Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, Saya berhasrat untuk melakukan korban seekor lembu. Bolehkah saya meletakkan nama 6 individu lagi (bagi melengkapkan 7 bahagian) tanpa memaklumkan pada individu tersebut. Bayaran dilakukan oleh saya sepenuhnya.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Allah SWT berfirman:

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَٱنۡحَرۡ

Maksudnya: “Maka solatlah engkau dan sembelihlah korban,”

(Surah al-Kauthar: 2)

Imam al-Baghawi berkata ketika menafsirkan ayat di atas: “Ikrimah, Ata‘ dan Qatadah menafsirkan ayat ini: Solatlah sunat hari raya pada pagi 10 Zulhijjah dan kemudian sembelihlah haiwan korbanmu.” (Lihat Ma‘alim al-Tanzil, 8/559)

Ummul Mukminin Aisyah R.Anha meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW:

مَا عَمِلَ آدَمِيٌّ مِنْ عَمَلٍ يَوْمَ النَّحْرِ أَحَبَّ إِلَى اللهِ مِنْ إِهْرَاقِ الدَّمِ إِنَّهُ لَيَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِقُرُونِهَا وَأَشْعَارِهَا وَأَظْلَافِهَا وَإِنَّ الدَّمَ لَيَقَعُ مِنَ اللهِ بِمَكَانٍ قَبْلَ أَنْ يَقَعَ مِنَ الْأَرْضِ فَطِيبُوا بِهَا نَفْسًا

Maksudnya: “Tidak ada suatu pun amalan anak Adam pada hari al-Nahr (10 Zulhijjah) yang lebih dicintai oleh Allah melainkan ibadat menumpahkan darah haiwan ternakan (korban). Semuanya akan datang pada hari kiamat dengan tanduknya, bulu-bulunya, kuku-kukunya. Darah sembelihan korban itu akan sampai ke  hadrat Allah dahulu sebelum darah tersebut tumpah ke bumi. Bersenang-lenanglah kalian dengan ibadat ini.”

Riwayat al-Tirmizi (1493)

Imam al-Suyuti mensyarahkan hadith di atas menyatakan: “Imam Ibn al-‘Arabi al-Maliki mengatakan: Ia merupakan amalan paling afdal pada hari Aidiladha kerana hari tersebut memang dikhususkan untuk melaksanakan korban. Apabila sesuatu amalan itu dikhususkan pada hari tertentu, maka ia merupakan amalan yang paling afdal untuk dilaksanakan pada hari tersebut, selepas ibadat-ibadat fardu seperti solat lima waktu.” (Lihat Qut al-Mutaghazzi ‘ala Jami‘ al-Tirmizi, 1/390)

Korban Untuk Orang Lain

Menurut mazhab al-Syafi’i, kita tidak boleh melaksanakan ibadat korban bagi pihak orang lain jika tidak mempunyai keizinan dan keredhaan mereka, apatah lagi dalam keadaan tidak memberitahu dan tidak memaklumkan kepada mereka. Ia menyebabkan ibadat korban tersebut tidak sah sebagai korban, dan hanya dianggap sebagai sembelihan biasa bagi pihak diri tuan.

Imam al-Nawawi berfatwa: “Tidak boleh melaksanakan ibadat korban untuk orang lain, melainkan dengan izinnya.” (Lihat Minhaj al-Talibin wa ‘Umdah al-Muftin, hal. 321)

Imam Ibn Hajar al-Haitami menjelaskan sebabnya dengan berkata: “Tidak boleh untuk melaksanakan ibadat korban untuk orang lain yang masih hidup, melainkan dengan keizinan daripada dirinya. Korban merupakan ibadat. Hukum asal bagi ibadat adalah tidak boleh melaksanakannya bagi pihak orang lain melainkan apabila ada dalil membenarkannya… Namun, seseorang boleh berkongsi pahala ibadah bahagian korbannya contohnya apabila dia melaksanakannya untuk mewakili satu isi rumah.” (Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 9/367)

Namun, ada pengecualian bagi pernyataan di atas sepertimana yang dinyatakan oleh al-Khatib al-Syirbini: “Melaksanakan korban untuk orang lain yang masih hidup tidak sah melainkan beberapa kes tertentu iaitu:

  • Seseorang yang melaksanakan korban satu bahagian sebagai wakil isi rumahnya untuk memenuhi sunnah kifayah
  • Seseorang yang melaksanakan korban nazar orang lain yang tidak melaksanakannya kerana terlupa atau enggan
  • Seorang pemimpin (ulil amri) yang melakukan korban atas nama kaum Muslimin keseluruhannya menggunakan harta baitul mal
  • Seorang wali (penjaga anak kecil/tuan kepada hamba) yang melaksanakan korban atas nama jagaannya tersebut.”

(Lihat Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah Ma’ani Alfaz al-Minhaj, 6/137)

Kesimpulan dan Cadangan

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan di atas, kami katakan bahawa kita tidak dibolehkan untuk melakukan ibadat korban bagi pihak orang lain melainkan dengan izin dan keredhaan mereka. Anjuran sunnah korban belum terlaksana dan belum terangkat bagi pihak diri mereka.

Namun, pahala yang diniatkan itu boleh untuk dikongsikan bersama mereka terutamanya jika mereka adalah keluarga yang di bawah tanggungan nafkah kita, kerana keumuman boleh untuk menghadiahkan pahala kepada orang lain sesama Muslim. Pahala tersebut pasti sampai insya-Allah.

Sekalipun begitu, kami juga ingin mencadangkan di sini beberapa solusi yang boleh diambil, di mana tuan boleh memaklumkan terlebih dahulu kepada tuan punya badan setiap seorang (yang ingin dimasukkan namanya), serta mendapatkan keizinan mereka untuk melaksanakan korban atas nama mereka. Kemudian, sekiranya mereka setuju dan meredhainya, barulah tuan boleh meletakkan nama mereka bersama nama tuan untuk melengkapkan 7 bahagian korban pada satu lembu.

Semoga Allah menerima amal soleh dan ketaatan kita bersama khususnya ibadat nusuk dan korban yang tuan bakal dan telah laksanakan. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا تَقَبَّلۡ مِنَّاۤۖ إِنَّكَ أَنتَ ٱلسَّمِیعُ ٱلۡعَلِیمُ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, terimalah amalan kami. Sesungguhnya Engkau Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

Wallahu a’lam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *