Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin bertanya, boleh terangkan kepada kami sebab turunya ayat  9 daripada surah al-Hasyr. Mohon pendapat Dato’. Terima kasih.

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ تَبَوَّءُوا الدَّارَ وَالْإِيمَانَ مِن قَبْلِهِمْ يُحِبُّونَ مَنْ هَاجَرَ إِلَيْهِمْ وَلَا يَجِدُونَ فِي صُدُورِهِمْ حَاجَةً مِّمَّا أُوتُوا وَيُؤْثِرُونَ عَلَىٰ أَنفُسِهِمْ وَلَوْ كَانَ بِهِمْ خَصَاصَةٌ ۚ وَمَن يُوقَ شُحَّ نَفْسِهِ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.”

(Surah al-Hasyr:9)

Syeikh Abdullah al-Bassam menyatakan, perkataan al-Ithar (الإيثار) dalam ayat di atas bermaksud mendahulukan orang lain yang memerlukan berbanding dirinya sendiri, dalam keadaan mereka juga sebenarnya benar-benar berhajat kepada perkara tersebut. Ini adalah tahap yang lebih tinggi daripada mereka yang memberikan sebahagian daripada harta mereka yang mana mereka tidak memerlukan kepada harta itu ataupun tidak berada dalam keadaan darurat. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/392).

Ibn Kathir menyebutkan, ungkapan ‘خَصَاصَةٌ’ ertinya adalah hajat dan keperluan. Maksudnya, mereka lebih mendahulukan orang-orang yang memerlukan daripada hajat dan keperluan diri mereka sendiri. Mereka memulakan untuk orang lain dahulu sebelum diri mereka sendiri.

Sabit di dalam hadith, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “أفْضَلُ الصَّدقَةِ جَهْدُ المُقِلِّ” (Sebaik-baik sedekah adalah sedekah (hasil) jerih payah orang yang kekurangan). Darjat ini lebih tinggi daripada orang-orang yang bersedekah seperti yang Allah berfirman tentang mereka: “وَيُطْعِمُونَ الطَّعَامَ عَلَى حُبِّهِ” (Dan mereka memberikan makanan yang disukainya…). (Surah al-lnsan: 8) Juga firman-Nya: ‘وَآتَى الْمَالَ عَلَى حُبِّهِ’ (dan seseorang memberikan harta yang dicintainya…) (Surah al-Baqarah: 177)

Orang-orang yang memberikan harta yang mereka cintai itu, maksudnya mereka bersedekah sedangkan mereka mencintai harta yang disedekahkan itu. Terkadang mereka tidak memerlukannya, serta tidak pula dalam keadaan darurat. Adapun orang-orang yang mendahulukan orang lain daripada diri mereka sendiri, maka mereka memberikan harta mereka kepada orang lain, sedangkan mereka sendiri memerlukannya. lni adalah darjat yang lebih tinggi. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 8/71).
Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa sebab diturunkan ayat ini adalah disebabkan sahabat Ansar yang disebut dalam hadith ini menunjukkan contoh yang luar biasa dalam pengorbanan. Mereka sanggup memberikan makanan yang sepatutnya untuk anak-anak mereka kepada tetamu demi memuliakan tetamu Rasulullah SAW. Ayat tersebut diturunkan bagi menunjukkan  kemuliaan akhlak yang dizahirkan oleh mereka.

Hal ini juga boleh dilihat melalui sebuah hadith yang diriwayatkan daripada diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A:

أَنَّ رَجُلًا أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلّمَ فَبَعَثَ إِلَى نِسَائِهِ فَقُلْنَ مَا مَعَنَا إِلَّا الْمَاءُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلّمَ مَنْ يَضُمُّ أَوْ يُضِيفُ هَذَا فَقَالَ رَجُلٌ مِنْ الْأَنْصَارِ أَنَا فَانْطَلَقَ بِهِ إِلَى امْرَأَتِهِ فَقَالَ أَكْرِمِي ضَيْفَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلّمَ فَقَالَتْ مَا عِنْدَنَا إِلَّا قُوتُ صِبْيَانِي فَقَالَ هَيِّئِي طَعَامَكِ وَأَصْبِحِي سِرَاجَكِ وَنَوِّمِي صِبْيَانَكِ إِذَا أَرَادُوا عَشَاءً فَهَيَّأَتْ طَعَامَهَا وَأَصْبَحَتْ سِرَاجَهَا وَنَوَّمَتْ صِبْيَانَهَا ثُمَّ قَامَتْ كَأَنَّهَا تُصْلِحُ سِرَاجَهَا فَأَطْفَأَتْهُ فَجَعَلَا يُرِيَانِهِ أَنَّهُمَا يَأْكُلَانِ فَبَاتَا طَاوِيَيْنِ فَلَمَّا أَصْبَحَ غَدَا إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلّمَ فَقَالَ ضَحِكَ اللَّهُ اللَّيْلَةَ أَوْ عَجِبَ مِنْ فَعَالِكُمَا فَأَنْزَلَ اللَّهُ…

Maksudnya: “Ada seseorang yang mendatangi Rasulullah SAW (dalam keadaan lapar), lalu Baginda SAW mengirim utusan kepada para isteri Baginda. Para isteri Rasulullah SAW menjawab: ‘Kami tidak memiliki apa pun kecuali air.’ Rasulullah SAW bersabda: ‘Siapakah daripada kalangan kalian yang ingin menjamu orang ini?’ Salah seorang kaum Ansar menjawab: ‘Aku.’ Lalu orang Ansar ini membawa lelaki tadi ke rumah isterinya, (dan) dia berkata: ‘Muliakanlah tetamu Rasulullah SAW!’ Isterinya menjawab: ‘Kita tidak memiliki apa pun kecuali makanan untuk anak-anak.’ Orang Ansar itu berkata: ‘Siapkanlah makananmu itu, nyalakanlah lampu, dan tidurkanlah anak-anak jika mereka minta makan malam.’ Kemudian, wanita itu pun menyiapkan makanan, menyalakan lampu, dan menidurkan anak-anaknya. Dia lalu bangkit, seakan hendak memperbaiki lampu dan memadamkannya. Kedua suami-isteri ini memperlihatkan (kepada para tetamu) seakan-akan mereka sedang makan. Setelah itu mereka tidur dalam keadaan lapar. Keesokan harinya, si suami datang menghadap Rasulullah SAW, Baginda bersabda: ‘Malam ini Allah tertawa atau takjub dengan perbuatan kamu berdua.’ Maka Allah menurunkan (ayat tersebut).”

Riwayat al-Bukhari (3798)

Imam al-Nawawi telah mencatatkan bahawa: Hadith ini merangkumi pelbagai manfaat, di antaranya adalah sikap Nabi SAW dan keluarganya yang menjauhi kehidupan duniawi serta ketabahan mereka dalam menghadapi kelaparan dan kesukaran hidup. Selain itu, ia menunjukkan bahawa pemimpin suatu masyarakat seharusnya memulakan tindakan memberi pertolongan kepada tetamu dan sesiapa sahaja yang mendatangi mereka dengan dirinya sendiri, dan memberikan bantuan daripada harta benda miliknya terlebih dahulu jika berupaya, kemudian memohon bantuan daripada rakan-rakannya sebagai bentuk kerjasama dalam kebaikan dan ketakwaan. Hadith ini juga menunjukkan kepentingan memberi bantuan dalam keadaan susah, dan memuliakan serta mengutamakan tetamu.

Hadith ini juga menggambarkan kebaikan lelaki Ansar dan Isterinya dalam memberikan bantuan. Selain itu, hadith ini menunjukkan cara untuk memuliakan tetamu jika dia enggan makan kerana takut menyusahkan tuan rumah, seperti kata Ansar kepada isterinya “Padamkan lampu dan tunjukkan makanan kepadanya,” kerana jika dia melihat sedikitnya makanan dan bahawa mereka tidak makan, dia akan enggan makan, dan lain-lain lagi.

Di dalamnya terdapat keutamaan sifat mengutamakan orang lain (ithar) dan galakan untuk melakukannya. Para ulama telah sepakat mengenai keutamaan mengutamakan orang lain dengan makanan dan seumpamanya dari urusan dunia dan kepentingan diri. Adapun amalan-amalan ibadah, maka adalah lebih baik untuk tidak mengutamakan orang lain dengannya kerana hak dalam hal tersebut adalah milik Allah SWT. (Lihat al-Minhaj Syarh Muslim, 12/14)

Justeru, berdasarkan hadith di atas dapat kita fahami bahawa Allah SWT menurunkan ayat tersebut bagi menggambarkan bagaimana sifat kemulian sahabat Ansari yang mengutamakan orang lain walaupun mereka sendiri memerlukan hajat tersebut. Oleh yang demikian, marilah kita mengambil iktibar dari kisah tersebut moga-moga kita tergolong dalam kalangan mereka yang pemurah.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan marilah kita sama-sama berdoa:

اللَّهُمَّ زِدْنَا وَلَا تَنْقُصْنَا، وَأَكْرِمْنَا وَلَا تُهِنَّا، وَأَعْطِنَا وَلَا تَحْرِمْنَا، وَآثِرْنَا وَلَا تُؤْثِرْ عَلَيْنَا، وَارْضِنَا وَارْضَ عَنَّا

Maksudnya: “Wahai Allah! Tambahkanlah buat kami dan jangan Engkau kurangkan. Muliakanlah kami, jangan hinakan kami. Berilah buat kami, jangan dicegahnya. Pilihlah kami, jangan Engkau biarkan dan redhailah kami dan redhailah pula semua usaha kami.”

Wallahua‘alam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *