Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum mendirikan solat fardhu ketika azan sedang dilaungkan? Terima Kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).

(Surah al-Jumu‘ah: 9)

Azan dan iqamah termasuk dalam syiar Islam, kedua-duanya disyariatkan selepas masuknya waktu solat dan sebelum ditunaikan solat. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 1/179) Selain itu, disyaratkan untuk melaungkan azan adalah masuknya waktu kerana tujuan azan adalah untuk memberitahu orang ramai bahawa waktu solat telah masuk. Justeru, tidak sah dan tidak boleh melaungkan azan sebelum masuknya waktu solat secara ijmak — yakni sepakat ulama — kerana hal itu akan menimbulkan kecelaruan. Begitu juga ia adalah berdasarkan kepada hadith Malik bin al-Huwairith bahawa Rasulullah SAW bersabda:

فَإِذَا حَضَرَتِ الصَّلَاةُ، فَلْيُؤَذِّنْ أحَدُكُمْ، ولْيَؤُمَّكُمْ أكْبَرُكُمْ

Maksudnya:Apabila waktu solat telah tiba, maka hendaklah salah seorang di antara kamu (melaungkan) azan, dan kemudian hendaklah orang yang paling tua di antara kamu mengimami solat kamu.

Riwayat al-Bukhari (6008) dan Muslim (674)

Perkara ini juga merangkumi azan Subuh yang kedua, yang dilaungkan selepas masuknya waktu solat fardhu Subuh. Manakala azan Subuh yang pertama, yang diharuskan untuk dilaungkan pada setengah malam termasuk dalam pengecualian kerana itu merupakan azan sunnah. Hal ini kerana waktu solat Subuh masuk ketika orang ramai sedang nyenyak tidur. Ada dalam kalangan mereka yang sedang berhadas besar mahupun kecil. Oleh itu, terdapatnya keperluan bagi mengawalkan azan supaya orang ramai dapat bersedia untuk mendirikan solat fardhu Subuh. Berbeza dengan baki solat-solat fardhu yang lain kerana waktunya masuk ketika orang ramai dalam keadaan sedar — yakni terjaga daripada tidur. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 1/185)

Berbalik kepada soalan yang diajukan, seseorang yang mendirikan solat fardhu ketika azan masih lagi dilaungkan, solatnya adalah sah. Hal ini kerana di antara syarat sah solat adalah mengetahui masuknya waktu solat dan azan merupakan tanda masuknya waktu solat. Setiap solat fardhu mempunyai waktu-waktunya yang ditetapkan, dan solat mesti dilakukan dalam waktu-waktu itu. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/123)

Firman Allah SWT:

إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَّوْقُوتًا

Maksudnya:Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.”

(Surah al-Nisa’: 103)

Syeikh Ahmad Mamduh, Setiausaha Lajnah Fatwa Dar al-Ifta’ al-Misriyyah berpendapat bahawa solat yang didirikan ketika azan sedang dilaungkan adalah sah dan tidak ada apa-apa pada perkara tersebut kerana waktu solat bermula tatkala azan mula-mula dilaungkan. Namun, menunggu sehingga muazin selesai melaungkan azan adalah lebih baik dan afdhal. Lebih-lebih lagi, di sana terdapatnya perkara sunat yang mesti dipelihara iaitu sunat mengulangi lafaz azan selepas muazin melaungkannya — yakni menjawab azan — kerana padanya terdapat ganjaran dan pahala yang sangat besar.[1]

Begitu juga, Dr. Khalid al-Muslih pernah ditanya berkenaan hukum seseorang yang mendirikan solat ketika azan masih lagi dilaungkan. Beliau menjawab, azan adalah untuk memberitahu mengenai masuknya waktu solat. Justeru apabila azan dilaungkan menunjukkan bahawa waktu solat telah pun masuk. Apabila masuknya waktu solat, maka sah solat seseorang itu. Walau bagaimanapun, disunatkan baginya untuk menunggu sehingga muazin selesai melaungkan azan dan menjawab azan tersebut. Kemudian mendirikan solat sunat dua rakaat dan barulah kemudiannya menunaikan solat fardhu.[2]

Tambahan lagi, perkara ini juga adalah selari dengan keputusan yang dikeluarkan oleh Da’irah al-Ifta’ al-Urduniyyah bahawa apabila muazin melaungkan “Allahu Akbar” — yakni ketika azan — maka dia telah mengumumkan mengenai masuknya waktu solat. Jika waktu solat telah pun masuk, maka sahlah solat fardhu yang didirikan. Justeru, diharuskan bagi orang yang ingin mendirikan solat untuk mengangkat takbiratul ihram dengan segera tanpa disyaratkan perlu menunggu terlebih dahulu sehingga selesai azan dikumandangkan secara sempurna. Akan tetapi disunatkan bagi seorang Muslim untuk mendengar azan tersebut dan menjawabnya sehingga — mudah-mudahan — dia memperoleh keampunan yang dijanjikan oleh Rasulullah SAW.[3]

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa solat seseorang yang didirikan ketika azan masih lagi dikumandangkan adalah sah kerana dengan bermulanya azan itu menunjukkan bahawa waktu solat fardhu telah pun masuk dan tidak disyaratkan seseorang itu untuk menunggu sehingga selesai azan bagi mengerjakan solat.

Walau bagaimanapun, disunatkan — bahkan lebih baik dan afdhal — bagi seseorang itu untuk mendengar azan yang dilaungkan oleh muazin itu dan menjawabnya. Hal ini adalah sebagaimana hadith daripada Abdullah bin ‘Amr R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

اذَا سَمِعْتُمُ الْمُؤَذِّنَ فَقُولُوا مِثْلَ مَا يَقُولُ ثُمَّ صَلُّوا عَلَىَّ فَإِنَّهُ مَنْ صَلَّى عَلَىَّ صَلاَةً صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ بِهَا عَشْرًا ثُمَّ سَلُوا اللَّهَ لِىَ الْوَسِيلَةَ فَإِنَّهَا مَنْزِلَةٌ فِى الْجَنَّةِ لاَ تَنْبَغِى إِلاَّ لِعَبْدٍ مِنْ عِبَادِ اللَّهِ وَأَرْجُو أَنْ أَكُونَ أَنَا هُوَ فَمَنْ سَأَلَ لِىَ الْوَسِيلَةَ حَلَّتْ لَهُ الشَّفَاعَةُ

Maksudnya:Apabila kamu mendengar seruan muazin, maka jawablah sepertimana yang diucapkannya. Kemudian berselawatlah ke atasku kerana sesiapa yang berselawat ke atasku sebanyak sekali, maka Allah akan berselawat ke atasnya sebanyak sepuluh kali. Kemudian mohonlah kepada Allah wasilah untukku iaitu satu kedudukan di dalam syurga yang tidak dikurniakan kecuali kepada seorang hamba dalam kalangan hamba-hamba Allah, dan aku berharap akulah orang tersebut. Sesiapa yang memohon kepada Allah wasilah untukku pastilah dia mendapat syafaat.”

Riwayat Muslim (384)

Oleh itu, rebutlah peluang yang disediakan oleh Allah SWT buat kita semua ini iaitu dengan melakukan segala perkara sunat semasa azan dilaungkan seperti menjawab azan, berselawat dan memohon doa kepada Allah SWT. Mudah-mudahan kita memperoleh keampunan daripada Allah SWT dan ganjaran besar yang dijanjikan oleh Rasulullah SAW.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 4 Mac 2022 bersamaan 1 Syaaban 1443H

 

[1] Lihat https://www.elbalad.news/4038581. Diakses pada 1 Mac 2022.

[2] Lihat https://www.youtube.com/watch?v=yJQT8-kEcws. Diakses pada 1 Mac 2022.

[3] Lihat https://www.aliftaa.jo/Question2.aspx?QuestionId=736#.Yh5JeehBy3A. Diakses pada 1 Mac 2022.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *