Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin bertanya, bagaimana pandangan menurut islam terhadap seseorang yang mencintai golongan Ansar dan bagaimana pula sebaliknya? Mohon pendapat Dato’. Terima kasih.
Jawapan
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَالسَّابِقُونَ الْأَوَّلُونَ مِنَ الْمُهَاجِرِينَ وَالْأَنصَارِ وَالَّذِينَ اتَّبَعُوهُم بِإِحْسَانٍ رَّضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ وَأَعَدَّ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي تَحْتَهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ۚ ذَٰلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ
Maksudnya: “Dan orang-orang yang terdahulu – yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang “Muhajirin” dan “Ansar”, dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia, serta Ia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar.”
(Surah al-Taubah: 100)
Lafaz “وَالَّذِينَ اتَّبَعُوهُم بِإِحْسَانٍ” bermaksud mereka yang meneladani orang-orang yang pertama-tama memeluk Islam daripada kaum Muhajirin dan Ansar. Mereka ialah generasi setelah para sahabat dan generasi setelahnya lagi sehinggalah hari kiamat, jika meneladani mereka dengan baik dalam perbuatan dan ucapan. (Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir, hlm. 259)
Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan kecintaan terhadap golongan Ansar merupakan salah satu tanda keimanan seorang Muslim. Ini disebabkan oleh peranan golongan Ansar yang telah memberi pertolongan, perlindungan, dan sokongan kepada Nabi Muhammad SAW dan para Muhajirin semasa hijrah ke Madinah. Golongan Ansar juga memegang peranan penting dalam memartabatkan dan menyebarkan agama Islam. Sebaliknya, rasa benci terhadap golongan yang membantu agama Islam adalah tanda kemunafikan.
Hal ini boleh dilihat melalui hadith yang diriwayatkan daripada al-Bara’ bin ‘Azib bahawa beliau bersabda:
الأنْصارُ لا يُحِبُّهُمْ إلّا مُؤْمِنٌ، ولا يُبْغِضُهُمْ إلّا مُنافِقٌ، فمَن أحَبَّهُمْ أحَبَّهُ اللَّهُ، ومَن أبْغَضَهُمْ أبْغَضَهُ
Maksudnya: “Tidak adalah seorangpun yang mencintai kaum Ansar kecuali orang beriman. Dan tidaklah membenci mereka melainkan dirinya itu seorang munafik. Sesiapa yang mencintai mereka, maka Allah akan mencintainya. Sesiapa yang membenci mereka, Allah akan membencinya.”
Riwayat Bukhari (3783)
Maknanya adalah bahawa seseorang yang mencintai golongan Ansar akan dicintai oleh Allah SWT, dan seseorang yang membenci golongan Ansar akan dibenci oleh Allah. Golongan Ansar adalah penduduk Madinah dan golongan yang beriman yang telah memberikan perlindungan kepada Nabi SAW dan orang-orang beriman. Maka, tidak masuk akal jika seseorang yang mempunyai iman dalam hatinya akan membenci golongan Ansar yang telah melakukan semua itu untuk Nabi SAW. Oleh itu, tidak mencintai golongan Ansar kecuali orang yang beriman, dan tidak membenci mereka kecuali orang munafik yang terhalang dari rahmat Allah. (Lihat Syarh Riyadh al-Solihin, oleh Ahmad Hatibah, 7/22 )
Begitu juga hadith yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik bahawa Rasulullah SAW bersabda:
آيَةُ الإِيمَانِ حُبُّ الأَنْصَارِ، وَآيَةُ النِّفَاقِ بُغْضُ الأَنْصَار
Maksudnya: “Tanda keimanan adalah mencintai kaum Ansar, dan tanda kemunafikan adalah membenci kaum Ansar.”
Riwayat Bukhari (3784)
Disebutkan dalam al-Mafatih fi Syarh al-Masabih (6/344): Sesiapa yang mencintai mereka, itu adalah tanda kesempurnaan iman mereka, dan sesiapa yang membenci mereka, itu adalah tanda kemunafikan mereka.
Justeru, antara kesempurnaan iman seseorang muslim adalah apabila dia menunjukkan kasih sayang dan rasa cinta terhadap golongan Ansar. Ini adalah sesuatu yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW yang dapat kita pahami melalui hadith-hadith Baginda. Walau bagaimanapun, tanda-tanda kemunafikan seseorang adalah apabila dia merasa benci terhadap golongan yang disayangi oleh Rasulullah SAW seperti golongan Ansar yang telah banyak memberikan sumbangan dan meningkatkan martabat agama Islam.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan marilah kita sama-sama berdoa:
رَضِيْنَا بِاللهِ رَبًّا، وَبِالْإِسْلَامِ دِينًا، وَبِمُحَمَّدٍ نَبِيًّا
Maksudnya: “Kami redha Allah sebagai Rab, Islam sebagai agama dan Muhammad SAW sebagai Nabi.”
Wallahu‘alam.