#65 Tawaf Wada’ Ketika Endemik Covid-19

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Apa hukum melakukan Tawaf Wada’ sekiranya kita mengerjakan umrah pada waktu ini, di mana kebolehjangkitan virus Covid-19 masih wujud?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Berdasarkan situasi semasa (November 2021), suasana Covid-19 di Arab Saudi mula menurun dengan mendadak, hasil daripada penjagaan yang rapi oleh Kementerian Kesihatan mereka dan program vaknisasi kebangsaan yang digerakkan dengan aktif dan bersifat menyeluruh. Natijahnya, kadar jangkitan baharu Covid-19 menjadi amat rendah. Walaupun begitu, mereka mengenakan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat dan rapi agar dapat mengekang penularan wabak Covid-19.

Terkait kepada isu umrah, sekalipun dibenarkan melalui aplikasi Eatmarna, tetapi mereka telah mengenakan beberapa syarat. Antaranya, Tawaf Wada’ masih lagi tidak dibenarkan. Justeru, jemaah hanya akan mengerjakan umrah semata-mata.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nyatakan seperti berikut:

Tawaf wada’ adalah amat dituntut bahkan ia disaran oleh Rasulullah SAW. Antaranya dapat dilihat melalui hadis daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, beliau berkata:

كَانَ النَّاسُ يَنْصَرِفُونَ فِى كُلِّ وَجْهٍ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم : لاَ يَنْفِرَنَّ أَحَدٌ حَتَّى يَكُونَ آخِرُ عَهْدِهِ بِالْبَيْتِ

Maksudnya: “Dahulunya orang ramai beredar mengikut haluan masing-masing (untuk meninggalkan Mekah). Lalu Rasulullah SAW bersabda: Jangan sekali-kali seseorang daripada kamu meninggalkan Mekah sehinggalah akhir keberadaannya (di Makkah) al-Bait (Tawaf al-Wada`).”

Riwayat Muslim (1327)

Imam al-Nawawi berkata, “Hadis ini mengandungi dalil bagi pendapat yang mewajibkan Tawaf Wada’ dan apabila ditinggalkan maka harus membayar Dam. Inilah pendapat yang sahih menurut mazhab kami dan inilah pendapat majoriti Ulama.” (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 9/79).

Imam al-Nawawi juga berkata: “Ashab kami mengatakan, “Sesiapa yang telah selesai dari manasiknya dan dia ingin bermukim di Makkah, maka tidak ada ke atasnya Tawaf al-Wada’. Perkara ini tidak ada khilaf padanya. Sama ada dia termasuk penduduknya atau bukan. Sekiranya dia ingin keluar dari Mekah menuju ke negaranya atau ke lainnya, maka dia mesti melakukan Tawaf al-Wada’.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab 8/254).

Menurut Syeikh Ibrahim al-Bajuri yang menukilkan kata-kata Imam Ibnu Qasim dan Abu Syuja’ dalam syarahnya berkata: Bagi pendapat yang lemah menyatakan sunat melakukan Tawaf Wada’ sekiranya ingin keluar bermusafir daripada Mekah, sama ada perjalanan musafirnya jauh mahupun dekat.  Manakala pendapat yang azhar (kuat) ialah wajib melakukan Tawaf Wada’, dan ia  adalah merupakan pendapat yang muktamad.” (Lihat Hasyiah al-Bajuri ala Ibn Qasim, 1/323).

Walaupun begitu, Imam al-Nawawi juga telah menyebut: “Para ulama’ Syafi’iyyah berbeza pendapat tentang Tawaf Wada’ apakah termasuk ibadah yang khusus bagi ibadah haji atau merupakan ibadah yang tetap dianjurkan di luar ibadah haji. Dalam hal ini, menurut Imam al-Haramain, bahawa Tawaf Wada’ adalah merupakan ibadah yang khusus bagi ibadah haji, yang membawa maksud, bagi para jemaah haji yang sudah meninggalkan Mekah tidak dianjurkan lagi atau tidak berhak lagi melakukan Tawaf Wada’. Dan menurut al-Baghawi, Abu Said al-Mutawalli dan selainnya berkata, bahawa Tawaf Wada’ itu merupakan ibadah yang tidak khusus bagi ibadah haji. Tetapi tetap diperintahkan bagi seseorang yang hendak meninggalkan kota Mekah yang mendapati jarak yang dibolehkannya melakukan qasar solat, sama ada bagi penduduk Mekah atau selainnya.” (Lihat al-Idhah fi Manasik al-Haj wa al-‘Umrah, hlm. 409).

Kami kemukakan sekali lagi pandangan Imam al-Nawawi melalui kitabnya al-Majmu’, beliau antara lain menyebut dua pendapat berkenaan Tawaf Wada’, iaitu:

Pertama: Wajib. Inilah pendapat Ibnu Abbas dan selainnya.

Kedua: Tidak wajib. Ini kerana sekiranya wajib, nescaya tidak diharuskan perempuan yang haid meninggalkannya.

Al-Qadhi Abu al-Tayyib dan al-Bandaniji menyatakan hukumnya sunat dan jika ditinggalkan Tawaf Wada’, maka sunat juga membayar dam. Ini juga pendapat Imam al-Syafie berdasarkan qaul qadim. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 8/253-254).

Justeru, dalam isu ini, berdasarkan kepada situasi semasa, kami berpendapat hukumnya sunat bagi sesiapa yang ingin meninggalkan kota Mekah selepas selesai umrah dan tidak dikenakan dam apabila meninggalkannya kerana terdapat halangan yang kekangan dari sudut penjagaan dan pemeliharaan dari wabak Covid-19.

Jika sekiranya suasana menjadi seperti sedia kala, serta Covid-19 sudah hilang, dan dasar pihak pemerintah juga sudah berubah, dengan kebenaran untuk melakukan Tawaf Wada’ dan Tawaf Sunat, maka ketika itu, pendapat kami adalah Tawaf Wada’ adalah wajib sepertimana yang masyhur dalam mazhab Syafi’i dan dikenakan dam kepada mereka yang meninggalkan kecuali yang telah dikecualikan seperti wanita yang datang haidh sebelum berangkat ke tanah watan.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 10/11/2021 bersamaan 5 Rabiul Akhir 1443H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *