Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, Adakah boleh membayar zakat fitrah bagi diri sendiri lebih daripada satu kali? Ianya dikira pahala membayar zakat atau pahala bersedekah?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Allah SWT berfirman:

وَأَقِیمُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتُوا۟ ٱلزَّكَوٰةَۚ وَمَا تُقَدِّمُوا۟ لِأَنفُسِكُم مِّنۡ خَیۡرࣲ تَجِدُوهُ عِندَ ٱللَّهِۗ إِنَّ ٱللَّهَ بِمَا تَعۡمَلُونَ بَصِیرࣱ

Maksudnya: “Dirikanlah solat dan tunaikanlah zakat. Apa sahaja kebajikan yang kamu lakukan untuk diri kamu, kamu akan dapati ganjarannya di sisi Allah. Sesungguhnya Allah Maha Melihat apa yang kamu lakukan.”

(Surah al-Baqarah: 110)

Imam Ibn Jarir al-Tabari mengatakan ketika menafsirkan ayat ini: “Solat merupakan tali penyambung antara hamba dengan Tuhan, manakala zakat adalah tali pengerat antara hamba sesama hamba, sesama manusia. Demikianlah sifat seorang Muslim yang baik dan berbahagia, memelihara hubungan dengan Allah, dan hubungan sesama makhluk. Dan setiap pemberian zakat atau sedekah yang diberikan pasti pemberinya akan mendapati pahalanya yang agung dan berganda di sisi Allah SWT.” (Lihat Jami‘ al-Bayan li Ta’wil Ay al-Qur’an, 2/241-242)

Berdasarkan ayat di atas, segala sesuatu yang diberikan pasti ada ganjaran dan pahalanya di sisi Allah SWT. Segala amal kebaikan tidak akan sia-sia.

Bayar Zakat Dua Kali

Boleh sahaja seseorang membayar jumlah zakat fitrah buat kali kedua namun hanya bayaran kali pertama yang dikira sebagai bayaran zakat fitrah wajib. Manakala, bayaran zakat fitrah kali yang kedua hanya dikira sebagai pahala tambahan atas amalan bersedekah yang harus. Memperbanyakkan sedekah adalah suatu amalan yang mustahab (dianjurkan).

Hal ini sama sahaja seperti orang yang sudah menunaikan solat fardu, kemudian dia menunaikan solat fardu tersebut sekali lagi. Solat kali kedua tersebut dinilai sebagai solat nafilah (solat sunat). Yazid bin al-Aswad R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا صَلَّيْتمَا فِي رِحَالِكُمَا ثُمَّ أَتَيْتُمَا مَسْجِدَ جَمَاعَةٍ فَصَلِّيَاهَا مَعَهُمْ فَإنهَا لَكُمَا نَافِلَةٌ

Maksudnya: “Apabila kalian bersolat kali pertama di rumah kalian, kemudian kalian datang ke masjid dan bersolat kali kedua secara berjemaah, maka solat kedua itu dinilai sebagai pahala amalan sunat.”

Riwayat Abu Daud (614) dan al-Tirmizi (219)

Begitu juga dengan seseorang yang melaksanakan sembahyang jenazah dua kali pada satu mayat yang sama. Sah sembahyang jenazah yang pertama sahaja. Manakala solat yang kedua tidak sah sebagai sembahyang jenazah tetapi sah sebagai sembahyang mutlak.

Maka, ibadat tambahan dan ulangan dikira sebagai pahala tambahan dan pahala sunat secara umumnya. Kami nyatakan, selagi tiada larangan jelas mengulang sesuatu perbuatan ibadah tersebut, selagi itu tiada masalah untuk mengulanginya.

Kesimpulan

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan di atas, kami katakan bahawa boleh untuk seseorang mengulang pembayaran zakatnya, namun hanya zakat kali pertama sahaja yang dikira sebagai zakat wajib. Manakala bayaran kali kedua dan seterusnya pula dinilai sebagai pahala sedekah tambahan.

Dianjurkan untuk memperbanyakkan sedekah terutamanya pada bulan Ramadan sepertimana sunnah baginda Nabi Muhammad SAW. ‘Abdullah bin ‘Abbas R.Anhuma meriwayatkan bahawa:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم أَجْوَدَ النَّاسِ، وَكَانَ أَجْوَدُ مَا يَكُونُ في رَمَضَانَ

Maksudnya: “Rasulullah SAW merupakan insan yang paling dermawan, apabila tiba bulan Ramadan, baginda akan menjadi lebih dermawan lagi berbanding waktu lain.”

Riwayat al-Bukhari (1902) dan Muslim (2308)

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا تَقَبَّلۡ مِنَّاۤۖ إِنَّكَ أَنتَ ٱلسَّمِیعُ ٱلۡعَلِیمُ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, terimalah amalan kami. Sesungguhnya Engkau Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

Wallahu a’lam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *