#621 Penggunaan Duit Lebihan Program

Soalan

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum menggunakan wang lebihan daripada peruntukan program yang dibayar oleh pelajar untuk kegunaan lain?

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ

Maksudnya : “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah”

(Surah al-Baqarah: 188)

Al-Maraghi dalam tafsirnya menyatakan bahawa kesatuan umat Islam serta saling bertanggungjawab dalam menjaga harta dalam kalangan umat Islam amat penting. Umat Islam perlu menghormati harta orang lain seperti mana dia menghormati hartanya sendiri. Tidak dibenarkan untuk memiliki sesuatu harta tersebut dengan cara penipuan, riba, rasuah dan lain-lain yang menyalahi syariat. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 1/374)

Ayat di atas boleh difahami bahawa, janganlah sebahagian daripada kamu memakan (mengambil) harta sebahagian yang lain dengan cara yang batil seperti sumpah yang dusta, merampas, mencuri, rasuah, riba dan lain-lain. Selain itu, janganlah kamu menyampaikan hujah-hujah yang batil kepada hakim bagi tujuan memakan harta segolongan manusia dengan cara yang salah sedangkan kamu tahu perkara itu adalah haram ke atas kamu (melakukannya). (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 29)

Batil di sini menurut istilah agama ialah mengambil harta orang lain tanpa imbalan yang sewajarnya atau kerelaan pemiliknya.

Demikian juga sabda Nabi SAW ketika khutbah al-wada’. Daripada Ibn Umar R.Anhuma, Nabi SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ حَرَّمَ عَلَيْكُمْ دِمَاءَكُمْ وَأَمْوَالَكُمْ وَأَعْرَاضَكُمْ، كَحُرْمَةِ يَوْمِكُمْ هَذَا فِي شَهْرِكُمْ هَذَا فِي بَلَدِكُمْ هَذَا

Maksudnya :Sesungguhnya Allah SWT mengharamkan ke atas kalian semua darah kalian dan harta kalian dan kehormatan kalian, sepertimana haramnya hari kalian ini, pada bulan kalian ini dan di negeri kalian ini.

Riwayat al-Bukhari (6043)

Selain itu, Nabi SAW turut bersabda:

كُلُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ حَرَامٌ، دَمُهُ، وَمَالُهُ، وَعِرْضُهُ

Maksudnya: “Hak setiap muslim ke atas muslim yang lain adalah haram (baginya mencerobohi) maruahnya, hartanya dan darahnya.”

Riwayat Muslim (2564)

Hadith ini menunjukkan kewajipan seseorang muslim terhadap saudaranya yang lain, iaitu haram ke atasnya untuk menumpahkan darah saudara muslim yang lain dan mencerobohi hartanya seperti mencuri atau merompak atau menipu dalam urusan jual beli. (Lihat al-Adab al-Nabawi, 1/137)

Agama Islam amat menitikberatkan perihak baik dan bersih dalam semua perkara. Hal ini dapat dilihat berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, Nabi SAW bersabda:

أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّ اللَّهَ طَيِّبٌ لاَ يَقْبَلُ إِلاَّ طَيِّبًا وَإِنَّ اللَّهَ أَمَرَ الْمُؤْمِنِينَ بِمَا أَمَرَ بِهِ الْمُرْسَلِينَ فَقَالَ ‏{‏ يَا أَيُّهَا الرُّسُلُ كُلُوا مِنَ الطَّيِّبَاتِ وَاعْمَلُوا صَالِحًا إِنِّي بِمَا تَعْمَلُونَ عَلِيمٌ‏}‏ وَقَالَ ‏{‏ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ‏}‏ ‏”‏ ‏.‏ ثُمَّ ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ يَمُدُّ يَدَيْهِ إِلَى السَّمَاءِ يَا رَبِّ يَا رَبِّ وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT itu baik, dia tidak menerima kecuali perkara yang baik. Dan sesungguhnyaAllah SWT telah memerintahkan orang-orang mukmin dengan apa yang telah diperintahkan kepada para Rasul, maka Allah SWT bersabda: (Wahai para Rasul! Makan minumlah kamu makanan yang baik-baik dan hendaklah kami beramal soleh). Dan Allah SWT berfirman: (Wahai orang-orang yang beriman! Makan minumlah kamu makanan yang baik-baik yang Kami rezekikan kepada kamu). Kemudian Baginda SAW menyebut perihal seorang lelaki yang bermusafir jauh, yang rambutnya kusut masai dan berdebu, yang menadah tangan kelangit (iaitu berdoa): Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku! Bagaimanakah doanya akan dimakbulkan sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan dia dikenyangkan dengan makanan yang haram?”

Riwayat Muslim (1015)

Ibn Hajar al-Haitami dalam mensyarahkan hadith ini menyatakan perkataan (لاَ يَقْبَلُ) ini bermaksud Allah SWT tidak menerima di sisinya apa-apa amalan atau harta yang bersumberkan kepada yang haram dan tidak bersih. Hal ini termasuk dalam aspek makan, minum serta pemakaian seharian kita. (Rujuk ) bermaksud Allah SWT tidak menerima apa-apa amalan dan harta kecuali yang datang daripada sumber yang bersih sahaja. (Lihat al-Fath al-Mubin, 1/286)

Berdasarkan persoalan di atas, wang lebihan program yang telah dilaksanakan itu adalah hak milik pelajar. Hal ini kerana para pelajar yang menyumbang wang adalah untuk kegunaan program bagi pihak mereka sahaja. Maka, wang lebihan tersebut perlulah dipulangkan semula kepada para pelajar atau digunakan untuk kepentingan para pelajar itu sendiri. Justeru, para guru tidak boleh dan haram menggunakan wang tersebut untuk kegunaan lain yang tidak memberikan manfaat kepada para pelajar.

KESIMPULAN

Sebagai kesimpulan, kami melihat bahawa wang lebihan tersebut tidak boleh dan haram untuk digunakan oleh pihak guru atau penganjur untuk digunakan kepada keperluan lain melainkan setelah mendapat kebenaran dari pihak pelajar yang telah menyumbang ataupun ia digunakan untuk manfaat para pelajar tersebut. Hal ini kerana, wang lebihan tersebut adalah hak pelajar dan perlu untuk dipulangkan semula kepada pelajar.  Namun begitu, dalam isu seperti ini, amatlah perlu untuk diperluaskan tujuan kutipan sumbangan tersebut semasa mula berkempen lagi bagi memudahkan penggunaan wang tersebut pada masa mendatang.

Semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahu a`lam

Bertarikh: 1 Mac 2022 bersamaan 27 Rejab 1443H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *