Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah, selepas kewafatan Nabi SAW, Bilal bin Rabah R.A pernah bermimpi bertemu Nabi SAW dan kemudian beliau segera datang ke Madinah. Lalu di sana, beliau mengumandangkan azan.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Berdasarkan persoalan yang dibangkitkan, kami berusaha untuk membentangkan sebahagian daripada teks yang berkaitan dengan kisah tersebut, sebagaimana yang dinyatakan dalam kitab-kitab para ulama’:

Teks tentang Bilal RA yang Mengalami Mimpi Pertemuan dengan Rasulullah SAW Selepas Kewafatan Baginda SAW

ثم إن بلالاً رأى في منامه النّبيّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وهو يقول له: ما هذه الجفوة يا بلال! أما آن لك أن تزورني يا بلال؟ ” فانتبه حزيناً وجلاً خائفاً، فركب راحلته، وقصد المدينة، فأتى قبر النّبيّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فجعل يبكي عنده، ويمرّغ وجهه عليه، فأقبل الحسنّ والحسين فجعل يضمّهما ويقبّلهما، فقالا له: يا بلال، نشتهي نسمع آذانك الذي كنت تؤذّنه لرسول الله صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ في السّحر، ففعل، فعلا سطح المسجد، فوقف موقفه الذي كان يقف فيه، فلّما أن قال: الله اكبر الله أكبر، ارتجّت المدينة، فلّما أن قال: أشهد أن لا إله إلاّ الله، زاد تعاجيجها، فلّما أن قال: أشهد أن محمداً رسول الله، خرج العواتق من خدرهنّ؛ فقالوا: أبعث رسول الله صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ؟ فما رؤي يوماً أكثر باكياً وباكية بعد رسول الله صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ من ذلك اليوم.

Maksudnya: “Selepas itu, Bilal mengalami mimpi di mana beliau berjumpa dengan Rasulullah SAW semasa tidur. Dalam mimpi tersebut, Nabi SAW menegur Bilal dengan berkata: “Wahai Bilal! Betapa keras dan keringnya hatimu, di mana rindumu kepadaku, sudah lama kamu tidak menziarahiku.” Bilal kemudian terjaga dari tidurnya dalam keadaan sedih dan ketakutan. Tanpa berlengah, beliau segera menaiki tunggangannya dan bergerak ke arah Madinah untuk menziarahi maqam Nabi SAW. Setibanya di sana, beliau menangis di sisi maqam Nabi SAW sambil mengusap wajahnya pada maqam tersebut.

Selepas itu, al-Hasan dan al-Husain tiba, lalu mereka berdua memeluk dan mencium Bilal sambil berkata, “Bilal yang kami kasihi, kami merindui azanmu seperti yang pernah kamu laungkan untuk Rasulullah SAW pada waktu sahur (sebelum waktu subuh masuk).” Bilal kemudian memenuhi permintaan mereka dan melaungkan azan dari atas bumbung di lokasi yang sama seperti masa dia melaungkan azan pada zaman Rasulullah. Ketika suaranya melantun “Allahu Akbar! Allahu Akbar!”, getaran melanda seluruh kota Madinah.

Ketika dia mengumandangkan syahadah, gegarannya semakin bertambah. Sehingga ketika dia menyerukan “Asyhadu anna Muhammadar Rasulullah!”, penduduk Madinah berhamburan keluar dari rumah mereka sambil bertanya, “Adakah Rasulullah diutuskan semula?” Sungguh, tidak ada hari lain yang lebih banyak air mata daripada hari itu, baik dari kaum lelaki mahupun wanita di Madinah, selepas pemergian Rasulullah SAW. (Lihat Tarikh Dimasyq, 7/137 dan Usd al-Ghabah, 1/415)

Kisah ini telah direkodkan dalam kitab Tarikh Dimasyq oleh Ibn Asakir dan juga Ibn al-Athir dalam Usd al-Ghabah. Kami cuba untuk memaparkan beberapa pandangan daripada para ulama’ dalam menilai status kisah ini, antara lain:

Imam al-Hafiz Ibn Abd al-Hadi telah menilai bahawa riwayat atau kisah ini tidak sahih. Selain itu, kisah ini dianggap sebagai gharib (ganjil) dan mungkar. Dalam sanadnya, terdapat perawi yang majhul dan juga terputus. (Lihat al-Sarim al-Munki, 237)

Imam al-Hafiz al-Zahabi telah membuat penilaian terhadap riwayat yang mengisahkan tentang hari yang paling banyak air mata ditumpahkan oleh kaum lelaki dan wanita di Madinah selepas pemergian Rasulullah SAW, berbanding dengan hari tersebut (hari Bilal kembali ke Madinah), dan menilainya sebagai riwayat yang mungkar. (Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 1/358)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani dalam kitabnya menegaskan bahawa cerita tentang kepulangan Bilal RA ke Madinah adalah cerita yang nyata palsunya. (Lihat Lisan al-Mizan, 1/108)

Imam al-Syaukani telah menyatakan bahawa kisah Bilal RA telah diriwayatkan oleh sekelompok sahabat, termasuk Bilal RA sendiri, seperti yang dinukilkan oleh Ibn Asakir dengan sanad yang baik. (Lihat Nail al-Autar, 5/114)

Berlandaskan beberapa pendapat yang telah dikemukakan oleh para ulama, kami lebih cenderung kepada pandangan yang menyatakan bahawa riwayat atau kisah yang disebutkan sebelum ini adalah tidak sahih, sejajar dengan pendirian yang dipegang oleh Imam Ibn Abd al-Hadi, Imam al-Zahabi dan juga Imam Ibn Hajar al-Asqalani.

Meskipun riwayat kisah tersebut adalah tidak sahih, namun tidak dapat dimungkiri bahawa Bilal RA mempunyai kasih sayang dan rindu yang mendalam terhadap Rasulullah SAW. Tambahan pula, sebilangan ulama agak longgar (tidak mengenakan syarat yang begitu ketat) dalam menerima riwayat-riwayat yang berkaitan dengan sirah ini.

Selain itu, Imam al-Zahabi telah meriwayatkan satu lagi hadis yang berkaitan dengan azan Bilal RA selepas kewafatan Nabi SAW. Daripada Zaid bin Aslam, daripada bapanya, beliau berkata:

 قَدِمْنَا الشَّامَ مَعَ عُمَرَ، فَأَذَّنَ بِلاَلٌ، فَذَكَرَ النَّاسُ النَّبِيَّ -صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- فَلَمْ أَرَ يَوْماً أَكْثَرَ بَاكِياً مِنْهُ

Yang bermaksud: “Kami telah tiba di Syam bersama-sama dengan Umar RA, dan Bilal RA telah mengumandangkan azan. Maka orang-orang (yang berada di situ) mengenang Nabi SAW (ketika mendengar azan Bilal RA). Aku tidak pernah melihat sehari pun orang yang menangis lebih banyak daripada dia (iaitu Bilal RA).” (Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 1/357)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa. (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40;  Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/75)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *