Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bolehkah perempuan dalam haid bersa’ie?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Sa’ie merupakan salah satu daripada rukun haji dan ia dilakukan antara Safa dan Marwah sebanyak tujuh kali pergi dan balik. Antara Safa ke Marwah dikira sekali. Firman Allah SWT:

 إِنَّ الصَّفَا وَالْمَرْوَةَ مِن شَعَائِرِ اللَّهِ ۖ فَمَنْ حَجَّ الْبَيْتَ أَوِ اعْتَمَرَ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِ أَن يَطَّوَّفَ بِهِمَا ۚ وَمَن تَطَوَّعَ خَيْرًا فَإِنَّ اللَّهَ شَاكِرٌ عَلِيمٌ ‎‏

Maksudnya: “Sesungguhnya “Safa” dan “Marwah” itu ialah sebahagian daripada Syiar (lambang) agama Allah; maka sesiapa yang menunaikan ibadat Haji ke Baitullah atau mengerjakan Umrah, maka tiadalah menjadi salah ia bersaie (berjalan dengan berulang-alik) di antara keduanya. Dan sesiapa yang bersukarela mengerjakan perkara kebajikan, maka sesungguhnya Allah memberi balasan pahala, lagi Maha Mengetahui.”

Surah al-Baqarah (158)

Menjawab persoalan di atas, kami katakan, harus bagi wanita untuk bersa’ie dari Safa dan Marwah, sedangkan dia dalam haid kerana taharah bukan termasuk syarat saie bahkan ia hanya sunat. Tetapi perlu difahami bahawa di antara syarat-syarat Saie sebagaimana disebut dalam al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-Umrah:

  • Hendaklah melalui semua jarak antara Safa dan Marwah.
  • Wajib untuk dimulakan di Safa.
  • Menyempurnakan tujuh pusingan. Dikira pergi dari Safa sekali pusingan, dan kembali dari Marwah sekali pusingan.
  • Sa’ie hendaklah dilakukan selepas tawaf yang sahih — yakni sempurna tujuh pusingannya. Sama ada selepas tawaf qudum atau tawaf ziarah, dan tidak mungkin dapat digambarkan ia dilakukan selepas tawaf wada’. (Lihat al-Taudhih Syarh al-Idhah fi Manasik al-Haj wa al-Umrah, 196-198)

Kami akhiri dengan doa kepada Allah, semoga dimakbulkan haji kita:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *