Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Saya ada kemusykilan berkaitan fatwa menjadi pemandu e-hailing. Saya sedia maklum untuk menghantar mereka ke kelab malam adalah haram kerana menolong mereka ke arah maksiat. Akan tetapi bagaimana pula dengan menghantar mereka pulang ke rumah dari kelab malam. Secara zahirnya saya tidak mendekatkan mereka ke arah maksiat. Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, Islam menuntut penganutnya agar sentiasa mencari rezeki yang halal lagi baik dalam memenuhi keperluan seharian. Hal ini bertetapan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا

Maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik.”

(Surah al-Baqarah: 168)

Syeikh al-Sa‘di mengulas ayat ini dengan mengatakan bahawa ia ditujukan kepada seluruh manusia sama ada orang-orang beriman ataupun kafir, supaya memakan apa yang ada di atas muka bumi ini, yang terdiri daripada biji-bijian, buah-buahan dan binatang-binatang yang telah dihalalkan buat mereka (makan dan ambil manfaat daripadanya), bukan dengan cara merampasnya, mencuri, melalui hasil muamalat (jual beli) yang diharamkan atau perkara-perkara yang diharamkan.  Manakala ‘tayyiban’ pula adalah bukan daripada perkara yang buruk seperti bangkai, darah, daging babi dan lain-lain. Ayat ini merupakan dalil bahawa hukum asal bagi sesuatu perkara itu (untuk dimakan dan diambil manfaatnya) adalah harus. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/80).

Dalam aspek muamalat, prinsip asasnya adalah keharusan untuk bermuamalah selagi mana tidak ada dalil yang melarang atau menyatakan sebaliknya. Hal ini bertepatan dengan kaedah fiqh yang menyebut:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya:Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60)

Pekerjaan adalah termasuk dalam ruang lingkup muamalat. Oleh itu, hukum asal bagi sesuatu pekerjaan adalah harus selagimana tidak ada dalil yang melarang atau menyatakan sebaliknya. Keharusan itu pula skopnya amat luas, sedangkan keharamannya pula hanya terhad kepada perkara yang sememangnya ditegah oleh Islam. Dalam erti kata lain, sekiranya suatu pekerjaan itu aktiviti pekerjaannya melibatkan perkara-perkara haram, maka hukumnya adalah haram seperti syarikat arak, kedai judi, menolong kepada perkara maksiat atau seumpamanya.

Oleh yang demikian, jelaslah bahawa hukum asal e-hailing adalah diharuskan selagi mana tidak melibatkan perkara-perkara yang dilarang oleh syarak.

Keduanya, seperti mana yang diketahui, sekalipun suatu pekerjaan itu asalnya adalah diharuskan, namun dalam beberapa keadaan atau kes, hukum asal itu boleh berubah daripada hukum harus menjadi haram disebabkan elemen yang dilarang syarak padanya seperti membantu dalam perkara maksiat dan dosa. Contohnya, menghantar penumpang ke kelab malam atau pusat hiburan adalah dilarang dan tidak dibolehkan dalam agama kerana kelab malam sinonim dengan pergaulan bebas, pendedahan aurat, minuman keras dan arak, dan lain-lain seumpamanya. Maka, tidak syak lagi bahawa hal tersebut termasuk dalam perbuatan dilihat seolah-olah membantu kepada perkara maksiat dan dosa. Ini bertepatan dengan kaedah yang menyebutkan:

إِعَانَةُ الـمَعْصِيَةِ مَعْصِيَةٌ

Maksudnya:Membantu ke arah maksiat itu merupakan suatu maksiat.” (Lihat Ma‘lamah Zayed li al-Qawa‘id al-Fiqhiyyah wa al-Usuliyyah, no.666).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan di atas, kami berpendapat bahawa tidak mengapa dan dibolehkan bagi pemandu e-hailing untuk menghantar penumpang dari kelab malam ke rumah mereka. Ini kerana elemen yang dilarang oleh syarak tadi iaitu membantu dalam perkara maksiat dan dosa sudah tidak wujud, maka hukumnya kembali kepada hukum asalnya iaitu diharuskan selagi mana tidak melibatkan perkara-perkara yang dilarang oleh syarak. Ini kerana rumah sinonim dengan tempat berlindung, berteduh, berehat dan seumpamanya, berbeza halnya dengan kelab malam sebagai tempat berhibur, terdedah kepada pergaulan bebas, pendedahan aurat, minuman keras dan arak, dan lain-lain seumpamanya

Ini juga bertepatan dengan kaedah yang menyebutkan:

إِذَا زَالَتِ العِلَّةُ زَالَ الحُكْمُ

Maksudnya:Apabila hilang ‘illahnya, maka tiadalah hukum tersebut.”

Pada asasnya, ‘illah (sebab) bagi ketidakharusan menghantar penumpang e-hailing ke destinasi mereka adalah disebabkan oleh wujudnya perbuatan membantu ke arah perkara maksiat dan dosa. Justeru, jika ‘illah itu sudah hilang, maka hilanglah larangan daripada menghantar penumpang tersebut.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

 رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِ ۖ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَcا وَارْحَمْنَا ۚ أَنتَ مَوْلَانَا فَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *