Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada soalan mengenai kena solat taubat sebelum majlis akad nikah. Saya ada dengar satu video di Tiktok yang mana video tersebut mengatakan sebelum kita melaksanakan upacara Akad nikah, pasangan mesti melalukan solat sunat taubat terlebih dahulu kerana mungkin sebelum ini kita sering melakukan dosa-dosa sewaktu bercinta dahulu. Adakah akad kita itu sah ? Dan boleh ke solat sunat taubat itu dilakukan selepas selesai majlis Akad nikah tersebut. Jadi, bolehkah Dato’ Seri beri pencerahan.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَأَنَّهُ خَلَقَ الزَّوْجَيْنِ الذَّكَرَ وَالْأُنثَىٰ

Maksudnya: “Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang menciptakan pasangan – lelaki dan perempuan.”

(Surah al-Najm: 45)

Yakni Allah SWT menciptakan setiap daripada makhluk itu termasuklah haiwan, berpasang-pasangan yang terdiri daripada lelaki dan perempuan, atau jantan dan betina. (Lihat Ruh al-Ma‘ani, 14/68).

Kita sendiri dapat melihat bagaimana sebaik-baik manusia, yakni para rasul dan anbiya’ juga turut mengahwini wanita-wanita dan tidak mengamalkan hidup membujang. Hal ini secara jelas mengangkat martabat perkahwinan itu sendiri sebagai sunnah para rasul dan nabi terdahulu. Ini dirakamkan oleh Allah SWT di dalam firman-Nya:

وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا رُسُلًا مِّن قَبْلِكَ وَجَعَلْنَا لَهُمْ أَزْوَاجًا وَذُرِّيَّةً ۚ

Maksudnya: “Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul sebelum kamu, dan Kami jadikan untuk mereka isteri-isteri dan zuriat keturunan.

(Surah al-Ra‘d: 38)

Secara ringkasnya, kami nyatakan terlebih dahulu berkenaan dalil solat taubat.

Terdapat beberapa dalil yang menunjukkan berkenaan Solat Taubat, antaranya:

Dalil Pertama: Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Bakr al-Siddiq R.A, katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

مَا مِنْ عَبْدٍ يُذْنِبُ ذَنْبًا فَيُحْسِنُ الطُّهُورَ ثُمَّ يَقُومُ فَيُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ ثُمَّ يَسْتَغْفِرُ اللَّهَ إِلاَّ غَفَرَ اللَّهُ لَهُ ‏ثُمَّ قَرَأَ هَذِهِ الآيَةَ ‏‏ وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ ‏ إِلَى آخِرِ الآيَةِ

Maksudnya: Tidak ada seorang hamba yang melakukan satu dosa, lalu dia memperelokkan dalam bersuci dan dia kemudiannya bangun lalu mengerjakan solat dua rakaat dan memohon keampunan kepada Allah melainkan Allah akan mengampunkan dosanya. Kemudian dia membaca ayat ini:

‏ وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ

Maksudnya: Dan mereka yang apabila melakukan satu dosa atau menzalimi diri mereka kemudian mereka mengingati Allah. [Surah Ali Imran: 135]

Riwayat Abu Daud (1521), al-Nasaie (417), Ibn Majah (1395) al-Baihaqi (7078) dan al-Tirmizi (406). Al-Tirmizi berkata: Hadis hasan gharib.

Nas ini menjadi dalil tentang wujudnya solat taubat. Inilah juga pendapat Sayyid Sabiq dalam Fiqh al-Sunnah (1/211).

Berdasarkan hadis di atas, baginda Nabi SAW memberikan suatu cara untuk seseorang yang telah melakukan dosa itu membersihkan diri mereka dari perbuatan tersebut. Iaitu dengan cara mengambil wuduk dengan sempurna, kemudian menunaikan solat dua rakaat dan dituruti dengan istighfar kepada Allah SWT.

Syeikh Mulla ‘Ali al-Qari menjelaskan: Yang dimaksudkan dengan beristighfar di dalam hadis ini adalah taubat yang berterusan dan berhenti dari melakukan maksiat tersebut seerta berazam untuk tidak kembali melakukannya buat selamanya. (Lihat Mirqat al-Mafatih, 3/988)

Ibn al-Jauzi dalam tafsirnya berkata: “Terdapat dua pendapat tentang maksud ‘mereka mengingati Allah’, iaitu:

Pertama: Zikir Lisan, iaitu istighfar sepertimana pendapat Ibn Mas’ud dan Ata’.

Kedua: Zikir Hati, di mana maksudnya mengandungi lima pendapat:

  • Zikir ketika datang kepada Allah, seperti pendapat al-Dahhak.
  • Zikir bertanya dan memohon kepada-Nya hari kiamat. Inilah pendapat al-Waqidi.
  • Zikir mengingat balasan azab Allah yang dikenakan ke atas mereka, seperti kata Ibn Jarir.
  • Zikir tentang larangan Allah terhadap mereka.
  • Zikir keampunan Allah. Kedua-dua pendapat akhir ini adalah pendapat Abu Sulaiman al-Dimasyqi. (Lihat Ensiklopedia Solat Sunat, 371-372)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan solat taubat bukanlah termasuk dalam rukun-rukun nikah. Hukum melaksanakan solat taubat adalah sunat sahaja. Rukun-rukun nikah itu ada lima yakni adanya bakal suami, bakal isteri, wali, dua orang saksi dan lafaz (ijab dan qabul). Selama mana rukun-rukun dan syarat-syarat nikah dipenuhi maka pernikahan tersebut adalah dianggap sah. Justeru, solat sunat taubat itu boleh dilakukan sebelum atau selepas majlis kerana ia tidaklah termasuk dalam rukun nikah. Bahkan, sebelum akad nikah juga, lazimnya kadhi akan menyuruh kedua-dua pasangan beristighar, selawat dan  seumpamanya.

Begitu juga dalam soal Solat Sunat Nikah. Waktu yang terbaik boleh dilakukan solat sunat nikah berjemaah bersama isteri ialah ketika isteri datang menemui suami. Riwayat daripada Abu Sa’id, ada menyebutkan bahawa sahabat lain mengajarnya mengenai solat sunat nikah ini, katanya: “Jika isterimu nanti datang menemuimu, hendaklah kamu berdua solat dua rakaat. Lalu mintalah kepada Allah kebaikan isterimu itu dan mintalah perlindungan kepadaNya daripada keburukannya. Seterusnya terserah kamu berdua.” Walaupun solat ini dinamakan Solat Sunat Nikah, ia tidaklah semestinya dilakukan sebaik sahaja selepas akad nikah. Solat ini boleh dilakukan pada bila-bila masa yang dirasakan sesuai oleh suami dan isteri kerana tiada penetapan waktu yang khusus. Berdasarkan athar di atas, secara umumnya adalah ketika suami datang bertemu dengan si isteri.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّار

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

(Surah al-Baqarah: 201)

Wallahu a’lam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *