Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Assalamualaikum Dato Sri, adakah terdapat dalil berkenaan tatacara duduk tahiyat akhir, di mana ada segelintir yang duduk tahiyat akhir sepertimana duduk di tahiyat awal. Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Daripada Malik bin al-Huwairith, sabda Rasulullah SAW:

صَلُّوا كَمَا رَأَيْتُمُونِي أُصَلِّي

Maksudnya: “Solatlah kamu semua sepertimana kamu semua melihat aku mendirikan solat.”

Riwayat al-Bukhari (631)

Imam al-Nawawi berkata: Hadith ini mengisyaratkan tuntutan agar mengerjakan ibadah mengikut cara bagaimana Rasulullah SAW ajarkan dan juga praktikkan. (Lihat al-Majmu‘, 4/521)

Pada asasnya, duduk pada tahiyat atau tasyahhud akhir termasuk dalam rukun solat. Hal ini adalah sebagaimana yang disebutkan oleh Habib Hasan al-Kaff bahawa menurut pendapat yang muktamad, rukun solat adalah sebanyak 13 rukun, dengan menjadikan tuma’ninah berada di bawah rukun-rukun. Kemudian, rukun-rukun itu pula terbahagi kepada empat kategori iaitu rukun qauli, rukun fi‘li, rukun ma‘nawi dan rukun qalbi.

Rukun qauli ada lima iaitu takbiratul ihram, bacaan al-Fatihah, tasyahhud akhir, selawat ke atas Nabi Muhammad pada tasyahhud akhir dan salam. Menurut Habib Hasan al-Kaff, ia dinamakan sebagai rukun qauli kerana disyaratkan kepada orang yang mendirikan solat untuk melafazkannya sekadar suara yang boleh didengari oleh dirinya sendiri.

Seterusnya, rukun fi‘li ada enam iaitu berdiri, rukuk, iktidal, sujud, duduk antara dua sujud dan duduk pada tasyahhud akhir. Rukun ma‘nawi hanya ada satu iaitu tertib dan rukun qalbi juga ada satu iaitu niat. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 208).

Dr. Wahbah al-Zuhaili menjelaskan, duduk pada tasyahhud akhir adalah rukun kerana ia merupakan tempat tasyahhud (akhir), maka ia turut menjadi wajib kepada orang yang mampu. Dalam erti kata lain, jika sabit kewajipan tasyahhud itu, maka wajib juga kepadanya untuk duduk. (Lihat al-Fiqh al-Syafi‘i al-Muyassar, 1/180).

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, sebenarnya duduk secara tawarruq ketika tahiyat akhir iaitu seseorang itu duduk dalam keadaan tapak kaki kanannya berdiri tegak, dan jari jemari kaki kanannya menghadap ke arah kiblat. Manakala kaki kirinya dilipat ke arah kaki kanan, dan dia meletakkan bahagian punggungnya di atas lantai atau tanah termasuk dalam perkara yang disunatkan ketika tasyahhud akhir sebagaimana yang disebutkan oleh Dr. Wahbah al-Zuhaili dan Habib Hasan al-Kaff. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 246; al-Fiqh al-Syafi‘i al-Muyassar, 1/180).

Justeru, wajibnya adalah untuk dia duduk ketika tahiyat akhir, tidak kira dengan apa duduk sekalipun. Manakala duduk tawarruq ketika tahiyat akhir itu pula termasuk dalam perkara sunat. Ini jelas dapat dilihat melalui kenyataan Imam al-Nawawi yang dinukilkan oleh Dr. Muhammad al-Zuhaili, yang menyatakan bahawa para ashab kami (ulama mazhab Syafi‘i) menyebutkan, tidak ditentukan cara duduk pada tempat-tempat ini (iaitu duduk tasyahhud akhir, duduk tasyahhud awal dan duduk istirahah) suatu cara yang menjadikannya sah, bahkan apa cara duduk yang dilakukan, maka ia adalah sah, sama ada tawarruk atau iftirasy,[1] menjulurkan kaki, atau menegakkan kedua-dua lututnya, atau salah satu daripada keduanya, atau bentuk duduk yang lain. Akan tetapi disunatkan untuk duduk tawarruq pada akhir solat (iaitu ketika tasyahhud akhir) dan duduk iftirasy pada selain duduk akhir solat. Selain itu, beliau juga menyebutkan, bagaimana cara duduk sekalipun adalah dibolehkan, dan disunatkan untuk duduk iftirasy pada tahiyat awal. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 1/291; al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/450).

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, jelaslah bahawa wajibnya adalah untuk dia duduk ketika tahiyat akhir, tidak kira dengan apa duduk sekalipun. Justeru, jika seseorang itu duduk di tahiyat akhir seperti mana duduk di tahiyat awal iaitu dengan cara duduk iftirasy, maka solat yang didirikan dalam keadaan ini adalah tetap dikira sah kerana yang wajibnya adalah untuk dia duduk ketika tahiyat akhir, tidak kira dengan apa bentuk duduk sekalipun. Namun, mengikut mazhab Syafi‘i ketika tahiyat akhir disunatkan untuk duduk tawarruq[2] dan duduk iftirasy pula pada selain duduk akhir solat.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan.”

Surah Ibrahim (40-41)

Nota Hujung:

[1] Iftirasy ialah seseorang itu duduk dengan meletakkan bahagian punggungnya di atas kaki kirinya. Manakala tapak kaki kanan itu ditegakkan jari jemarinya menghadap ke arah kiblat.

[2] Tawarruq ialah seseorang itu duduk dalam keadaan tapak kaki kanannya berdiri tegak, dan jari jemari kaki kanannya menghadap ke arah kiblat. Manakala kaki kirinya dilipat ke arah kaki kanan, dan dia meletakkan bahagian punggungnya di atas lantai atau tanah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *