Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah di sana dalil yang menunjukkan boleh bertakbir pada hari-hari tersebut dan disunatkannya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan di atas, Imam al-Bukhari menukilkan athar seperti berikut:

كَانَ عُمَرُ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ  يُكَبِّرُ فِي قُبَّتِهِ بِمِنًى فَيَسْمَعُهُ أَهْلُ المَسْجِدِ، فَيُكَبِّرُونَ وَيُكَبِّرُ أَهْلُ الأَسْوَاقِ حَتَّى تَرْتَجَّ مِنًى تَكْبِيرًا. وَكَانَ ابْنُ عُمَر رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا  يُكَبِّرُ بِمِنًى تِلْكَ الأَيَّامَ، وَخَلْفَ الصَّلَوَاتِ وَعَلَى فِرَاشِهِ وَفِي فُسْطَاطِهِ وَمَجْلِسِهِ، وَمَمْشَاهُ تِلْكَ الأَيَّامَ جَمِيعًا. وَكَانَتْ مَيْمُونَةُ رَضِيَ الله عَنْهَا تُكَبِّرُ يَوْمَ النَّحْرِ وكَانَ النِّسَاءُ يُكَبِّرْنَ خَلْفَ أَبَانَ بْنِ عُثْمَانَ، وَعُمَرَ بْنِ عَبْدِ العَزِيزِ لَيَالِيَ التَّشْرِيقِ مَعَ الرِّجَالِ فِي المَسْجِدِ.

Maksudnya: “Umar R.A bertakbir dalam khemahnya di Mina, lalu didengari oleh orang yang berada di masjid, maka mereka pun bertakbir, dan orang yang berada di pasar juga turut bertakbir sehinggalah Mina bergema dengan suara takbir. Ibn Umar R.Anhuma mengumandangkan takbir di Mina pada hari-hari tersebut, setiap kali selesai mengerjakan solat (fardhu), ketika berada di atas katilnya, di dalam khemahnya, di dalam majlisnya dan ketika dia sedang berjalan pada hari-hari tersebut. Maimunah R.Anha bertakbir pada hari raya korban. Kaum wanita bertakbir di belakang Aban bin Uthman dan Umar bin ‘Abd al-Aziz bersama kaum lelaki pada malam-malam tasyriq di dalam masjid.”

Seterusnya, beliau menukilkan hadith berikut: Daripada Muhammad bin Abu Bakar al-Thaqafi, katanya:

سَأَلْتُ أَنَسَ بْنَ مَالِكٍ وَنَحْنُ غَادِيَانِ مِنْ مِنًى إِلَى عَرَفَاتٍ عَنِ التَّلْبِيَةِ، كَيْفَ كُنْتُمْ تَصْنَعُونَ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ؟ قَالَ: كَانَ يُلَبِّي المُلَبِّي، لاَ يُنْكَرُ عَلَيْهِ، وَيُكَبِّرُ المُكَبِّرُ، فَلاَ يُنْكَرُ عَلَيْهِ.

Maksudnya: “Aku bertanya kepada Anas bin Malik – dan kami ketika itu bertolak dari Mina ke ‘Arafah – mengenai talbiah, bagaimanakah engkau melakukannya bersama Nabi SAW? Beliau menjawab: “Ada yang melafazkan talbiah, Nabi SAW tidak pula melarangnya, dan ada yang bertakbir, dan Nabi SAW tidak juga melarangnya.”

Riwayat al-Bukhari (970)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menyebut: Ayat ini merupakan inti perbincangan dalam bab ini, yang berkaitan dengan kalimat, ‘dan ketika dia berangkat ke Arafah.’ Anas menggunakan hadis ini sebagai dalil yang membenarkan bertakbir pada waktu-waktu yang disyariatkan untuk mengucapkan talbiyah. Ia juga tidak menutup kemungkinan bahawa mereka yang bertakbir juga dibenarkan untuk menambahkan lafaz-lafaz talbiyah.” (Lihat Fath al-Bari, 5/304)

Firman Allah SWT:

 وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Maksudnya: dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.

(Surah al-Baqarah: 185)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَعِنَّا عَلَى ذِكْرِكَ ، وَشُكْرِكَ ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, tolonglah kami untuk zikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu dan elok dalam beribadat kepada-Mu.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *