Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan, apa makna Qirat dalam solat jenazah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

كُلُّ نَفۡس ذَآئِقَةُ ٱلۡمَوۡتِ

Maksudnya: “Tiap-tiap yang bernyawa pasti akan merasai mati.

(Surah Ali ‘Imran: 185)

Syeikh al-Maraghi dalam tafsirnya menafsirkan bahawa bagi setiap yang bernyawa itu pasti akan mengalami saat perpisahan dengan jasadnya. Walaupun badannya mati, namun jiwa tidak akan mati. Hal ini kerana mampu merasakan sesuatu adalah yang hidup sedangkan bagi yang telah mati, tidak akan mampu merasakan sesuatu. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/861).

Kami kemukakan terlebih dahulu hadith yang berkaitan persoalan di atas. Daripada Abu Hurairah R.A, katanya bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ شَهِدَ الجَنَازَةَ حَتَّى يُصَلِّيَ عَلَيْهُ، فَلَهُ قِيرَاطٌ، وَمَنْ شَهِدَ حَتَّى تُدْفَنَ كَانَ لَهُ قِيرَاطَانِ»، قِيلَ: وَمَا القِيرَاطَانِ؟ قَالَ: «مِثْلُ الجَبَلَيْنِ العَظِيمَيْنِ».

Maksudnya: “Barang siapa yang menghadiri solat jenazah sehingga ia disolatkan keatasnya, maka baginya satu qirat. Barang siapa yang mengiringi jenazah sehingga ia dikebumikan, maka baginya dua qirat. Ditanya kepada Baginda SAW: “Apakah yang dimaksudkan dengan dua qirat. Baginda SAW menjawab: “Seperti dua gunung yang besar.”

Riwayat al-Bukhari (1325)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menjelaskan:

Secara zahirnya, riwayat-riwayat ini memberi petunjuk bahawa “qirat” hanya diperoleh oleh mereka yang telah hadir sejak awal penyelenggaraan jenazah hingga selesai solat. Pandangan seperti inilah yang dinyatakan secara tegas oleh al-Muhib al-Tabari serta ulama selain beliau. Menurutku, bahawa “qirat” diperoleh juga oleh mereka yang sempat solat meskipun tidak hadir sejak awal pengurusan jenazah, sebab semua pekerjaan sebelum solat hanya sebagai wasilah (perkara untuk menyampaikan) menuju pelaksanaan solat. Akan tetapi, “qirat” mereka yang hanya solat tentu tidak sebanding dengan “qirat” orang yang telah hadir sejak awal lalu ikut mensolatkannya.

Adapun riwayat Imam Muslim daripada Abu Soleh, daripada Abu Hurairah, disebutkan dengan lafaz ‘أَصْغَرهمَا مِثْل أُحُد’ (Ukuran paling kecil kedua qirat itu adalah seperti bukit Uhud), memberi andaian bahawa ukuran qirat-qirat tersebut tidak sama.

Mengenai ungkapan ‘مِثْلُ الجَبَلَيْنِ العَظِيمَيْنِ’ (“Seperti dua gunung yang besar.”) Dalam riwayat Ibn Sirin serta selainnya disebutkan ‘مِثْل أُحُد’ (Seperti bukit Uhud). Dalam riwayat Al Walid bin Abdurrahman yang dikutip oleh Ibnu Abi Syaibah disebutkan ‘الْقِيرَاط مِثْل جَبَل أُحُد’ (Satu qirat sama seperti bukit Uhud). Demikian juga yang tercantum dalam hadis Thauban yang diriwayatkan Imam Muslim, dan hadits al-Bara’ yang diriwayatkan al-Nasa’i, serta hadits Abu Sa’id yang diriwayatkan Imam Ahmad. Dalam riwayat al-Nasa’i yang diriwayatkan melalui jalur al-Sya’bi disebutkan, ‘فَلَهُ قِيرَاطَانِ مِنْ الْأَجْر كُلّ وَاحِد مِنْهُمَا أَعْظَم مِنْ أُحُد’ (Maka baginya dua qirat pahala, setiap satu qirat lebih besar dari bukit Uhud). Dalam riwayat Abu Soleh yang dinukil Imam Muslim disebutkan, ‘أَصْغَرهمَا مِثْل أُحُد’ (Yang paling kecil dari keduanya sama seperti bukit Uhud). Sedangkan dalam riwayat Ubay bin Ka’ab yang disebutkan oleh Ibn Majah dikatakan, ‘الْقِيرَاط أَعْظَم مِنْ أُحُد هَذَا’ (Satu qirath lebih besar dari bukit Uhud ini), seakan-akan beliau menunjuk ke bukit Uhud ketika menceritakan hadis ini.

Dalam hadits Watsilah yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Adi, disebutkan, ‘كُتِبَ لَهُ قِيرَاطَانِ مِنْ أَجْر أَخَفّهمَا فِي مِيزَانه يَوْم الْقِيَامَة أَثْقَل مِنْ جَبَل أُحُد’ (Dituliskan untuknya dua qirat pahala, yang paling ringan di antara keduanya dalam timbangan pada hari kiamat adalah lebih berat dari bukit Uhud). Riwayat ini memberi keterangan akan makna perumpamaan dengan bukit Uhud, dan bahawasanya yang dimaksud dengannya adalah timbangan pahala yang diperoleh kerana perbuatan tersebut.

Seterusnya al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menyebut beberapa pengajaran yang dapat diambil daripada hadith ini, antaranya:

  • Anjuran untuk beramai-ramai dalam mengurus jenazah.
  • Besarnya kurniaan Allah SWT serta kemuliaan dari-Nya atas seorang muslim, di mana Allah SWT memperbanyak pahala kepada orang yang mengurus seorang muslim yang telah meninggal dunia.
  • Penetapan kadar amalan dengan timbangan, sama ada untuk menyederhanakannya supaya mudah difahami atau boleh juga sebagaimana hakikatnya. (Lihat Fath al-Bari, 4/384)

Selain itu, menurut Syeikh Abdullah al-Bassam, hadith ini turut mengandungi kelebihan dan fadhilat ke atas orang yang hadir menyaksikan dan mendirikan solat jenazah, mengiringinya, membawanya dan mengebumikannya di tanah perkuburannya; sebagai suatu bentuk pengakuan kepada janji Allah dan mengharapkan ganjaran-Nya. Tidak ada yang menghalang niat untuk menunaikan hak seorang Muslim dan menghiburkan ahli keluarganya, semua ini adalah termasuk dalam amalan soleh.

Begitu juga mereka yang mendirikan solat jenazah hingga proses pengebumiannya dan langsung tidak meninggalkannya (sehinggalah selesai), baginya ganjaran atau pahala setara dengan dua qirat. Satu qirat setara dengan gunung yang besar  dan dalam riwayat yang lain, ia diumpamakan sebagai sebuah gunung Uhud. Namun, bagi mereka yang hanya menunaikan solat jenazah tetapi tidak mengiringi jenazah itu hingga ke kubur, separuh daripada ganjaran besar ini sudah lenyap atau tergugur daripadanya.

Di samping itu, hadith ini juga mengandungi anjuran syarak untuk menghadiri proses pengebumian jenazah kerana terdapatnya manfaat besar hal itu. Ini termasuklah memenuhi hak orang yang meninggal dunia dengan berdoa buatnya, melakukan solat jenazah ke atasnya, memenuhi atau menunaikan hak ahli keluarganya dengan menenangkan dan menghiburkan mereka atas musibah kematian yang menimpa mereka, mendapat ganjaran dan pahala untuk mereka yang mengiringi jenazah, serta mendapat pengajaran di samping mengambil iktibar dengan melihat kematian dan kubur-kubur, dan lain-lain perkara daripada hukum yang Allah telah tetapkan dalam syariat-Nya.

Sebahagian ulama menyebutkan, mengikuti proses pengebumian jenazah dapat dibahagikan kepada tiga peringkat/tahap:

Peringkat pertama: Mendirikan solat jenazah ke atasnya.

Peringkat kedua: Mengiringi jenazah sehingga ke kuburnya, kemudian menunggu sehingga dia dikebumikan.

Peringkat ketiga:  Menunggu selepas dia dikebumikan di kubur, lalu mendoakan ke atas mayat itu dengan keampunan dan rahmat. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/218-219).

Seterusnya, dinukilkan daripada al-‘Aini bahawa ukuran qirat adalah berbeza-beza mengikut negara. Syeikh Abdullah al-Bassam menyebutkan, ukuran qirat sekarang mengikuti mahkamah Arab Saudi dan ulama di sana bahawa ia adalah satu juzuk (bahagian) daripada 24 bahagian. Adapun kadar dan nilaiannya di sisi Allah SWT, maka Dialah yang lebih mengetahui akan hal tersebut. Akan tetapi Dia telah mendekatkan buat kita (bandingannya) di mana setiap qirat itu seperti bukit Uhud. Kemudian, al-‘Aini juga ada menyatakan, dikhususkan dengan menyebutkan ukuran “qirat” kerana itulah ukuran yang kebiasaannya digunakan dalam muamalat mereka. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/217).

Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا وَمَيِّتِنَا وَشَاهِدِنَا وَغَائِبِنَا وَصَغِيرِنَا وَكَبِيرِنَا وَذَكَرِنَا وَأُنْثَانَا اَللَّهُمَّ مَنْ أَحْيَيْتَهُ مِنَّا فَأَحْيِهِ عَلَى اَلْإِسْلَامِ وَمَنْ تَوَفَّيْتَهُ مِنَّا فَتَوَفَّهُ عَلَى اَلْإِيمَانِ اَللَّهُمَّ لَا تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلَا تُضِلَّنَا بَعْدَهُ

Maksudnya: “Ya Allah, ampuni orang yang hidup di antara kami, orang yang meninggal dunia di antara kami, orang yang ada di kalangan kami dan orang yang tiada, yang kecil di kalangan kami dan yang tua, serta yang lelaki di kalangan kami dan yang perempuan. Ya Allah, orang-orang yang telah Engkau hidupkan di antara kami, maka hidupkanlah dia dalam Islam dan orang-orang yang telah Engkau matikan di antara kami, matikanlah dia dalam iman. Ya Allah, janganlah Engkau halang kami dari pahalanya dan janganlah Engkau sesatkan kami selepasnya.”

Leave a Reply