Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya apakah hukumnya peniaga yang mengambil keuntungan yang lebih yang tidak sepatutnya. Apakah kedudukan status wang tersebut? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا ۚ

Maksudnya: “Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.”

(Surah al-Baqarah: 275)

Imam al-Qurtubi menjelaskan bahawa lafaz jual beli ini adalah dalam bentuk umum namun pada masa yang sama ia juga khusus, iaitu terkecuali daripada riba dan selainnya yang dilarang dan ditegah syarak. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 3/356)

Urusan jual beli di dalam Islam melibatkan 3 rukun yang utama:

  • Pihak yang melakukan akad, iaitu penjual dan pembeli.
  • Barang yang diakadkan, iaitu barang jualan dan wang yang dijadikan tukaran.
  • Lafaz akad, iaitu lafaz jual dan beli. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 2/323)

Jual beli di dalam Islam juga mestilah berdasarkan keredhaan antara kedua belah pihak. Ini berdasarkan nas syara‘ yang jelas seperti firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ لاَ تَأْكُلُواْ أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ إِلاَّ أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara rela hati di antara kamu.”

(Surah al-Nisa’: 29)

Oleh kerana itu, Islam memberikan hak memilih bagi penjual dan juga pembeli sama ada ingin meneruskan sesuatu urusan jual beli atau membatalkannya, dengan syarat kedua belah pihak belum berpisah dari majlis akad jual beli. Ini berdasarkan hadith riwayat Ibn ‘Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

الْبَيِّعَانِ بِالْخِيَارِ مَا لَمْ يَتَفَرَّقَا

Maksudnya: “Penjual dan pembeli boleh memilih (untuk meneruskan atau membatalkan jual beli), selama belum berpisah.”

Riwayat al-Bukhari (2108) dan Muslim (1532)

Ulama’ Islam telah berijma‘ atas keharusan jual beli kerana ia telah menjadi suatu keperluan dalam kehidupan seharian. Seseorang tu boleh jadi tidak mampu untuk memperolehi sesuatu yang dihajati, tetapi ianya ada pada hak pemilikan orang lain. Maka Islam memberikan jalan keluar untuk mendapatkan sesuatu yang pada asalnya adalah hak milik orang lain dengan cara yang halal, iaitu akad jual beli yang sah berserta redha.

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa syarak tidak mentetapkan had tertentu bagi penjual untuk mengaut keuntungan daripada pembeli sekiranya kedua-dua pihak redha atas transaksi jual beli yang dilakukan.

Hal ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri R.A bahawa Nabi SAW telah bersabda:

إِنَّمَا الْبَيْعُ عَنْ تَرَاضٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya jual beli itu berdasarkan kepada keredhaan.”

Riwayat Ibn Majah (2185). Syeikh Syu‘aib al-Arnauth menghukumkan sanad hadith ini adalah kuat (Qawiy).

Jual beli yang harus dan menepati syarak akan memberi kesan dan implikasi iaitu bertukarnya pemilikan dengan syarat berlakunya keredaan antara penjual dan pembeli. Ianya akan dikira sebagai muktabar. (Lihat Masabih al-Tanwir ‘ala Sahih al-Jami’ al-Saghir, 1/425)

Syeikh Abd ‘Aziz bin Baz dalam isu ini menyatakan: Dalam syariat yang suci, tidak ada penetapan untuk keuntungan. Pendapat yang mengatakan bahawa ia ditetapkan pada satu pertiga adalah pendapat yang lemah dan tiada dalil yang menyokongnya. Yang benar ialah tiada batasan dalam hal ini, tetapi adalah disyariatkan bagi seorang mukmin untuk mencari keuntungan yang wajar dalam urusannya dengan saudaranya, supaya tidak menyusahkannya atau membebaninya. Jadi, dalam setiap situasi, hendaklah dia mencari keuntungan yang sesuai. Tiada had tertentu; keuntungan mungkin lima dalam sepuluh, lima peratus, sepuluh peratus, mungkin lebih atau kurang bergantung kepada keadaan orang yang berhutang dan tempoh masa, pendek atau panjangnya. Kedua-dua pihak jual beli hendaklah mencari apa yang baik untuk semua dan memudahkan semua. (Lihat Fatawa Nur ‘ala Darb, 19/53)

Telah diriwatkan daripada Abdullah bin Zubair bahawa:

 وَكَانَ الزُّبَيْرُ اشْتَرَى الْغَابَةَ بِسَبْعِينَ وَمِائَةِ أَلْفٍ، فَبَاعَهَا عَبْدُ اللَّهِ بِأَلْفِ أَلْفٍ وَسِتِّمِائَةِ أَلْفٍ

Maksudnya: “Al-Zubair telah membeli kawasan Al-Ghabah (Hutan) dengan harga seratus tujuh puluh ribu, lalu Abdullah menjualnya dengan harga satu juta enam ratus ribu .”

Riwayat Bukhari (3139)

Hadith ini menunjukkan bahawa tidak ada batasan dalam mendapatkan keuntungan dari transaksi jual beli dan Islam memberikan kebebasan kepada peniaga untuk menetapkan harga barang yang mereka jual selama transaksi tersebut dilakukan dengan jujur dan tidak melibatkan penipuan atau riba. Oleh itu, keuntungan yang diperolehi adalah sah dan diterima dalam Islam.

Justeru, peniaga dibenarkan untuk menetapkan keuntungan dalam bentuk jumlah wang tertentu, atau peratusan yang diketahui dari harga barang seperti satu pertiga atau satu perempat, atau lebih dari itu. Walau bagaimanapun, penjual digalakkan untuk berlaku adil dan tidak mengambil keuntungan yang berlebihan sehingga menzalimi pembeli. Syarak menekankan kepentingan kejujuran dan keterbukaan dalam transaksi jual beli bagi menghindari penipuan atau kezaliman terhadap mana-mana pihak.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”

Wallahua‘lam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *