Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya apakah hukum kita mengubah syarat yang diletakkan oleh pewakaf terhadap harta yang diwakaf kepada perkara lain yang lebih memberi manfaat kepada ahli jemaah ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Wakaf  pada bahasa bererti menahan dari dijual beli dan lain-lain (الْحَبْسُ عَنِ التَّصْرِفِ). Perkataan wakaf, tahbis (تَحْبِيسُ) dan tasbil (تَسْبِيل) adalah membawa makna yang sama. Dengan makna itu, di kebanyakan negara Arab, Kementerian Hal Ehwal Wakaf disebut (وزَارًةُ الاَوْقَافِ). Hanya negara Maghribi sahaja dipanggil (وِزَارَةُ الاَحْبَاسِ).

Para fuqaha telah bersepakat memberi takrif wakaf dari sudut bahasa dengan “al-Habs” yang bererti menahan kerana ia lebih hampir kepada pengertian syarak. Ini adalah berdasarkan kepada hadith daripada Saidina Umar R.A, sabda Rasulullah SAW:

إِنْ شِئْتَ حَبَسْتَ أَصْلَهَا وَتَصَدَّقْتَ بِهَا

Maksudnya: “Sekiranya engkau mahu, tahanlah (wakafkanlah) pokoknya dan bersedekah (di jalan Allah) akan buahnya (hasilnya).”

Riwayat al-Bukhari (2772)

Ibn Hajar menjelaskan: “Iaitu mewakafkannya dan bersedekah dengan manfaat (yang terhasil) daripadanya.”  (Lihat Fath al-Bari, 5/401)

Wakaf dari segi syarak pula bermaksud menahan harta itu pada jalan Allah untuk diberi manfaatnya kepada golongan fakir dan musafir dengan mengekalkan ainnya (asal) sebagai pemilik pemberi wakaf.

Pengertian wakaf sepertimana ditakrifkan oleh ulama mazhab Syafi’i adalah:

حَبْسُ مَالٍ يُمْكِنُ الاِنْتِفَاعُ بِهِ مَعَ بَقَاءِ عَيْنِهِ بِقَطْعِ التَّصَرُّفِ فِي رَقَبَتِهِ عَلَى مَصْرِفٍ مُبَاحٍ مَوْجُودٍ

Maksudnya: “Penahanan harta yang boleh diambil manfaatnya dan berkekalan ‘ain harta itu. Dengan gugurnya hak milik pewakaf ke atas permannfaatan perkara-perkara yang mubah (tidak haram)”. ( Lihat Mughni al-Muhtaj, 2/376 )

Secara ringkas, wakaf boleh difahami sebagai menahan harta benda yang kekal ainnya (zatnya) yang boleh diambil atau digunakan manfaatnya untuk tujuan kebajikan dan diserahkan ke tempat atau pihak yang ditentukan, serta terhalang daripada boleh digunakan secara berleluasa terhadap benda yang diwakafkan dan dimanfaatkan itu dengan harapan ianya dapat mendekatkan dirinya kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT:

لَن تَنَالُوا الْبِرَّ حَتَّىٰ تُنفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ ۚ وَمَا تُنفِقُوا مِن شَيْءٍ فَإِنَّ اللَّهَ بِهِ عَلِيمٌ

Maksudnya:Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan, maka sesungguhnya Allah Mengetahuinya.”

(Surah Ali-Imran: 92)

Dalam Tafsir al-Quran al-‘Azim, Imam Ibn Kathir ada menyatakan satu kisah berkaitan Abu Talhah RA yang mewakafkan satu telaga yang paling disukainya demi mendapat redha Allah SWT dan RasulNya. ( Lihat Tafsir al-Quran ‘Azim, 1/496 )

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan, adalah wajib untuk mematuhi syarat yang ditetapkan oleh pewakaf dan apa yang telah ditentukan sebagai saluran wakaf. Syarat-syarat ini merangkumi tujuan dan kaedah pengagihan manfaat wakaf sebagaimana yang diinginkan oleh pewakaf. Oleh itu, para ahli feqah telah menyatakan: ‘Sesungguhnya nas pewakaf adalah sepertimana nas syarak,’ iaitu dalam kewajiban mematuhinya, tidak ada perbezaan antara pewakaf itu sendiri atau orang lain. Ini bermakna setiap syarat yang ditetapkan oleh pewakaf mesti dihormati dan dilaksanakan sebagaimana nas-nas syarak yang lain, tanpa mengubah atau mengabaikan sebarang perincian yang telah dinyatakan oleh pewakaf.

Yang demikian sebagaimana pandangan al-Syairazi bahawa beliau menyebutkan: hasil wakaf dibelanjakan mengikut syarat pewakaf dari segi keutamaan, kesamarataan, kelebihan, mendahulukan, menangguhkan, menggabungkan, menyusun, memasukkan sesiapa yang dikehendaki dengan sifat tertentu, dan mengeluarkannya dengan sifat tertentu; kerana para sahabat telah mewakafkan dan menulis syarat-syarat mereka.  (Lihat Mudawwanah Ahkam al-Waqf al-Fiqhiyyah, 2/172)

Begitu juga disebutkan dalam Dalil al-Talib (Hlm.188) bahawa: Nas atau lafaz pewakaf adalah seperti nas syarak; semua syarat yang ditetapkannya mesti dipatuhi selagi ia tidak membawa kepada penyelewengan daripada tujuan asal.

Namun sebahagian ulama mengharuskan mengubah syarat pewakaf kepada apa yang lebih memberi maslahat dan manfaat kepada orang ramai.  Ini merupakan pandangan yang dipilih oleh Syeikh Islam Ibn Taimiyyah, beliau menyatakan: dibenarkan untuk mengubah syarat-syarat pewakaf kepada sesuatu yang lebih baik daripadanya, walaupun ia berbeza mengikut peredaran zaman, sehingga jika wakaf itu untuk ahli fiqah dan sufi, tetapi orang ramai memerlukan jihad, maka  hasil wakaf itu boleh disalurkan kepada tentera. (Lihat al-Fatawa al-Kubra, 5/429)

Justeru, kami berpendapat bahawa jika terdapat keperluan untuk mengubah syarat yang telah ditetapkan oleh pewakaf dan perubahan tersebut memberikan manfaat kepada masyarakat, maka kami berpandangan bahawa tindakan tersebut adalah dibenarkan. Ini kerana tujuan utama berwakaf adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Oleh itu, mencari alternatif yang lebih memberikan manfaat kepada masyarakat dan pewakaf itu sendiri adalah lebih diutamakan.

Selain itu, adalah penting untuk mempertimbangkan pandangan dan keinginan asal pewakaf, kerana ini adalah amanah yang perlu dipelihara. Jika boleh, berkomunikasi dengan pewakaf (jika mereka masih hidup) atau waris mereka untuk mendapatkan persetujuan maka, itu adalah tindakan yang paling baik. Ini memastikan bahawa sebarang perubahan yang dibuat adalah selaras dengan niat asal pewakaf dan memberikan manfaat yang lebih besar kepada masyarakat.

Kami akhiri perbincangan ini dengan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, sabda Nabi SAW:

إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ وَعِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ وَوَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ

Maksudnya: Apabila matinya seseorang itu, maka terputuslah amalannya melainkan tiga perkara, iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkannya dan anak soleh yang sentiasa mendoakan kedua ibubapanya.

Riwayat al-Nasa’ie (3651)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan marilah kita sama-sama merafa‘kan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahua’lam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *