يَدْرِي في أيَّتِهِنَّ البَرَكَةُ

Maksudnya: “Apabila salah seorang daripada kamu (telah selesai) makan, maka jilatlah jari-jemarinya kerana sesungguhnya dia tidak tahu pada jari manakah yang mempunyai keberkatan.”

Riwayat Muslim (2035)

Tujuannya adalah untuk mendapat keberkatan daripada makanan tersebut kerana kita tidak tahu pada bahagian manakah keberkatan tersebut ada. Boleh jadi keberkatan itu ada dalam makanan yang telah dimakan, ada pada sisa makanan yang terlekat di jari-jemari, ada pada sisa makanan yang terjatuh atau ada pada sisa makanan yang masih berbaki di dalam pinggan. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 13/206; Tuhfah al-Ahwazi, 5/424)

Rasulullah SAW sangat menitik beratkan soal ini sehinggakan makanan yang terjatuh pun, jangan dibiarkan. Akan tetapi, bersihkannya dan kemudian memakannya. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Anas bin Malik R.A, beliau berkata:

 أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا أَكَلَ طَعَامًا لَعِقَ أَصَابِعَهُ الثَّلَاثَ، قَالَ: وَقَالَ: إِذَا سَقَطَتْ لُقْمَةُ أَحَدِكُمْ فَلْيُمِطْ عَنْهَا الْأَذَى وَلْيَأْكُلْهَا، وَلَا يَدَعْهَا لِلشَّيْطَانِ، وَأَمَرَنَا أَنْ نَسْلُتَ الْقَصْعَةَ، قَالَ: فَإِنَّكُمْ لَا تَدْرُونَ فِي أَيِّ طَعَامِكُمُ الْبَرَكَةُ

Maksudnya:Rasulullah SAW apabila selesai makan, Baginda akan menjilat ketiga jarinya sambil bersabda: ‘Apabila suapan salah seorang daripada kamu terjatuh, hendaklah dia bersihkan kotoran (atau habuk yang melekat) padanya dan kemudian memakannya. Jangan biarkan makanan itu untuk syaitan (yakni dimakan oleh syaitan itu).’ Begitu juga, Baginda berpesan kepada kami agar membersihkan sisa makanan yang berada di atas pinggan — yakni menghabiskannya. Baginda bersabda: ‘Hal ini kerana kamu tidak tahu pada bahagian mana daripada makanan kamu yang mengandungi keberkatan’.

Riwayat Muslim (2034)

Oleh yang demikian, disunatkan untuk makan suapan makanan yang terjatuh selepas dibersihkan atau dihilangkan kotoran dan habuk yang melekat padanya. Akan tetapi sekiranya makanan tersebut tertumpah atau terjatuh ke tempat yang najis, jika boleh hendaklah dibersihkan makanan itu daripada najis yang melekat padanya dengan cara membasuhnya. Namun, sekiranya makanan itu tidak dapat lagi dibersihkan, hendaklah memberinya — yakni makanan yang terkena najis itu — kepada haiwan dan jangan sesekali tinggalkannya untuk syaitan. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 5/425)

Bahkan Baginda SAW turut berpesan, jika kita tidak mahu menjilat jari-jemari selepas makan, biarkan jari-jemari kita dijilat oleh orang lain seperti isteri, anak, hamba dan orang lain yang tidak merasa geli atau kotor dengan perbuatan tersebut. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 13/206)

Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إذا أكَلَ أحَدُكُمْ فلا يَمْسَحْ يَدَهُ حتّى يَلْعَقَها أوْ يُلْعِقَها

Maksudnya: “Apabila salah seorang daripada kamu makan, janganlah dia menyapu — yakni membersihkan — tangannya melainkan setelah dia menjilatnya atau dijilat (tangan tersebut).

Riwayat al-Bukhari (5456) dan Muslim (2031)

Tambahan lagi, Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa ‘keberkatan makanan’ bermaksud makanan yang mengenyangkan, terhindar daripada perkara yang memudaratkan (penyakit) dan mendapat kekuatan untuk melakukan ibadah kepada Allah SWT dan sebagainya. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 13/206; Tuhfah al-Ahwazi, 5/424)

Selain itu, terdapat hadith menceritakan bahawa Rasulullah SAW bukan sahaja memerintahkan agar jari-jemari dijilat, tetapi juga pinggan atau bekas yang digunakan untuk meletakkan makanan. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Jabir bin Abdullah R.A bahawa:

أنَّ النبيَّ ﷺ أَمَرَ بلَعْقِ الأصابِعِ والصَّحْفَةِ، وَقالَ: إنَّكُمْ لا تَدْرُونَ في أَيِّهِ البَرَكَةُ

Maksudnya:Nabi SAW memerintahkan untuk menjilat jari-jemari dan pinggan makanan. Baginda bersabda: ‘Kamu tidak tahu pada bahagian mana makanan yang mengandungi keberkatan’.

Riwayat Muslim (2033)

Hadith di atas jelas menunjukkan bahawa Rasulullah SAW mengingatkan kepada kita agar menjilat sisa makanan yang melekat pada jari-jemari dan pinggan kerana pada masa dahulu, kita menggunakan jari-jemari untuk menyuap makanan dan pinggan sebagai tempat untuk meletak makanan. Oleh yang demikian, kami berpendapat bahawa hukum yang sama juga terpakai kepada apa sahaja alat moden dan semasa yang digunakan untuk menyuap makanan ke dalam mulut seperti sudu, garpu, chopsticks dan lain-lain, serta apa sahaja bekas yang digunakan untuk meletakkan makanan seperti mangkuk, dulang dan sebagainya.

Kesimpulannya

Justeru, berdasarkan perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa disunatkan untuk menjilat saki baki makanan yang melekat pada sudu dan garpu serta apa sahaja medium yang digunakan untuk menyampaikan makanan ke mulut seperti chopsticks dan lain-lain seperti mana disunatkan untuk menjilat jari-jemari yang digunakan untuk makan. Begitu juga turut disunatkan unutk menjilat bekas atau pinggan yang digunakan untuk meletakkan makanan.

Hal ini adalah supaya mudah-mudahan kita memperoleh keberkatan yang terkandung dalam makanan tersebut kerana kita tidak mengetahui pada bahagian mana terkandung keberkatan itu. Boleh jadi pada saki baki makanan yang melekat pada jari, sudu, garpu, pinggan atau makanan yang terjatuh. Oleh itu, Baginda SAW mengingatkan kita agar menjilat baki makanan yang melekat pada jari-jemari dan pinggan, serta mengutip makanan yang terjatuh dan memakannya semula, jika dapat dibersihkan. Sekiranya tidak dapat dibersihkan, berilah makanan itu kepada haiwan dan jangan sesekali biarkannya untuk syaitan.

Selain itu, dari sudut yang lain, ia mengandungi isyarat bahawa agama Islam sangat mengambil berat soal makanan dan mengingatkan penganutnya agar tidak membazir kerana perbuatan membazir itu merupakan amalan syaitan.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 28 Februari 2022 bersamaan 26 Rejab 1443H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *