Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami tafsir dan syarah ayat 15 surah al-Naml serta maksud ilmu yang disebut dalam ayat itu?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

 وَلَقَدْ آتَيْنَا دَاوُودَ وَسُلَيْمَانَ عِلْمًا ۖ وَقَالَا الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي فَضَّلَنَا عَلَىٰ كَثِيرٍ مِّنْ عِبَادِهِ الْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya: Dan sesungguhnya kami telah mengurniakan ilmu pengetahuan kepada Nabi Daud dan Nabi Sulaiman; dan mereka berdua bersyukur dengan berkata: “Segala puji tertentu bagi Allah yang dengan limpah kurniaNya memberi kami kelebihan mengatasi kebanyakan hamba-hambaNya yang beriman”.

(Surah al-Naml: 15)

Setelah Allah SWT menyebut kisah Nabi Musa AS disusuli-Nya pula dengan kisah Nabi Daud AS dan Nabi Sulaiman AS dengan kalam, Allah SWT telah mengurniakan kepada Nabi Daud a.s. dan anaknya Nabi Sulaiman AS dengan ilmu pengetahuan yang bermacam-macam jenis.

Antaranya Allah SWT telah mengajar Nabi Daud AS cara membuat baju besi sebagai perisai daripada ditembusi oleh alat senjata yang tajam dalam peperangan. Allah SWT juga telah mengajar dan memahamkan Nabi Sulaiman AS tentang tutur bicara dan bahasa-bahasa yang diucapkan oleh burung-burung dan binatang-binatang serta tasbih-tasbih yang diungkapkan oleh gunung-gunung dan makhluk-makhluk yang lainnya. (Lihat ‘Abr al-Athir: Tafsir al-Quran di Radio, 19/204)

Kalimah ‘عِلْمًا’ dalam ayat ini menurut Qatadah ialah kefahaman. (Lihat Tafsir al-Bahr al-Muhit, 2/57)

Muqatil pula menyatakan bahawa kalimah ( عِلْمًا ) bermaksud ilmu kehakiman. (Lihat Tafsir Muqatil, 2/497)

Segala ilmu ini tidak pernah diberikan oleh Allah SWT kepada sesiapa di antara hamba-hamba-Nya sebelum Nabi Sulaiman AS. Lantaran itu, Nabi Daud AS dan Nabi Sulaiman AS. telah mengucapkan syukur dan memuji kebesaran Allah SWT di atas segala kurniaan tersebut. (Lihat ‘Abr al-Athir: Tafsir al-Quran di Radio, 19/204)

Kami akhiri dengan doa:

سُبْحَانَكَ لَا عِلْمَ لَنَا إِلَّا مَا عَلَّمْتَنَا ۖ إِنَّكَ أَنتَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ ‎

Maksudnya: “Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *