Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hukum solat jemaah tetapi saf tidak rapat? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan ini, secara umumnya,  terdapat dua pendapat utama yang disebutkan oleh para fuqaha’ yang kami ringkaskan seperti berikut:

Pendapat Pertama: Merapatkan saf adalah wajib. Ini merupakan pendapat ulama Hanabilah dalam satu riwayat, zahir pendapat yang dipilih oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah, pendapat Ibn Hazm, begitu juga Imam al-Bukhari sebagaimana difahami daripada penamaan bab dalam kitab sahihnya bahawa meluruskan dan menyamakan saf adalah diwajibkan. (Lihat al-Insaf, 2/39; al-Fatawa al-Kubra, 5/331-332; al-Muhalla, 1/378; Sahih al-Bukhari, 1/254).

Selain daripada itu, Syeikh Abdullah bin Hamid memilih pendapat bahawa wajib menyamakan atau meluruskan saf solat. Dalam syarahan beliau terhadap teks dalam al-Raudh al-Murbi‘ menyatakan: Ulama Hanabilah berpendapat: Disunatkan untuk menyamakan atau meluruskan saf. Namun, pendapat yang kuat (rajih) adalah wajib untuk meluruskan dan menyamakan saf. Inilah juga pendapat yang dipilih oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah. Hal ini kerana hadith-hadith mengenai perkara ini banyak, bahkan terdapat ancaman daripada Allah bagi sesiapa yang meninggalkannya. Sebagaimana halnya juga terdapat banyak hadith yang menunjukkan kepada kewajipan untuk meluruskan atau menyamakan saf.  (Lihat Ikhtiyarat al-Syeikh Abdullah bin Hamid wa Ara’uhu al-Fiqhiyyah, 1/354).

Pendapat ini terbina berdasarkan beberapa riwayat yang sahih daripada Rasulullah SAW. Antaranya ialah hadith yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

سَوُّوا صُفُوفَكُمْ فَإِنَّ تَسْوِيَةَ الصَّفِّ مِنْ تَمَامِ الصَّلاَةِ

Maksudnya: “Luruskanlah saf kamu kerana sesungguhnya meluruskan saf itu merupakan sebahagian daripada kesempurnaan solat.”

Riwayat Muslim (433)

Nas ini menunjukkan, pada asalnya melurus dan menyamakan saf termasuk dalam kesempurnaan solat. Hukum wajib dikeluarkan kerana terdapatnya fi‘l al-amr (kata suruhan/perintah) pada kalimah سَوُّوا dan secara asasnya kata perintah membawa kepada hukum wajib.

Begitu juga berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَقِيمُوا صُفُوفَكُمْ وَتَرَاصُّوا فَإِنِّي أَرَاكُمْ مِنْ وَرَاءِ ظَهْرِي

Maksudnya: “Lurus dan rapatkanlah saf kamu, kerana sesungguhnya aku dapat melihat kamu di belakangku.”

Riwayat al-Bukhari (719)

Lafaz “تَرَاصُّوا” bermaksud hendaklah kamu saling merapatkan tanpa ada sebarang celah. (Lihat Fath al-Bari, 2/208)

Demikian juga berdasarkan ancaman yang keras terhadap perbuatan tidak meluruskan saf seperti yang disebutkan di dalam hadith yang diriwayatkan daripada al-Nu‘man bin al-Basyir R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَتُسَوُّنَّ صُفُوفَكُمْ أَوْ لَيُخَالِفَنَّ اللَّهُ بَيْنَ وُجُوهِكُمْ

Maksudnya: “Hendaklah kamu meluruskan saf kamu atau (sekiranya tidak) Allah akan memalingkan wajah kamu.”

Riwayat al-Bukhari (717)

Berdasarkan beberapa riwayat di atas, sebahagian ulama berpendapat bahawa perbuatan tidak merapatkan saf semasa solat berjemaah adalah haram hukumnya serta menyebabkan pelakunya mendapat dosa. Meskipun begitu, para ulama yang berpegang dengan pendapat ini menyatakan, meskipun tidak merapatkan saf merupakan perbuatan haram yang berdosa, solat mereka yang melakukannya adalah sah dan tidak perlu diulangi.

Ini seperti yang disebut oleh Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani:

وَمَعَ الْقَوْلِ بِأَنَّ التَّسْوِيَةَ وَاجِبَةٌ فَصَلَاةُ مَنْ خَالَفَ وَلَمْ يُسَوِّ صَحِيحَةٌ لِاخْتِلَافِ الْجِهَتَيْنِ

Maksudnya: “Sekalipun pendapat yang menyatakan bahawa meluruskan saf itu wajib, solat mereka yang menyelisihinya dan tidak meluruskan saf tetap sahih kerana ia merupakan dua sudut yang berbeza.” (Lihat Fath al-Bari, 2/210)

Ini dikuatkan lagi dengan sebuah riwayat daripada Anas bin Malik, bahawa beliau ditanyakan oleh penduduk Madinah, sama ada beliau mendapati ada perkara yang telah berubah semenjak zaman Nabi SAW sehingga hari tersebut. Lalu Anas berkata:

مَا أَنْكَرْتُ شَيْئًا إِلاَّ أَنَّكُمْ لاَ تُقِيمُونَ الصُّفُوفَ

Maksudnya: “Aku tidak mengingkari suatu apa pun melainkan kamu tidak meluruskan saf.”

Riwayat al-Bukhari (724)

Dalam hadith di atas menunjukkan bahawa Anas R.A mengingkari mereka tidak meluruskan atau menyamakan saf ketika solat. Sesuatu yang harus hukumnya tidak akan diingkari. Jadi, ini menunjukkan bahawa menyamakan dan meluruskan saf adalah wajib. (Lihat al-Muhalla, 1/379).

Sekalipun begitu, difahami daripada riwayat di atas bahawa Anas tidak menyuruh mereka mengqadha’kan solat dan sekiranya ia membatalkan solat, nescaya beliau akan mengarahkan mereka untuk mengqadha’nya.

Pendapat Kedua: Merapatkan saf adalah sunat muakkad. Ini adalah pendapat  jumhur ulama dalam kalangan Hanafiyyah, Malikiyyah, Syafi‘iyyah dan Hanabilah berpendapat bahawa menyamakan atau meluruskan saf adalah disunatkan dan bukannya wajib. (Lihat Tabyin al-Haqa’iq, 1/136; Durar al-Hukkam, 1/90; Mawahib al-Jalil, 1/468; al-Fawakih al-Dawani, 1/211; Asna al-Matalib, 1/228; Tuhfah al-Muhtaj, 2/311; al-Minhaj al-Qawim, hlm. 164; al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/301; al-Mughni, 1/275; al-Insaf, 2/39).

Mereka turut berhujah berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

سَوُّوا صُفُوفَكُمْ فَإِنَّ تَسْوِيَةَ الصَّفِّ مِنْ تَمَامِ الصَّلاَةِ

Maksudnya: “Luruskanlah saf kamu kerana sesungguhnya meluruskan saf itu merupakan sebahagian daripada kesempurnaan solat.”

Riwayat Muslim (433)

Dalam hadith di atas, lafaz “مِنْ تَمامِ الصَّلاةِ” difahami daripadanya sebagai sunat kerana kesempurnaan sesuatu perkara dari segi uruf adalah sesuatu yang di luar daripada hakikatnya yang mana tidak tercapai melainkan dengannya (hakikat solat itu), meskipun secara praktikalnya hakikat solat itu tidak dapat tercapai melainkan dengannya (meluruskan saf). (Lihat Ihkam al-Ahkam Syarh ‘Umdah al-Ahkam, 1/217).

Begitu juga hadith Abu Hurairah R.A, daripada Nabi SAW bahawa Baginda bersabda:

إِنَّمَا جُعِلَ الإِمَامُ لِيُؤْتَمَّ بِهِ، فَلاَ تَخْتَلِفُوا عَلَيْهِ، فَإِذَا رَكَعَ، فَارْكَعُوا، وَإِذَا قَالَ: سَمِعَ اللهُ لِمَنْ حَمِدَهُ، فَقُولُوا: رَبَّنَا لَكَ الحَمْدُ، وَإِذَا سَجَدَ فَاسْجُدُوا، وَإِذَا صَلَّى جَالِسًا، فَصَلُّوا جُلُوسًا أَجْمَعُونَ، وَأَقِيمُوا الصَّفَّ فِي الصَّلاَةِ، فَإِنَّ إِقَامَةَ الصَّفِّ مِنْ حُسْنِ الصَّلاَةِ

Maksudnya: “Dijadikan imam itu untuk diikuti, maka janganlah kamu berbeza dengannya. Apabila dia rukuk, hendaklah kamu rukuk, apabila dia membaca ‘سَمِعَ اللهُ لِمَنْ حَمِدَهُ’, hendaklah kamu membaca ‘رَبَّنَا لَكَ الحَمْدُ’. Apabila dia sujud, sujudlah kamu. Jika imam solat sambil duduk, solatlah kamu sambil duduk (hukum ini telah dimansuhkan). Luruskanlah saf ketika solat kerana sesungguhnya membetulkan saf merupakan sebahagian daripada keelokan (kesempurnaan) solat.

Riwayat al-Bukhari (722) dan Muslim (435) dengan sedikit perbezaan lafaz.

Dalam hadith di atas menunjukkan bahawa menyamakan saf adalah sunat. Kalaulah meluruskan atau menyamakan saf solat itu adalah wajib, maka ia tidak dijadikan termasuk dalam keelokan solat “حُسْنِ الصَّلاَةِ” kerana keelokan sesuatu itu adalah tambahan kepada kesempurnaannya dan tambahan itu pula adalah ke atas kewajipannya. (Lihat Tarh al-Tathrib, 2/325).

Oleh yang demikian, jelaslah bahawa meluruskan dan merapatkan saf tidak termasuk dalam kategori syarat sah solat mahupun rukunnya.

Sekalipun mereka berpendapat bahawa menyempurnakan saf dengan merapatkan dan meluruskannya adalah sunat, namun menyelisihinya adalah makruh. Ini jelas dapat dilihat melalui kenyataan Imam al-Suyuti yang menyebutkan:

سُئِلْتُ عَنْ عَدَمِ إتْمَامِ الصُّفُوفِ والشُّرُوْعِ فِي صَفَّ قَبْلَ إتْمَامِ صَفٍّ فَأَجَبْتُ بِأَنَّهُ مَكْرُوهٌ لَا تَحْصُلُ بِهِ فَضِيْلَةُ الْجَمَاعَةِ

Maksudnya: “Aku ditanya berkenaan (hukum) tidak menyempurnakan saf serta (hukum) memulakan saf (yang baharu) sebelum sempurnanya saf (yang di hadapan). Lalu aku menjawab dengan menyebutkan bahawa (hukumnya adalah) makruh, serta tidak mendapatkan fadhilat (solat) berjemaah.” (Lihat Bast al-Kaff fi Itmam al-Saff, hlm. 9)

Begitu juga Imam al-Khatib al-Syirbini turut menjelaskan bahawa sekiranya seseorang tidak merapatkan saf, maka solat yang dilakukannya tetap dikira sah. Ini jelas melalui kenyataannya bahawa:

يُسَنُّ سَدُّ فُرَجِ الصُّفُوْفِ، وَأَن لَا يُشْرَعْ فِي صَفِّ حَتَّى يَتِمَّ الأَوَّلُ، وَأَن يُفْسَحَ لِمَن يُريِدُهُ، وَهَذَا كُلُّهُ مُسْتَحَبٌّ لَا شَرْطٌ؛ فَلَوْ خَالَفُوا صَحَّتْ صَلَاتُهُم مَعَ الكَرَاهَةِ

Maksudnya: “Disunatkan menutup ruang-ruang kosong pada saf. (Serta disunatkan) untuk tidak dimulakan saf yang baharu sehinggalah saf yang pertama telah penuh terlebih dahulu. (Juga disunatkan) untuk dibuka saf bagi sesiapa yang mengkehendakinya. Kesemuanya ini adalah mustahab (sunat) dan bukan suatu syarat. Sekiranya mereka (para jemaah) menyelisihinya, maka solat mereka tetap sah tetapi makruh.”  (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/ 493).

Kesimpulannya

Oleh itu, berbalik kepada soalan di atas, kami berpendapat bahawa solat jemaah yang didirikan dalam keadaan saf tidak rapat adalah tetap sah tetapi makruh. Ini kerana meluruskan dan merapatkan saf adalah disunatkan dan bukannya wajib sebagaimana pendapat jumhur ulama, di samping ia juga bukanlah termasuk dalam syarat sah solat mahupun rukunnya.

Sekalipun begitu, perbuatan meninggalkan daripada merapatkan dan meluruskan saf adalah makruh tanpa sebarang sebab yang diizinkan syarak kerana dia telah terlepas daripada mendapatkan fadhilat berjemaah. Apatah lagi, kesempurnaan saf termasuk dalam perkara yang dititikberatkan oleh Rasulullah SAW kerana ia berhubung kait dengan rahmat di antara hamba dan Penciptanya serta di situ juga lahirnya kesatuan hati antara kaum Muslimin.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *