Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh ceritakan tentang Hasyim, iaitu datuk kepada Nabi SAW? Saya selalu dengar tentang Bani Hasyim bila disebut tentang keluarga atau keturunan Nabi. Boleh jelaskan, siapakah beliau?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Nama sebenarnya ialah ‘Amr. Dia dipanggil sebagai Hasyim kerana dia adalah orang pertama menghancurkan Tharid (iaitu roti yang dikoyak-koyakkan dan direndam dalam kuah yang panas sehingga lembut) di Makkah untuk diberikan kepada kaumnya dan jemaah haji ketika musim kemarau pada tahun kelaparan. Seorang penyair berkata:
عَمْرُو العُلا هَشَمَ الثَّريدَ لِقَوْمِه ورِجالُ مَكَّةَ مُسْنِتونَ عِجاف
“‘Amr al-Ula menghancurkan al-Tharid untuk kaumnya,
Sedangkan penduduk Makkah ditimpa tahun kelaparan dan kemarau, serta kurus.”
(Lihat al-Mawahib al-Laduniyyah, 1/60; Fath al-Bari oleh Ibn Hajar, 163/7).
Penisbahan Hasyim dalam Keluarga Nabi SAW
Keluarga Nabi Muhammad SAW dikenali sebagai keluarga Hasyim, sebuah nama yang merujuk kepada datuk beliau, Hasyim bin Abd Manaf. Sebagaimana yang telah disebutkan sebelumnya, Hasyim adalah ketua yang bertanggung jawab dalam pengurusan makanan dan minuman. Beliau berasal daripada keluarga Abd Manaf dan memainkan peranan penting dalam perbincangan antara keluarga Abd Manaf dan keluarga Abd al-Dar dalam pembahagian jawatan penting bagi pentadbiran Mekah.
Beliau sentiasa mempermudahkan urusan orang ramai dan memiliki kedudukan yang mulia. Beliau merupakan individu pertama yang menyajikan hidangan daging berkuah untuk jemaah haji yang berada di Mekah. Nama asal beliau ialah Amr dan kemudian dikenali sebagai Hasyim kerana kerap menyediakan roti untuk orang ramai yang bertandang ke Mekah. Beliau juga merupakan individu pertama yang memperkenalkan dua perjalanan perdagangan untuk kabilah Quraisy, iaitu perjalanan pada musim sejuk dan musim panas.
Hasyim bin Abdi Manaf bin Qusai semakin mendapat pengaruh setelah menjalankan perjanjian perdagangan dan memperluaskan kawasan perdagangan di Makkah. Beliau berjaya mengembangkan perdagangan tersebut dari skop tempatan ke peringkat antara negara (global).” (Lihat al-Sirah al-Nabawiyyah al-Sahihah oleh Dr. Akram Dhiya’ al-‘Umari, hlm. 80)
Seorang penyair pernah berkata:
Dialah Amr, yang menyediakan hidangan berkuah
Untuk kaumnya di tanah suci Mekah,
Dia juga memulakan dua perjalanan jauh,
Satu ketika musim sejuk, satu lagi ketika musim panas tiba.
Salah satu episod dalam kehidupan beliau adalah setelah melakukan perniagaan di Syam, beliau menuju ke Madinah dan melamar Salma binti Amr, seorang wanita yang berasal dari keluarga Adi bin al-Najjar, sebagai isteri. Setelah mereka berdua menetap di Madinah untuk beberapa tempoh, Hasyim memulakan perjalanan kembali ke Syam. Pada masa itu, isterinya sedang mengandungkan anak mereka, Abdul Muttalib.
Selepas itu, Hasyim telah meninggal dunia di Gaza, Palestin. Salma, isterinya, telah melahirkan Abdul Mutalib pada tahun 497 Masihi. Nama sebenar Abdul Mutalib ialah Syaibah dan beliau diberi nama “Syaibah” kerana terdapat rambut putih di kepalanya. Beliau dibesarkan di rumah bapa ibunya di Yathrib dan ramai anggota keluarganya di Mekah yang tidak sedar bahawa beliau dibesarkan di Yathrib.
Hasyim memiliki sembilan orang anak, empat daripadanya adalah lelaki dan lima lagi adalah perempuan. Anak-anak lelaki beliau ialah Asad, Abu Saifi, Nadhlah, dan Abdul Mutalib. Manakala anak-anak perempuannya pula diberi nama al-Syifa’, Khalidah, Dha’ifah, Ruqaiyah, dan Jannah. (Lihat al-Sirah al-Nabawiyyah oleh Ibn Hisyam, Talqih Fuhum Ahl al-Athar, hlm. 6; Khulasah al-Sair oleh al-Tabari, hlm. 6)
Sebahagian sumber sejarah menyatakan dengan nama-nama yang berbeza. Sebahagian sumber pula tidak menyatakan beberapa nama yang disebutkan. (Lihat al-Sirah al-Nabawiyyah oleh Ibn Hisyam, 1/107; Rahmatan li al-’Alamin, 1/26; dalam al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 30-32)
Ketua dalam Pengurusan Makan Minum Jemaah Haji
Ketika Abd Manaf meninggal dunia, anak-anak daripada keluarga Abd al-Dar, yakni keluarga yang berada di pihak bapa saudara mereka, telah bersaing untuk mendapatkan jawatan-jawatan utama dalam urusan Mekah. Keluarga Quraisy terpecah kepada dua kelompok dan hampir mencetuskan peperangan di antara mereka. Meskipun demikian, mereka memilih untuk berdamai. Jawatan-jawatan utama kemudian dibahagi-bahagikan di antara mereka.
Tanggungjawab penyediaan makanan dan minuman telah diserahkan kepada keluarga Abd Manaf. Sementara itu, Dar al-Nadwah, urusan berkaitan peperangan, dan al-Hijabah telah diserahkan kepada keluarga ‘Abd al-Dar. Selanjutnya, keluarga Abd Manaf telah menjalankan proses undian untuk pemilihan ketua. Akhirnya, Hasyim bin Abd Manaf telah dipilih melalui proses tersebut dan beliau telah memegang jawatan sebagai ketua dalam urusan penyediaan makanan dan minuman sepanjang hayatnya.
Setelah Hasyim meninggal dunia, beliau digantikan oleh adiknya, al-Mutalib bin Abd Manaf. Kemudian, beliau digantikan oleh Abdul Muttalib bin Hasyim bin Abd Manaf, yang merupakan datuk kepada Nabi Muhammad SAW. Selepas kewafatan Abdul Mutalib, anak-anaknya mengambil alih kedudukannya sehingga era Islam bermula dan posisi tersebut dipimpin oleh Al-’Abbas bin Abdul Mutalib.
(Lihat al-Sirah al-Nabawiyyah oleh Ibn Hisyam, 1/130; Inilah juga sepertimana yang dijelaskan oleh Syeikh al-Mubarakfuri dalam kitabnya yang terkenal, iaitu al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 30-32)
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا آتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisi-Mu, dan berilah kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami.”
Surah al-Kahfi (10)