Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hukum wanita memakai sarung kaki yang berbentuk jari semasa solat? Sah atau tidak solat? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, di antara syarat-syarat sah solat ialah menutup aurat. Di sisi mazhab al-Syafi‘i, aurat bagi lelaki ialah bahagian tubuh antara pusat dan lutut, manakala wanita ialah seluruh tubuh kecuali wajah dan tapak tangan. Jika seseorang lelaki atau perempuan menunaikan solat dalam keadaan tidak menutup aurat, maka solatnya tidak sah. Para ulama Syafi‘iyyah berdalilkan hadith Nabi yang diriwayatkan Aisyah R.Anha:

لَا يَقْبَلُ اللَّهُ صَلَاةَ حَائِضٍ إِلَّا بِخِمَارٍ

Maksudnya: “Allah tidak menerima solat orang perempuan haid melainkan dengan memakai khimar (tudung).”

Riwayat Abu Daud (641), Ibn Majah (655), dan al-Tirmizi (377).[1]

Imam al-Nawawi berkata, “yang dimaksudkan sebagai ‘haid’ itu adalah wanita yang sudah baligh.” Dan ini juga merupakan syarat sah juga bagi kaum lelaki. (Lihat al-Majmu‘ Syarḥ al-Muhazzab, 3/166-167). Maksudnya, Allah tidak menerima solat perempuan dan lelaki yang akil baligh, melainkan kedua-duanya menutup aurat.

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, al-Syairazi menyatakan, kadar dikira menutup aurat itu adalah tidak menampakkan warna kulit. (Lihat al-Muhazzab, 125/1). Syeikh Zainuddin al-Malibari pula menjelaskan, ia hendaklah tidak menampakkan warna kulit dalam situasi perbualan [jarak kedudukan kebiasaan bagi dua orang atau beberapa orang berbual]. (Lihat Fatḥ al-Muʿīn, 1/86).

Menurut al-Hafiz al-Murtadha al-Zabidi dalam kitabnya, Ithaf Sadah al-Muttaqin (3/134) bahawa aurat seorang wanita merdeka adalah seluruh badan melainkan wajah dan dua pergelangan tangan iaitu bermula daripada kepala jari jemari sampai ke pergelangan tangan. Beliau menyebutkan lagi, syarat menutup aurat adalah memakai sesuatu yang menghalang daripada dapat dilihat warna kulit bukan daripada yang menghilangkan bentuk badannya (kerana sebahagaian manusia khususnya yang gemuk sukar untuk tidak menampakkan sedikitpun daripada bentuk badannya). Maka tidak memadai pakaian nipis dan koyak kerana ia tidak menghalang untuk dilihat warna kulit melalui celah-celahannya. Begitu juga tidak memadai seseorang memakai kaca yang menampakkan warna kulit kerana tujuan menutup aurat tidak akan berlaku dengannya. Adapun jika menampakkan bentuk tubuh sahaja maka ia tidak memudaratkan tetapi bagi wanita hukumnya makruh memakai pakaian tersebut, manakala bagi lelaki hukumnya adalah khilaf al-aula. Pendapat ini juga adalah pendapat al-Mawardi dan ulama selainnya.

Begitu juga Syaikh al-Islam Zakariyya al-Ansari turut menyebutkan, tidak memadai bagi menutup aurat pakaian yang menampakkan warna kulit iaitu orang yang dapat melihat warna disebalik pakaian tersebut seperti pakaian koyak yang tidak menghalang daripada dilihat warna kulit kerana tujuan sebenar menutup aurat tidak akan berlaku tanpa menutup perkara tersebut. Tidak memudaratkan (tidak mengapa) setelah pakaian tersebut menutup warna kulit jika menampakkan bentuk badan sekalipun tetapi hukumnya adalah makruh bagi wanita dan khilaf al-Aula bagi lelaki. Perkara ini disebut oleh Imam al-Mawardi dan ulama selainnya. (Lihat Asna al-Matalib, 1/176).

Bahkan Ibn Hajar al-Haitami juga ada menyatakan, syarat menutup aurat ketika di dalam solat mahupun di luar solat, baik berupa pakaian ataupun bukan, mestilah meliputi seluruh anggota tubuh yang hendak ditutupi serta menutupi warnanya. Dalam erti kata lain, menutup aurat cukup atau memadai dengan sesuatu yang mencegah terlihatnya warna kulit, meskipun menampakkan lekuk/bentuk tubuh, seperti seluar yang ketat. Akan tetapi jika seluar ketat, maka makruh dipakai oleh perempuan, dan menyalahi perbuatan yang lebih utama (khilaf al-Aula) jika dipakai oleh lelaki. (Lihat al-Minhaj al-Qawim, hlm. 115).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa tidak mengapa bagi seseorang wanita untuk memakai sarung kaki (stokin) yang berbentuk jari semasa solat. Namun, dengan syarat sarung kaki yang dipakainay itu dapat melindungi warna kulit kakinya daripada terdedah/terlihat. Begitu juga solat yang didirikannya itu dianggap sah dan tidak perlu diulangi semula.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan.”

Surah Ibrahim (40-41)

Leave a Reply