Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya saya seorang pemandu grab, penumpang selalu tertinggal barang, seperti pemetik api, payung dan lain lain,saya tidak tahu siapa yang tertinggal, boleh saya guna tak barang barang tu? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِّنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالْإِثْمِ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”

(Surah al-Baqarah : 188)

Ayat di atas boleh difahami bahawa, janganlah sebahagian daripada kamu memakan (mengambil) harta sebahagian yang lain dengan cara yang batil seperti sumpah yang dusta, merampas, mencuri, rasuah, riba dan lain-lain. Selain itu, janganlah kamu menyampaikan hujah-hujah yang batil kepada hakim bagi tujuan memakan harta segolongan manusia dengan cara yang salah sedangkan kamu tahu perkara itu adalah haram ke atas kamu (melakukannya).(Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 29)

Selain itu, Nabi SAW turut bersabda:

كُلُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ حَرَامٌ، دَمُهُ، وَمَالُهُ، وَعِرْضُهُ

Maksudnya: “Hak setiap muslim ke atas muslim yang lain adalah haram (baginya mencerobohi) maruahnya, hartanya dan darahnya.”

Riwayat Muslim (2564)

Hadith ini menunjukkan kewajipan seseorang muslim terhadap saudaranya yang lain, iaitu haram ke atasnya untuk menumpahkan darah saudara muslim yang lain dan mencerobohi hartanya seperti mencuri atau merompak atau menipu dalam urusan jual beli.(Lihat al-Adab al-Nabawi, 1/137)

Justeru, secara asasnya, setiap individu Muslim diharamkan daripada mengambil dan menggunakan harta orang lain tanpa kebenaran pemiliknya.

Dalam menjawab bagi persoalan ini kami katakan isu ini adalah berkaitan dengan barang luqatah iaitu barangan yang dijumpai yang tidak diketahui pemiliknya atau sesuatu yang hilang daripada tuannya kerana jatuh, lalai dan seumpamanya.

Berkaitan dengan harta luqatah ini Rasulullah SAW pernah ditanya  oleh seseorang yang tidak dikenali lalu Baginda menjawab:

اعْرِفْ وِكَاءَهَا وَعِفَاصَهَا ثُمَّ عَرِّفْهَا سَنَةً فَإِنْ لَمْ تَعْرِفْ فَاسْتَنْفِقْهَا وَلْتَكُنْ وَدِيعَةً عِنْدَكَ فَإِنْ جَاءَ طَالِبُهَا يَوْمًا مِنَ الدَّهْرِ فَأَدِّهَا إِلَيْهِ

Maksudnya: “kenalilah pengikatnya dan bungkusannya kemudian umumkan ia selama satu tahun sekiranya tidak dijumpai (pemiliknya) maka bolehlah mengambil manfaat daripadanya sekiranya ia dituntut kembali maka kembalikanlah kepadanya.”

Riwayat Muslim (1722)

Sekiranya barang yang dijumpai kurang daripada 10 Dirham, perlu dihebahkan beberapa hari sehingga satu tempoh yang dirasakan perlu untuk diiklankan sehingga tempoh di mana pemiliknya tidak akan lagi menuntut selepas tempoh tersebut. Sekiranya 10 Dirham atau lebih, hebahkanlah selama setahun. (Lihat Fath al-Qadir, 6/122; al-Mudawwanah, 6/173; al-Mu’tamad, 3/685).

Begitu juga disebutkan dalam Nayl al-Autar (5/404) bahawa: Harta yang dijumpai kurang nilainya tetapi menjadi tumpuan orang ramai seperti wang yang kecil nilainya. Maka seharusnya dia mengumumkan selama mana ia merasakan pemiliknya tidak mahu lagi mencarinya ini seperti yang dinyatakan oleh Imam Al-Syaukani di dalam kitabnya bahawa Saidina Ali RA berjumpa dengan Rasullullah S.A.W bertanyakan tentang satu dinar yang dijumpainya. Lalu Baginda menyuruhnya untuk mengumumkan sebanyak 3 kali. Sekiranya tidak ada yang menuntutnya maka manfaatlah kesemuanya.

Selain itu juga dalam isu ini, Syeikh Abdullah bin Soleh al-Fauzan menyatakan: Harta yang hilang menjadi kewajipan bagi orang yang menemuinya untuk mengumumkan harta yang tercicir selama setahun penuh di tempat-tempat umum dan di tempat di mana ia ditemui. Ini kerana  tempat di mana harta itu ditemui adalah tempat pemiliknya mungkin mencarinya. Tidak mencukupi untuk mengumumkannya secara rahsia antara beberapa individu, sebaliknya, dia perlu mengumumkannya secara terang-terangan. (Lihat Minhah al-A’llam, 7/78-79)

Justeru kami katakan, kami berpendapat bahawa jika barang yang tertinggal oleh penumpang adalah barang yang bernilai, maka saudara haruslah mengiklankan barang tersebut untuk mencari pemiliknya. Lebih-lebih lagi pada era teknologi moden ini, dengan adanya media sosial seperti Facebook, Instagram, Whatsapp dan lain-lain, adalah lebih mudah untuk menyebarkan maklumat tersebut.

Namun, jika barang yang bernilai tersebut tidak dituntut setelah setahun atau barang yang tertinggal bukanlah harta yang bernilai menurut adat setempat, maka tidak ada kesalahan bagi saudara untuk memanfaatkannya.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”

Wallahua’lam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *