#638 Makan Daging Kelawar

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum makan daging kelawar sebenarnya. Adakah dihalalkan tetapi makruh atau haram? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُحَرِّمُوا طَيِّبَاتِ مَا أَحَلَّ اللَّـهُ لَكُمْ وَلَا تَعْتَدُوا ۚ إِنَّ اللَّـهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu haramkan benda-benda yang baik-baik yang telah dihalalkan oleh Allah bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas (pada apa yang telah ditetapkan halalnya itu); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.”

(Surah al-Maidah: 87)

Ayat dia atas mengandungi peringatan buat orang beriman agar tidak mengharamkan apa-apa yang baik, yang telah Allah SWT halalkan untuk mereka yang terdiri daripada makanan, minuman dan menikahi perempuan sehingga mempersempitkan apa yang telah Allah SWT luaskan untuk mereka. Selain itu, ayat ini juga mengingatkan mereka agar jangan melampaui batas-batas yang telah Allah SWT haramkan kerana sesungguhnya Allah SWT tidak menyukai orang yang melampaui batas. (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 122)

Definisi kelawar dan habitatnya

Al-Khatib al-Syirbini mendefinisikan kelawar sebagai seekor burung kecil yang menyerupai tikus serta tidak memiliki bulu pelepah dan terbang pada waktu antara Maghrib dan Isyak. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 6/153)

Kelawar adalah satu-satunya mamalia yang boleh terbang. Badan kelawar berbulu dan sayapnya dilitupi kulit yang licin, dan fleksibal. Kebanyakan spesies kelawar hidup di gua, bangunan, atau tempat lain yang terlindung. Sesetengah spesies hidup di atas pokok. Kelawar tidak banyak di banyak kawasan kerana ia bertenggek di tempat gelap dan keluar hanya pada waktu malam apabila kebanyakan orang tidur. Kelawar tergantung kepala ke bawah apabila ia berehat. Terdapat lebih daripada 950 spesies kelawar. Kelawar hidup di semua bahagian di dunia kecuali di kawasan Antartika dan Artik. Kebanyakan jenis kelawar hidup di kawasan tropika tempat ia boleh mendapat makanan sepanjang tahun. Selama berabad-abad, manusia memperturunkan banyak tahayul dan idea yang salah tentang kelawar. Misalnya, ungkapan “buta macam kelawar” adalah tidak benar. Kesemua spesies kelawar boleh melihat, mungkin sebaik manusia. Kepercayaan bahawa kelawar membawa pepijat dan terbelit dalam rambut manusia juga tidak benar.

Kebanyakan kelawar tidak berbahaya kepada manusia. Tetapi sesetengah kelawar mungkin menghidap rabies (penyakit anjing gila) yang boleh menjangkiti udara di dalam gua terutamanya di Amerika Utara dan Amerika Selatan. Oleh sebab itu, kelawar jangan dipegang. Kelawar berbeza-beza iaitu rupa dan saiznya, bergantung pada spesies. Kelawar yang hidup di kawasan lapang mempunyai warna dan tanda yang terang. Kelawar yang hidup di kawasan gelap, terlindung mempunyai bulu berwarna hitam, perang, kelabu, merah, atau kuning. Begitu juga muka dan kepala kelawar berbeza-beza antara pelbagai spesies. Sesetengah kelawar mempunyai kepala berbentuk seperti kepala beruang atau anjing kenit. Kelawar lain mempunyai muka yang lebih leper. Sesetengah spesies mempunyai lipatan kulit yang dinamakan noseleaf di muncungnya. Lipatan kulit ini kelihatan seperti mata lembing atau mata pisau. Kelawar mempunyai deria bau yang baik, yang membantunya mencari makanan dan tempat bertenggek.

Selain itu, kebanyakan kelawar mempunyai gigi yang kecil, tajam yang mengunyah makanan hingga menjadi cair. Kelawar mengehadkan makanan lebih cepat daripada banyak mamalia lain. Penghadaman yang cepat ini membantu kelawar mengurangkan berat badan semasa terbang. Banyak spesies kelawar memakan serangga yang terbang pada waktu malam. Kelawar menangkap serangga dengan mulutnya, membrane ekor, atau sayapnya semasa ia terbang. Banyak spesies kelawar makan serangga yang besar, kala jengking atau labah-labah di tanah. Kelawar lain menangkap serangga dari permukaan air dengan mulut atau cakarnya. Sesetengah kelawar menangkap ikan dengan cakarnya, dan beberapa spesies makan cicak, rodensia, burung kecil, katak pokok dan kelawar lain. Kelawar penghisap darah, menghisap darah haiwan lain.

Kelawar penghisap darah ialah nama beberapa jenis kelawar. Nama ini diberi terutamanya kepada kelawar tertentu di Amerika Tengah dan bahagian tropika Amerika yang menyerang kuda, lembu, unggas dan lain-lain haiwan berdarah panas, dan menghisap darah mangsanya. Gigi depan kelawar ini berbentuk segi tiga dan sangat tajam, yang memotong seperti pisau cukur. Esofogusnya pendek dan sempit dan tidak membolehkan apa pun lalu kecuali bendalir. Kadangkala kelwara penghisap darah menyerang orang yang sedang tidur. Gigitannya tidak memudaratkan dan cepat sembuh, tetapi ia mungkin membawa penyakit anjing gila. Kelawar penghisap darah pernah memusnahkan haiwan ternakan dan haiwan lain di beberapa tempat, dan pernah menjangkiti manusia. Selain daripada itu juga, beberapa jenis kelawar tropika makan hasil tumbuhan. Sesetengah spesies ini mengumpul nektar dan debunga. Kelawar mendebungakan tumbuhan semasa ia makan. Kelawar tropika yang lain makan buah-buahan dan dengan itu membantu menyebarkan biji banyak jenis tumbuhan. Kelawar ini menggugurkan biji dari mulutnya semasa ia makan di kawasan tersebut. Ia juga mungkin membawa buah yang berbiji besar ke tempat ia bertenggek dan menggugurkan bijinya di situ selepas buahnya dimakan. Biji juga mungkin digugurkan bersama najis kelawar. Biji ini jatuh ke tanah dan bercambah. Kelawar yang makan makanan yang lembab tidak perlu minum banyak. Banyak spesies kelawar menjilat air dengan lidahnya sambal ia terbang dekat permukaan kolam atau sungai. (Lihat Ensiklopedia Dunia, 10/525-530)

Memakan daging kelawar

Mengenai hal ini, Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa kelawar itu haram dimakan secara qat‘i — yakni secara putus. Al-Rafi‘i pula menyatakan, boleh jadi terdapat padanya perselisihan — yakni mengenai hukum memakannya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/22; Raudhah al-Talibin, 3/273.)

Manakala menurut pendapat ulama dalam kalangan mazhab Hanafi dan Maliki, kelawar halal dimakan tetapi pendapat yang masyhur di sisi ulama mazhab Maliki hukumnya adalah makruh. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/137)

Terdapat riwayat daripada Abdullah bin ‘Amr R.Anhuma, beliau berkata:

لَا تَقْتُلُوا الضَّفَادِعَ فَإِنَّ نَقِيقَهَا تَسْبِيحٌ , وَلَا تَقْتُلُوا الْخُفَّاشَ فَإِنَّهُ لَمَّا خَرِبَ بَيْتُ الْمَقْدِسِ قَالَ: يَا رَبِّ سَلِّطْنِي عَلَى الْبَحْرِ حَتَّى أُغْرِقَهُمْ

Maksudnya: “‏Janganlah kamu membunuh katak kerana suaranya adalah tasbih, dan janganlah kamu membunuh kelawar kerana ketika Baitul Maqdis dirobohkan, ia telah berdoa, ‘Ya Allah, berikanlah aku kekuasaan untuk mengatur lautan, sehingga aku dapat menenggelamkan mereka — yakni orang yang merobohkan Baitul Maqdis’.

Riwayat al-Baihaqi (19382)

Imam al-Baihaqi menyatakan bahawa riwayat ini adalah mauquf dan sanadnya adalah sahih. Kemudian, beliau menyebutkan, haiwan yang dilarang untuk dibunuh, haram untuk memakannya kerana sekiranya haiwan itu halal untuk dimakan, sudah tentu akan diperintah untuk menyembelihnya dan tidak dilarang daripada membunuhnya sebagaimana tidak dilarang daripada membunuh haiwan yang halal untuk disembelih dan dimakan. Selain itu, Imam al-Nawawi juga ada menukilkan daripada Imam al-Syafi‘i dan ashabnya — yakni ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i —  yang menyebutkan bahawa apa-apa haiwan yang dilarang daripada membunuhnya, hukumnya adalah haram untuk dimakan kerana jika ia adalah halal untuk dimakan, maka sudah tentu tidak akan dilarang daripada membunuhnya sebagaimana tidak dilarang untuk membunuh — yakni menyembelih — haiwan yang halal untuk dimakan. (Lihat al-Sunan al-Kubra, 9/534; al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/22)

Begitu juga, Ibn Qudamah menyebutkan dalam kitabnya bahawa hukum memakan kelawar adalah haram kerana ia termasuk dalam kategori haiwan yang dianggap kotor dan jijik. Kemudian, beliau menukilkan pendapat al-Nakha‘i yang menyatakan bahawa semua jenis burung itu adalah halal untuk dimakan melainkan kelawar kerana ia dianggap kotor dan jijik serta masyarakat Arab tidak menganggapnya baik dan juga tidak memakannya. (Lihat al-Mughni, 9/410-411)

Kesan makan kelawar dari sudut kesihatan[1]

Terdapat banyak kajian saintifik yang membuktikan bahawa haiwan liar seperti kelawar, keluang dan seumpamanya mampu menjadi punca kepada penyakit yang berbahaya buat individu yang memakannya. Antaranya Severe Acute Respiratory Syndrome (SARS) telah dijumpai terdapat pada spesies kelawar Rhinolophus Sinicus.

Begitu juga, keluang besar (Pteropus vampyrus) dan keluang kecil (Pteropus hypomelanus) disyaki sebagai pembawa utama virus Nipah. Dan virus ini disebarkan melalui perkongsian buah yang dimakan di antara kelawar yang berbeza serta hanya dapat dipindahkan kepada manusia sekiranya daging haiwan liar tersebut dimakan mentah.

Selain daripada itu, Kelawar buah daripada spesies Hypsignathus monstrosus, Epomops franqueti dan Myonycteris torquata juga dikenalpasti sebagai pembawa virus Demam Ebola Berdarah (Ebola Hemorrhagic Fever). Virus ini dipindahkan secara tidak sengaja kepada manusia sama ada melalui darah, air liur atau bahan buangan.

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa daging kelawar adalah haram untuk dimakan kerana terdapat larangan daripada membunuhnya. Selain itu juga, telah terbukti melalui banyak kajian yang dijalankan bahawa kelawar adalah antara haiwan liar yang sering dikaitkan sebagai pembawa utama virus-virus yang berbahaya seperti SARS, virus Nipah, anjing gila dan virus Demam Ebola Berdarah. Firman Allah SWT:

وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ

Maksudnya:Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke lembah kebinasaan.”

(Surah al-Baqarah: 195)

Ayat di atas bermaksud janganlah kamu menyerahkan diri kepada hal-hal yang menyebabkan kebinasaan, akan tetapi lakukanlah untuk diri kamu sebab-sebab yang boleh membawa kepada keselamatan. (Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir, hlm. 38)

Tambahan lagi, agama Islam selalu mengingatkan penganutnya agar menjauhi semua perkara yang boleh memudaratkan diri. Kaedah ada menyebutkan bahawa:

وَالْأَصْلُ فِي الْمَضَارِّ الْحُرْمَةُ

Maksudnya:Hukum asal pada setiap sesuatu yang memudaratkan adalah haram.” (Lihat Mafatih al-Ghaib, 15/381)

Selain itu, perkara ini juga adalah selaras dengan perintah Allah SWT yang menuntut kita supaya bukan sahaja perlu memilih makanan yang halal tetapi juga mesti berkualiti.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 4 Mac 2022 bersamaan 1 Syaaban 1443H

[1] Lihat Jurnal bertajuk Pengambilan Daging Haiwan Liar sebagai Makanan dan Kesan Terhadap Kelestarian Alam, oleh Jamilah Ikhsan, Norsuhana Abdul Hamid et al. hlm. 17-18. (http://www.myjurnal.my/filebank/published_article/30503/2.PDF). Telah diakses pada 30 Januari 2020.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *