Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Tunaikan Umrah Sebelum Haji, saya nak bertanya,saya sedang kumpul duit untuk ke haji, namun apabila saya memikirkan waktu yang lama dan juga kos haji yang agak tinggi, boleh ke jika saya niat kumpul duit untuk menunaikan umrah dahulu?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

firman Allah SWT:

وَلِلَّـهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا

Maksudnya: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepada-Nya.”

 (Surah ali-Imran: 97)

Lafaz ‘الاسْتِطَاعَةُ’ yakni berkemampuan, yang dimaksudkan pada firman Allah SWT di atas bukanlah pada kekuatan jasmani semata-mata. Ini kerana jika yang dikehendaki oleh Allah SWT dengannya ialah kekuatan jasmani, maka ianya tidak perlu disebutkan kerana telah diketahui bahawa Allah SWT tidak pernah membebankan seseorang melainkan dia mampu untuk menggalasnya. (Lihat Al-Muhalla, 7/54; Subul al-Salam, 2/180)

Imam Ibn Kathir  berkata: “Adapun الاسْتِطَاعَةُ (kemampuan) adalah kemampuan seseorang dari sudut (dia mengerjakan haji) untuk dirinya dan orang lain.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/364)

Dan diriwayatkan hadith daripada Umar R.A, bahawa seorang lelaki bertemu Rasulullah SAW seraya berkata:

يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا يُوجِبُ الْحَجَّ قَالَ: الزَّادُ وَالرَّاحِلَةُ

Maksudnya: “Wahai Rasulullah! Apakah antara sebab yang mewajibkan haji? Baginda bersabda: Ada bekalan dan kenderaan.”

Riwayat al-Tirmizi (813) Ibn Majah (2896)

Dapat difahami melalui hadith di atas, bahawa kadar kemampuan yang mewajibkan seseorang tersebut untuk mengerjakan haji adalah apabila dia mempunyai bekalan makanan dan juga kenderaan untuk pergi dan pulang. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 3/457)

Maksud berkemampuan dengan sendirinya ialah:

  • Mampu mengadakan bekalan dan perbelanjaan untuk diri dan saraan nafkah mereka yang di dalam tanggungan dan yang ditinggalkan.
  • Mampu mendapatkan kenderaan pergi dan balik.
  • Aman perjalanan bagi diri dan harta daripada musuh dan wabak penyakit.
  • Sihat tubuh badan.
  • Berkesempatan masa untuk mengerjakan haji dan umrah.

(Lihat al-Idhah fi Manasik al-Haj, 1/96; al-Fiqh al-Manhaji, 2/123)

Manakala berkemampuan dengan pertolongan orang lain bermaksud seseorang itu telah cukup semua syarat untuk mengerjakan ibadah haji tetapi dia uzur kerana sakit dan tiada harapan sembuh atau terlalu tua dan orang yang telah meninggal dunia dan mampu mengerjakan haji semasa hayatnya. Maka mereka boleh mewakilkan kepada orang lain untuk menunaikan fardhu haji bagi pihak dirinya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/124)

Imam al-Nawawi menyebut: Istita’ah (kemampuan) terbahagi kepada dua jenis iaitu Istita’ah secara langsung dengan dirinya, dan istita’ah yang terhasil daripada orang lain. istita’ah yang terhasil daripada orang lain ialah seseorang yang tidak mampu daripada melakukan haji dengan dirinya sendiri dengan sebab kematian, kecacatan, atau sakit yang tidak ada harapan sembuh atau yang amat tua sehingga tidak mampu tetap atas tunggangan atau kenderaan kecuali dalam keadaan yang sukar. Orang yang tidak mampu seperti ini yang masih hidup dinamakan dengan ma’dhub (معضوب). Harus bagi waris dan orang asing melakukan haji untuknya, sama ada dia meninggalkan wasiat atau tidak. Manakala golongan yang ma’dhub, maka tidak sah haji yang diwakilkan untuknya tanpa mendapat keizinan daripadanya. Diwajibkan baginya untuk mewakilkan haji bagi pihaknya sekiranya dia mempunyai harta dan kewangan yang boleh mengupah sesiapa yang melakukan haji bagi pihaknya. Ini pun jika sekiranya hartanya itu mempunyai lebihan daripada keperluan yang khusus pada tempoh hari yang diupahnya secara khas, sama ada dia mengupah penunggang atau berjalan kaki dengan syarat dia redha dengan upah semasa.” (Lihat al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-Umrah, hlm. 100-102)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan haji itu hukumnya wajib bagi yang mampu dan umrah itu hukumnya adalah sunat pada satu pendapat. Memandangkan faktor kos-kos untuk menunaikan haji itu agak mahal berbanding tahun-tahun yang sebelumnya, maka tidak menjadi masalah untuk anda menukar niat untuk menabung bagi tujuan umrah dahulu.

Namun, kami berpandangan adalah lebih jika anda membuat tabungan khusus yakni disamping anda menabung untuk menunaikan umrah, anda juga boleh menyimpan dengan jumlah sedikit di satu lagi tabung untuk tujuan haji kelak. Secara tidak langsung, anda dapat menggerakkan kedua-dua tabung untuk tujuan ibadat. Bak kata pepatah:” Sikit-sikit lama-lama jadi bukit.

Akhir kalam, semoga Allah melimpahkan rezeki anda dan mempermudahkan niat anda yang baik itu untuk menunaikan ibadat umrah dan haji kelak.

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *