Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Ketika sahur pagi ini, saya berpesan pada ahli keluarga bahawa Subuh masuk pada pukul 6.13. (Saya teringat jadual waktu solat di surau saya. Malangnya dan diakui kecuaian saya, saya tidak melakukan semak semula). Sekitar jam 6.10 saya terasa dahaga dan minum air. Ketika saya minum saya tengok jam menunjukkan pukul 6.12. Ketika hadir di surau, saya melihat jadual waktu solat dan mendapati waktu Subuh ialah pada 6.12. Soalan: Adakah batal puasa saya walaupun saya ketika minum saya yakin Subuh belum masuk? Ataupun keyakinan saya terbatal kerana kecuaian saya menyemak semula waktu solat Subuh?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pada asasnya, bersahur termasuk dalam perkara sunat yang digalakkan bagi sesiapa yang ingin berpuasa. Bahkan Ibn al-Munzir menyatakan bahawa umat telah bersepakat bahawa sahur termasuk dalam perkara sunat dan digalakkan, serta tidak berdosa bagi sesiapa yang meninggalkannya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 6/360)
Di samping itu, Nabi SAW sendiri menyarankan umatnya untuk bersahur kerana terdapat pelbagai kelebihan dan keberkatan padanya. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Anas bin Malik R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:
تَسَحَّرُوا فَإِنَّ فِي السَّحُورِ بَرَكَةً
Maksudnya: “Bersahurlah, kerana sesungguhnya di dalam sahur itu ada keberkatan.”
Riwayat al-Bukhari (1923)
Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan bahawa puasa anda pada hari tersebut tidak dikira batal kerana ia tidak disengajakan. Namun, nasihat kami agar selepas ini anda perlu berhati-hati supaya tidak berlaku sedemikian lagi. Sebaiknya elakkan untuk sahur satu atau dua minit sebelum bagi mengelakkan was-was, terlajak atau seumpamanya.
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Wallahua`lam.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”